KENYATAAN MEDIA (26 Januari 2010 , 10 Safar 1431) No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(05/10)
TAJUK
SIASATAN TERHADAP BLOG MENGHINA ALMARHUM SULTAN JOHOR PERLU DISIASAT SECARA MENYELURUH
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) meminta supaya pihak Polis menyiasat mana-mana juga blog yang terlibat dalam isu penghinaan Almarhum Sultan Johor dan penghinaan terhadap Allah. DPPNJ memohon jangan hanya menyiasat blog-blog yang tertentu sahaja sedangkan banyak lagi blog lain yang terlibat. DPPNJ menyokong kenyataan DPP Wilayah Persekutuan yang menggesa polis turut menyiasat mana-mana penulis blog dan facebook yang menghina Almarhum Sultan Johor. Sebagai contohnya, seorang blogger yang mengunakan nama samaran “Gutter Malaysia” di url: guttermalaysia.blogspot.com/ telah membuat satu artikel biadap dengan tajuk “Sultan of Johor is Dead ! Bravo!”. Artikel ini bukan sahaja menghina Almarhum Sultan tetapi turut menghina penganti baginda dan, Sultan Ibrahim dan Allah. Beberapa komen biadap juga terdapat dalam artikel berkenaan. Diharapkan Pasukan Siasatan Khas Polis membuat siasatan serius terhadap isu ini kerana masih terdapat lagi blog atau laman web yang menghina Almarhum Sultan tetapi belum disiasat. Tujuan DPPNJ mendesak pihak polis bertindak adalah supaya mana-mana blog tidak sewenang-wenangnya menulis sasuatu perkara sensitive yang mengguris hati semua pihak. Sekian PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN
Yang benar,
KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor http://minda-kembara.com/ http://www.facebook.com/khairul.faizi1
KENYATAAN MEDIA (25 Januari 2010 , 9 Safar 1431) No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(04/10)
TAJUK
MENGECAM TINDAKAN BLOGGER YANG MENGHINA ALMARHUM SULTAN ISKANDAR IBNI AL-MARHUM SULTAN ISMAIL
Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) mengecam tindakan seorang blogger yang telah menggunakan media maya untuk membuat penulisan bertajuk “Dah mampos buat cara mampos la” yang telah disiarkan di dalam blog http://adukataruna.blogspot.com/ yang cukup menghiris hati Kerabat Di Raja Johor dan rakyat Johor secara keseluruhannya. Walaupun ‘posting’ tersebut telah dibuang daripada laman blog tersebut dan disusuli dengan permohonan maaf blogger yang menggelarkan dirinya Aduna Teruna namun penulisannya cukup biadab tanpa tatasusila dan adab.
Aduka Teruna telah menulis :-
“Dah mampos buat cara mampos la. Boleh plak simpan mayat nak tunggu Datuk Bendahara balik dari shopping. Boleh meeting isytihar sedang terlentang. Pada hal dah mampos pagi tadi. Pergi mampos sama lu. Bodoh punya kerajaan spesis stupid”
Sebagai anak jati Johor, saya cukup kecewa dengan sikap dan tindakan blogger tersebut dan menggesa agar siasatan segera perlu dilakukan dan tindakan perlu di ambil terhadap beliau kesalahan tersebut adalah sangat serius dan tidak dapat dimaafkan. Melalui penulisan rakan-rakan blogger saya yang lain juga tidak bersetuju penulisan yang telah dibuat Aduka Teruna yang dilihat sebagai keterlaluan.
Saya juga menyokong tindakan segera Polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat blog yang menghina Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, yang mangkat pada hari Jumaat yang lalu.
