27 May 2007

Ayuh Sahabatku!

Apabila Perdana Menteri Malaysia mengistiharkan kenaikan gaji kakitangan awam dan Elaun Kos Sara Hidup (Cola) pada majlis perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam, ada teman yang menghantar SMS dengan nada yang kurang bersemangat dengan menyatakan bahawa pastinya perjuangan kita akan lebih perit selepas ini. Katanya, kakitangan awam telah berjaya dibeli oleh kerajaan UMNO/BN yang sudah tentu menggunakan peluang ini untuk melembutkan hati mereka untuk terus memberikan sokongan.

Ada juga teman-teman yang semacam mahu menyerahkan kepada takdir dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang. Seolah-olahnya dunia sudah kiamat apabila anugerah itu dilihat sebagai ‘pukulan maut’ kepada PAS/BA.

Sebagai anak muda yang masih mentah dalam medan perjuangan ini, saya menasihatkan kepada teman-teman seangkatan agar jangan mudah mengalah dan mengaku kalah. Ini bukan sifat orang beriman dan sifat sebagai pejuang Islam.

Dalam perjuangan ini, kita diajar untuk tidak mudah mengalah. Apalah nak dibandingkan dengan cabaran, dugaan dan ujian yang kita lalui jika kita ingin bandingkan dengan junjungan besar kita Nabi Muhamad S.A.W, para sahabat-sahabat dan para perjuang yang terdahulu.
Firman Allah dengan maksudNya;

“Kalau apa yang kamu (Muhamad) serukan kepada mereka itu satu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang sederhana jauhnya patinya mereka akan mengikutimu tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka” – Surah At-Taubah : 42

Kerajaan UMNO/BN akan tetap sama walaupun tindakan mereka ini dilihat sebagai senjata yang cukup hebat untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang. Kita mesti ingat bahawa Islam masih belum dimartabatkan malah terus dihina, dicerca dan diperlekeh oleh pimpinan UMNO./BN. Rasuah semakin membarah, gejala sosial semakin tidak terkawal, jenayah semakin membimbangkan, harga barang terus naik dan pelbagai lagi.

Ini adalah tanggungjawab kita, ini adalah amanah yang perlu kita laksanakan. Jika bukan kita yang diharapkan untuk memperjuangkan kebenaran, siapa lagi yang kita nak harapkan?.
Marilah kita perbetulkan niat dan perbaharui tekad kita.
Allahu Akbar!!!

26 May 2007

Sukan PASTI Johor Berjaya!



Saya berbangga dan bersyukur kerana PASTI Johor semakin berkembang dan semakin pro-aktif dalam menjalankan amanah mereka. Sukan PASTI yang diadakan pada hari Ahad yang lalu telah diadakan dengan gemilang. Laporan lanjut akan disiarkan dalam blog DPPNJ dalam masa terdekat nanti.Syabas PASTI Johor!!!

18 May 2007

Azhan Atan Ketua Pemuda Tanjung Piai

Di saat UMNO sedang rancak mengumpul sokongan dari kalangan samseng dan mat rempit, PAS melakar sejarah dengan pemilihan Azhan Atan, seorang insan kurang upaya (OKU) bagi menerajui Dewan Pemuda PAS Tanjung Piai.Kepekaan dan kepedulian PAS terhadap warga OKU haruslah menjadi contoh tauladan kepada kita.
Ketika sebahagian rakyat menganggap betapa OKU ini hanyalah beban masyarakat semata-mata,
Azhan membuktikan persepsi mereka itu salah dan tidak tepat.klik http://www.adilmalaysian.blogspot.com/---------------------------------------
Tun Adil telah menulis berkaitan dengan sahabat saya sdr Azhan Atan yang merupakan Ketua Pemuda PAS Tanjung Piai yang baru. Saya cukup terharu dengan tulisan ini.Disebalik perlantikan sdr Azhan ini, saya ingin memberikan sedikit gambaran tentang beliau.
Sdr Azhan adalah seorang pemuda yang serba boleh. Kerjaya beliau adalah sebagai seorang tukang urut refleksi, mahir dalam muzik dan mempunyai suara yang baik serta sering membuat persembahan nasyid khususnya di Johor.Tulisan Tun Adil memberikan saya satu idea untuk menggerakkan sdr Azhan bersama-sama membela nasib OKU ini. Terima kasih Tun Adil...

