06 December 2007

Banjir: Peringatan Buat Rakyat Johor

Masih lagi segar di dalam ingatan semua rakyat Johor tatkala berlakunya satu fenomena 'Banjir Besar' yang melanda sekitar setahun yang lalu. Hujan renyai yang mulanya di sangka hanya hujan biasa rupanya membwa satu episod duka buat majoriti rakyat negeri ini.

Bukan satu suasana yang gembira apabila muka bumi Johor dipenuhi air. Ramai yang terkesima. Ramai yang tidak percaya. Sekian lama rakyat Johor hidup senang lenang tanpa perlu susah payah memikirkan bencana banjir, tetapi kuasa Allah merubah segalanya. Kesenanganan yang dinikmati sekian lama terhenti dengan kedatangan banjir besar yang bukan hanya sekali tetapi DUA kali! Satu fenomena yang boleh dianggap luar biasa oleh pihak tertentu. Ramai juga para pengkaji yang kebingungan dengan peristiwa banjir di Johor. Sedangkan sebelum ini banjir hanya sinonim di negeri pantai timur saja. Adakah suasana ini akan terus berlarutan di negeri selatan semenanjung selepas ini?

Setelah kira-kira setahun berlalu, rakyat Johor sudah mula mahu melupakan peristiwa pahit itu. Biarlah ia berlaku sekali seumur hidup. Tidak mahu banjir lagi. Tidak kurang ramai yang insaf tatkala banjir kerana menyedari akan kekuasaan Allah. Namun, insafnya hanya sementara. Bila sudah kembali senang, ada yang kembali seperti dahulu... Apabila turut di sogok dengan habuan yang mewah oleh pihak pemerintah dan golongan yang ada kepentingan.

Namun, keadaan cuaca bermula pada 5hb Disember 2007 yang lalu kembali merisaukan kebanyakan rakyat Johor. Satu keadaan cuaca yang seolah-olah 'serupa' sepertimana kisah duka permulaan banjir besar setahun yang lalu. Hujan tak berhenti-henti di hampir keseluruhan tempat. Tahun lalu, hujan tidak berhenti selama 3 hari telah dapat menenggelamkan bandara Segamat dan Kota Tinggi.

Adakah penghujung tahun 2007 ini juga akan mengalami peristiwa serupa seperti mana tahun yang lalu? Tentu ramai yang tidak mahu. Namun, kuasa Allah adalah segalanya. Bersedialah menghadapi sebarang kemungkinan. Insyallah, bagi pihak Dewan Pemuda Pas Johor khususnya melalui Unit Amal akan terus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. -DPPNJ

Johor Mula Dilanda Banjir

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Hrkh) -Beberapa daerah di negeri Johor mula dilanda banjir ekoran hujan lebat yang turun sejak petang semalam. -->

Menurut maklumat yang diterima Harakah, daerah Muar, Segamat, Batu Pahat, Kluang dan Labis telah mengalami banjir dengan para penduduknya sudah diarahkan berpindah ke kawasan penempatan banjir.
Seorang penduduk Kg Jawa, Segamat, Shamsul Hadi yang menghubungi Harakahdaily berkata, air banjir kini menghampiri paras lutut dan para penduduk kampung tersebut telah diarahkan berpindah.

Menurutnya, kejadian banjir kali ini tidak dijangkakan memandangkan keadaan panas beberapa hari sebelumnya.

"Bagaimanapun hujan mula turun selepas waktu Asar semalam dan berlanjutan hingga hari ini. Hujan makin turun dan bertambah lebat," ujarnya.

Shamsul juga memaklumkan bahawa kebanyakan jalan menghala ke Segamat telahpun ditutup dan bekalan letirik diputuskan secara berperingkat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Beliau juga mengucapkan syabas kepada anggota Unit Amal kerana sudahpun turun memberikan bantuan seawal banjir berlaku.

"Anggota Unit Amal sudah ramai kelihatan dan kami merasa terharu dengan keprihatinan mereka," katanya.
Sementara itu, pemberita Harakah, Salman Hussien yang kini berada di Labis memaklumkan keadaan banjir di daerah itu semakin buruk.-tajdid