Sekian
PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN
Yang benar,
KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor http://minda-kembara.com/ http://www.facebook.com/khairul.faizi1 Tel : 019-7701830
KENYATAAN MEDIA (23 Januari 2010 , 7 Safar 1431) No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(03/10)
TAJUK
RAFAK TAKZIAH DI ATAS KEMANGKATAN SULTAN ISKANDAR IBNI AL-MARHUM SULTAN ISMAIL
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) merakamkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultanah Johor, Sultanah Zanariah serta anakanda-anakanda iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail, Tunku Puteri Johor Tunku Hajah Kamariah, Tunku Besar Tunku Zabedah Aminah, Tunku Hajah Azizah minah Maimunah, Tunku Hajah Mariam Zahrah, Tunku Norani, Tunku Maimunah Ismailiah, Tunku Bendahara Johor Tunku Abdul Majid Idris Ismail, Paduka Puteri Tunku Muna Najiah dan Tunku Aminah Kalsom Masera Marian Zahirah di atas kemangkatan Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, Sultan Negeri dan Jajahan takluk Johor Darul Takzim.
Sesungguhnya, kemangkatan baginda Sultan adalah merupakan satu kehilangan yang cukup besar kepada rakyat jelata di negeri Johor khususnya dan Malaysia amnya kerana baginda adalah merupakan seorang Raja yang cukup prihatin dengan masalah rakyat dan mengambil berat tentang perkembangan semasa.
Justeru saya menyeru kepada seluruh rakyat Johor untuk memanjatkan doa agar Roh Tuanku akan dicucuri RahmatNya, Al-Fatihah.
Sekian
PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN
Yang benar,
KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor http://minda-kembara.com/ http://www.facebook.com/khairul.faizi1
KENYATAAN MEDIA (22 Januari 2010 , 6 Safar 1431) No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(02/10)
TAJUK
ELAKKAN SEBARANG SPEKULASI DAN BERTENANG TERHADAP KES KEBAKARAN DUA BUAH SURAU DI MUAR
Sejak 8 Januari 2010 yang lalu telah berlakunya kebakaran yang melibatkan rumah ibadat yang kebanyakkannya melibatkan gereja yang dipercayai berikutan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang mengetepikan larangan kerajaan ke atas bukan Islam daripada menggunakan perkataan Allah sebagai terjemahan bagi perkataan 'God'.
Di Johor pula, sebuah gereja Katholik St Elizabeth di Jalan Kota Kecil, di Kota Tinggi, Johor dilempar cat merah pada 14 Januari 2010 yang lalu dan ia adalah merupakan kejadian vandelisme pertama dilakukan terhadap rumah ibadah di Johor. Namun, kini dua buah surau pula yang menjadi sasaran untuk dirosakkan dan dimusnahkan oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.
Kedua-dua surau tersebut adalah Surau Silaturahim dan Surau Kampung Parit Beting terletak di dalam Parlimen Bakri dpercayai telah dibakar dengan menggunakan minyak tanah dalam dua kejadian berasingan berlaku di mana jarak kedua-dua surau tersebut kira-kira dua kilometer. Difahamkan bahawa kedua-dua surau itu hanya mengalami kerosakan kecil membabitkan langsir, permaidani dan cermin, selain kesan terbakar di pintu surau.
Saya melahirkan rasa kesal di atas perkara yang telah berlaku ini memandangkan surau adalah merupakan rumah ibadat bagi umat Islam dan kejadian membakar surau ini akan menyebabkan keresahan di kalangan masyarakat awam.
Dalam menghadapi perkara ini, saya berharap agar semua pihak dapat bertenang dan elakkan daripada mewujudkan sebarang spekulasi berhubung kejadian kebakaran dua surau ini dan serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci.
Melalui laporan media, saya difahamkan bahawa Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman menyatakan bahawa melalui siasatan awal pihak polis tidak menolak kedua-dua kebakaran itu dilakukan oleh pihak yang sama berikutan taktik yang sama dan berlaku di kawasan hanya terletak antara jarak kira-kira dua kilometer.
Difahamkan juga bahawa sejak kes pertama pembakaran gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 8 Januari lalu pihak polis telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu. Justeru saya meletakkan kepercayaan kepada pihak polis untuk menyelesaikan perkara ini dengan segera dan membawa mereka yang terlibat kemuka pengadilan.