Harga Barangan Naik Lagi!

MULA-MULA TAK BOLEH TAPI SEKARANG BOLEH!

Cuba baca petikan berita yang disiarkan di dalam Bernama ini;

Petikan 1;
BERNAMA : Peniaga jangan naikkan harga sesuka hati
15-05-2007 01:19:22pm
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.
"Saya nak beri amaran kepada peniaga jangan mengambil kesempatan, dan jika ada tindakan tegas diambil oleh pihak penguatkuasa, jangan kata kita zalim atau kita jahat," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Shafie Apdal.

Petikan 2;
Harga tepung gandum naik 15 sen
15-05-2007 04:04:20 PM

PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan harga runcit tepung gandum di seluruh negara dinaikkan 15 sen sekilogram berkuatkuasa semalam selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk dari segi kenaikan kos bahan mentah dan pengangkutan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Shafie Apdal berkata kenaikan itu hanya melibatkan tepung gandum serba guna dan bukan tepung gandum bukan serba guna yang harganya tidak dikawal.

Beliau berkata dengan kenaikan itu, tepung dijual pada harga RM1.35 sekilo berbanding RM1.20 sekilo bagi Semenanjung dan RM1.45 sekilo berbanding RM1.30 bagi Sabah dan Sarawak .

Kenyataan yang disiarkan oleh Bernama ini telah disiarkan pada tarikh yang sama iaitu 15 Mei 2007 cuma berita pertama disiarkan pada pukul 1.19 petang manakala berita kedua disiarkan pada pukul 4.04 petang.
Mula-mula, nampak kesungguhan Datuk Mohd Shafie Apdal untuk membenteras sikap peniaga daripada sesuka hati untuk menaikkan harga jualan walaupun kita pun tahu bahawa setiap kali harga barangan naik, menteri ini akan membuat kenyataan yang serupa dengan memberikan amaran dan amaran dan amaran.

Tiba-tiba orang yang sama juga membuat kenyataan bahawa harga tepung gandum naik 15 sen. Semalam dalam Bernama juga disiarkan bagaimana harga barangan runcit keperluan makanan telah naik mendadak sebanyak 5 hingga 10 peratus walaupun kenaikan gaji kakitangan awam belum diumumkan.
Itu baru tepung gandum. Selepas ini apa pula harga barangan yang akan naik? Peniaga roti canai sudah tentu menggeleng-gelengkan kepala. Kalau tak dinaikkan harga jualan maka sudah tentu akan menurun keuntungan. Akhirnya, saiz roti canai akan dikecilkan.

Peniaga roti, peniaga pau, peniaga-peniaga yang berasaskan tepung gandum pula sudah tentu sedang bersedia untuk berlumba-lumba memberikan alasan untuk membolehkan mereka menaikkan harga jualan mereka.
Pengguna akan terus tertekan. Gaji yang naik adalah kakitangan awam tetapi bagaimana pula nasib pesawah, petani, peneroka, nelayan, pekebun kecil dan penoreh getah? Saraan hidup semakin tinggi tetapi harga barang naik lagi. Itu baru cerita tepung gandum.

Rakyat perlu membuka mata. Hidup semakin kita semakin tertekan, UMNO/BN tdak peduli nasib rakyat tetapi yang mereka pentingkan adalah nafsu mereka semata-mata. Fikirkanlah, adakah ini nikmat yang kita kecapi setelah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun?

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
15 Mei 2007, 7.05 petang

GURU PASTI : PENGORBANAN GURU KELAS PERTAMA

Detik 16 Mei adalah detik yang sangat bermakna kepada warga negara Malaysia yang bergelar ‘guru’. Sama ada guru tadika, guru sekolah rendah, guru sekolah menengah dan guru agama, mereka adalah guru.

Pengorbanan guru tetap akan dilafazkan dan dijelmakan setiap kali menjelang 16 Mei pada setiap tahun. Jasa guru akan disebut-sebut oleh pihak pemerintah sehinggalah kepada murid-murid yang masih bersekolah. Guru akan dilihat sebagai 'lilin' yang sanggup membakar diri untuk menerangi orang lain.