Sekian
PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN
Yang benar,
KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
PENGGUGURAN DAKWAAN TERHADAP CIK CHENG LEE WHEE ADALAH MERUPAKAN KEJAYAAN KEPADA PEJUANG HAK ASASI MANUSIA
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara Malaysia yang telah menggugurkan dakwaan terhadap Orang Kena Tuduh (OKT) iaitu Cik Cheng Lee Whee yang telah didakwa di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 182 kerana telah membuat laporan polis untuk mempertahankan hak-hak penduduk Kampung Baru Plentong Tengah (KBPT) yang diroboh pada 16hb Oktober 2008.
Keputusan menggugurkan dakwaan yang dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara (Bahagian Pendakwaan) ini adalah merupakan satu kemenangan kepada pejuang hak asasi manusia kerana usaha berterusan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) termasuklah menghantar petisyen kepada Peguam Negara pada 24 November 2009 yang mana memorandum ini telah disokong oleh parti-parti politik dan badan Bukan Kerajaan (NGO) khususnya yang beroperasi di negeri Johor.
Memorandum tersebut diserahkan kepada JPN kerana pendakwaan JPN ke atas saudari Cheng Lee Whee dilihat sebagai satu penindasan berlanjutan ke atas seorang pejuang hak asasi manusia kerana laporan polis dan aduan yang dibuat oleh Saudari Cheng bukan merupakan tindakan individu, malah tindakan itu mewakili SUARAM serta seluruh NGO-NGO dan individu-individu lain di negeri Johor mahupun di seluruh negara yang memperjuangkan hak asasi khususnya yang berkaitan dengan mempertahankan hak-hak penduduk KBPT.
Pendakwaan ke atas Cheng juga merupakan penindasan terhadap SUARAM dan Badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan juga penindasan ke atas mana-mana persatuan dan parti yang mempertahankan kebenaran dan menghormati hak asasi manusia.
SUARAM berpendapat bahawa Saudari Cheng selaku Ketua Bahagian Perkhidmatan Hak Asasi Suaram Johor Bahru telah membuat aduan dan laporan polis tersebut atas arahan daripada Suaram Johor Bahru membuat aduan di Balai Polis merupakan satu tindakan yang menjalankan hak demokrasi serta menjalankan kewajiban sebagai seorang rakyat Malaysia. Tindakan beliau tidak berniat buruk dan tidak bermotifkan kemudaratan mana-mana pihak tetapi hanya untuk membela penduduk KBPT.
Laporan polis yang telah dibuat oleh Cik Cheng bertujuan untuk membebasan sejumlah 27orang penduduk kampung yang diusir secara paksa dari KBPT pada 16hb Oktober 2008. Pihak polis memanggil Cheng untuk mengambil keterangannya pada 17hb Oktober jam 8.30 malam di Balai Polis Seri Alam, dan seterusnya polis melakukan penangkapan terhadap Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 Seksyen 28.
DPPNJ berharap agar perkhabaran baru ini akan menyuntik semangat baru kepada Cik Cheng untuk terus komited dalam memperjuangkan nasib masyarakat dan hak asasi manusia pada masa akan datang. DPPNJ juga akan terus mengadakan kerjasama bersama SUARAM dalam memperjuangkan hak asasi manusia di negeri Johor.
Seperti mana tahun-tahun terdahulu, ekspedisi (XPDC dakwah) sempena sambutan tahun baru akan diteruskan oleh DPPNJ.
Tahun ini, XPDC dikendalikan oleh Lajnah Penerangan yang diketuai oleh Ust Mohd Azam Razak selaku Ketua Penerangan DPPNJ.
Tahun ini, lapan (8) lokasi telah dikenalpasti untuk DPPNJ menjalankan aktiviti tersebut mengikut daerah-daerah yang telah diputuskan dalam mesyuarat khas DPPNJ pada awal bulan Disember 2009.
Saya akan bersama Pemuda PAS di peringkat Daerah Batu Pahat yang mana diperingkat ini akan diketuai oleh sdr Saleh Tamjis (Exco DPPNJ). XPDC dakwa ini akan bermula pada pukul 9 malam, 31 Disember 2009.
Saya menyeru kepada Pemuda PAS disemua peringkat untuk turut sama menyertai XPDC dakwah ini.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Ketua Pemuda PAS di peringkat kawasan-kawasan.