Allahyarham Dato' Usman Awang pernah menulis sebuah sajak bertajuk 'Guru Oh Guru' pada tahun 1979 yang didedikasikan kepada guru-guru yang terus menabur bakti dan jasa. Diantaranya ;

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Bagi saya, sejak berkecimpung dalam pendidikan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sejak tahun 2000, saya sunggup kagum dengan pengorbanan mereka yang sanggup menyerahkan diri kepada PASTI sebagai tenaga pengajar. Mengajar di PASTI tidak sama dengan mengajar di tadika kerajaan ataupun swasta yang lain.

Ketika mula-mula saya berada didalam PASTI, saya agak hairan dengan guru-guru PASTI yang masih mampu berdiri kukuh memperjuangkan pendidikan dan masa depan PASTI walaupun mereka terpaksa menempuh pelbagai kesukaran, kepayahan dan keperitan. Elaun yang rendah, prasarana yang kurang, kebajikan yang sederhana dan kadang-kadang terpaksa menguruskan pentadbiran PASTI.

Pernah satu ketika saya bertanya kepada seorang tokoh guru di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia tentang elaun yang diterima sebagai seorang guru. Beliau menyatakan bahawa elaun pada tahun 2006 adalah sangat memuaskan berbanding tahun sebelumnya. Saya bertanya berapa elaun yang diterima pada tahun 2006? Beliau dengan rasa penuh bersyukur menyatakan bahawa elaun yang diterima untuk mengajar di PASTI adalah sebanyak RM 278!. Ya Allah! Hebatnya guru PASTI.

Pengalaman diamanahkan sebagai Pengerusi Penaziran PASTI Pusat telah memberikan ruang kepada saya untuk membuat lawatan ke PASTI di seluruh negara. Pegalaman yang saya kecapi dalam meneliti kehidupan seorang guru PASTI yang rata-ratanya meletakkan kepentingan PASTI lebih utama daripada diri mereka sendiri tidak mudah untuk kita lihat kepada guru-guru yang mengajar ditempat lain.

Ada guru PASTI yang sanggup menghabiskan elaun yang mereka terima untuk diserahkan kembali kepada PASTI cawangan untuk menyiapkan ABM dan menyediakan peralatan mengajar.

Pernah satu ketika ketika saya membawa guru-guru PASTI di Johor ke Pendang, Kedah untuk melihat sendiri kehidupan guru-guru PASTI di sana . Bila dialog diadakan di antara guru-guru, guru-guru PASTI di Johor terkejut apabila mereka mendengar ucapan-ucapan yang disampaikan oleh guru-guru di Kedah. Ada dikalangan mereka yang hanya menerima elaun sebanyak RM 100 sahaja tetapi masih boleh menginfakkan diri mereka untuk perjuangan.

Seorang guru PASTI yang telah mengajar selama 19 tahun di Johor menceritakan kepada saya bagaimana pada tahun pertama beliau ditugaskan untuk menjadi tenaga pengajar di PASTI beliau hanya diberikan saguhati dan beliau sendiri tidak pernah merungut terhadap apa yang beliau terima. Paling penting katanya, beliau dapat menaburkan bakti untuk melahirkan generasi yang benar-benar berjaya sebagai seorang muslim.

Terlalu besar pengorbanan mereka jika kita ingin bandingkan dengan apa yang kita berikan kepada mereka. Tahun ini, Sambutan Hari Guru PASTI Pusat akan diadakan di Kota Bahru Kelantan pada 29 & 30 Jun 2007. Seorang lagi tokoh guru PASTI Malaysia bakal dinobatkan. Walaupun saya sudah lagi tidak terlibat dalam memilih Tokoh Guru PASTI pada tahun ini, saya yakin dan percaya bahawa seorang tokoh guru PASTI penuh dengan sifat pengorbanan, dedikasi dan keihklasan akan ditampilkan bagi menjadi contoh yang terbaik kepada guru-guru PASTI dan kepada masyarakat di luar.

Akhirnya, saya ingin merakamkan ucapan SELAMAT HARI GURU kepada semua guru-guru PASTI di Malaysia. Jasa kalian terlalu besar untuk dinilai dengan wang ringgit. Semoga segala pengorbanan yang dicurahkan akan dinilai sebagai amalan yang mulia di sisiNya. Pengorbanan guru-guru PASTI pengorbanan kelas pertama.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) PASTI Pusat
019-7701830
14 Mei 2007. 4.44 petang

06 May 2007

Muktamar DPPNJ Bermula!

Batu Pahat 5 Mei - Dewan Pemuda Pas Negeri Johor memulakan Muktamar Tahunannya pada malam ini di Hotel Garden, Batu Pahat, Johor. Malam ini lebih tertumpu pada program perasmian selain ucaptema yang disampaikan oleh Ketua DPPNJ, Sdra Khairul Faizi b Ahmad Kamil.

Muktamar DPPNJ kali ini dirasmikan oleh Tn Haji Mahfuz bin Omar, AJK Pas Pusat. Antara tetamu kehormat yang hadir adalah wakil Dewan Pemuda Pas Pusat Sdr Taufik b Abd Gani, Sdra Mazlan Aliman selaku Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Tn Haji Aminulhuda, timbalan Pesuruhjaya Pas Johor beserta Tn Haji Atan Gombang, Ustaz Abdullah Husin, Ketua Dewan Ulama Pas Johor, Puan Hajah Atiah, Ketua Dewan Muslimat Pas Johor, Dr Ramli Md Kari, ADUN Senggarang, dan juga ketua Angkatan Muda PKR, Sdri Nurin Aina bt Abdullah.

Program MUktamar bermula dengan perbarisan oleh anggota Unit Amal Johor beserta paluan kompang. Tn Haji Mahfuz berkesempatan membuat pemeriksaan ke barisan anggota Unit Amal.

Seterusnya nyanyian lagu tema PAS beserta lagu Amalulillah. Tn Haji Aminulhuda mengambil tempat sebagai pemberi ucapan pertama disusuli dengan wakil dewan pemuda pas pusat.

Saudara Khairul Faizi seterusnya menyampaikan ucaptema kali ini yang membawa tema Membina Keyakinan, Menjana Kemenangan. Diakhiri dengan ucapan perasmian oleh Tn Haji Mahfuz.

Penutup program perasmian ini diserikan dengan tayangan khas. Muktamar ditangguh dan disambung keesokan hari.

Sekitar Perasmian Muktamar DPPNJ

















03 May 2007

Muktamar DPPNJ

Selamat Bermuktamar

SIAPA SAMSENG, BA ATAU BN?

Wajah-wajah lesu keperitan dapat kita lihat daripada gambar ini. BN mendakwa petugas keADILan/BA samseng dan ganas tapi sebenarnya siapa yang ganas?.

Klik http://www.harakahdaily.net/

02 May 2007

MENZIARAHI PROJEK PEMBINAAN RUMAH DI PAGOH


Selepas muktamar DMPNJ, kami menziarahi ke tapak pembinaan sebuah rumah di kawasan Parlimen Pagoh yang disumbangkan oleh Kerajaan Kelantan dan diuruskan oleh Yayasan Amal Malaysia.

Rumah yang sedang dibina ini dijangka siap dalam tempoh yang terdekat.

MUKTAMAR DEWAN MUSLIMAT PAS JOHOR


Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Johor (DMPNJ) telah berjaya diadakan pada 2 Mei 2007 bertempat di Mahad Tahfiz Al-Muhamadi. Dirasmikan oleh Ketua DMP Pusat, Ustazah Azizah Khatib Mat.

Turut Hadir Datuk Dr Mahfodz, Haji Aminulhuda & Ust Atan Gombang (TPJ), sdr Amin Sairan (SU BPPNJ), sdr Mazlan Aliman (Ketua Penerangan) dan Sdr Mustapha Abd Rahman (Bendahari BPPNJ). Wakil Dewan Pemuda PAS Johor yang hadir termasuklah sdr Mohd Faizul (SU DPPNJ) dan sdr Hamid Jamah (Ketua Penerangan DPPNJ).

Muktamar pada sesi ini menyaksikan Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketua Muslimat Johor telah diisi oleh muka baru. Ketua DMPNJ disandang oleh Puan Hajah Atiah Binti Ahmad, Timbalan Ketua disandang oleh Puan Norhayati Binti Bachok dan Naib Ketua disandang oleh Puan Normala.

Puan Hajah Atiah sebelum ini adalah merupakan Timbalan Ketua DMPNJ. Manakala Puan Fatimah Binti Ismail telah mendapat undi tertinggi bagi Ahli Jawatankuasa DMPNJ dengan 116 undi.

DPPNJ mengucapkan selamat berjuang kepada pimpinan baru DMPNJ. DPPNJ akan sentiasa memberikan sokongan kepada gerakerja DMPNJ.