Saya menyeru kepada teman-teman seperjuangan untuk hadir ke perbicaraan pertama Cik Cheng Lee Whee pada 16 Disember 2009 di Majistret Jenayah 1 Johor Bahru pada pukul 9 pagi. Cik Cheng yang saya kenali adalah merupakan seorang aktivis Suaram Johor dan beliau telah ditahan untuk siasatan di bwh Seksyen 28 ISA oleh Polis IPD Seri Alam atas arahan Ketua Polis Negeri Johor selama 19 jam pd 18 Oktober 2008.
Beliau ditahan kerana membuat aduan di Portal Polis Kontinjen Johor (www.polisjohor.gov.my) tentang pengusiran paksa yang berlaku di Kampung Baru Pelentong Tengah (KBPT) pada pukul 10 pagi 16hb Oktober 2008.
Sebagai tanda sokongan moral kepada beliau yang berada di selatan tanahair untuk turut sama memberi sokongan kepada beliau. Saya akan mengarahkan pemuda PAS di sekitar Daerah Johor Bahru untuk bersama nanti.
Semalam (22 November 2009), PKR Johor telah mengadakan program Tawan Johor Siri ke-2 bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemuncaknya diadakan ceramah “Mengilap Harapan Rakyat” yang diadakan di Batu 31, Kampung Air Manis, Cabang Kulai. Program ini diuruskan oleh sahabat-sahabat di dalam AMK Johor yang dipimpin oleh sdr Zabidi Abas.
Namun, peristiwa yang tidak sepatutnya berlaku telah terjadi pada malam tadi apabila permit ceramah yang telah diberikan oleh Polis Kulai telah ditarik balik pada saat akhir akibat daripada bantahan kira-kira 30 Pemuda UMNO.
Ceramah tersebut sempat memberikan ruang kepada YB Tian Chua dan YB Dr Boo Cheng Hau memberikan ucapan dan DSAI hanya mampu berucap selama 10 minit sebelum ianya dihentikan oleh polis yang bertugas.
Siapakah sebenarnya yang lebih berkuasa untuk menentukan sesuatu ceramah itu boleh diadakan ataupun tidak? Adakah Polis atau Pemuda UMNO? Apabila Polis telah memberikan permit pada peringkat awalnya, sudah tentu segala aspek telah diambil kira termasuklah aspek keselamatan. Jika tidak, permit tidak akan dikeluarkan melainkan daripada awal-awal lagi telah ada campur tangan daripada ‘orang politik’ yang takut dengan bayang-bayang sendiri.
Apabila polis menarik semua permit ceramah akibat daripada bantahan Pemuda UMNO, sudah tentu polis akan dilabelkan sebagai ‘alat UMNO’ yang cukup takut untuk menjalankan tugas walaupun tindakan mereka itu pada peringkat awalnya mengikut lunas undang-undang.
Adakah selepas ini hanya cukup dengan bantahan sedemikian rupa polis akan membatalkan sesuatu permit? Katakan UMNO mengadakan program ceramah dan anak-anak muda daripada AMK pula membuat bantahan, adakah Polis akan membatalkan program tersebut?
Tindakan menarik semula permit tersebut telah melanggar hak asasi dan kebebasan rakyat dalam negara. Bukan sekadar itu sahaja, tindakan tersebut merendahkan lagi martabat polis di mata rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan keamanan.
Laporan Polis dan tindakan mahkamah mesti segera dibuat dan Pemuda PAS Johor bersedia untuk bersama-sama dalam memperjuangkan hak ini.
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor telah menghantar sepucuk surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Johor sebentar tadi sebagai surat susulan kedua yang dihantar kepada SPRM untuk mendapatkan maklumat terkini hasil siasatan yang telah dibuat oleh Pemuda Pakatan Rakyat (PR) Negeri Johor pada 7 September 2009 yang lalu.
Surat susulan pertama telah dihantar kepada SPRM Cawangan Johor pada 5 Oktober 2009 yang lalu namun sehingga ke hari ini masih lagi tidak ada maklum balas.
Saya melihat bahawa perkara ini ada sesuatu yang besar kerana ia melibatkan angkaan nilai Kayu balak ini adalah di antara RM 3 hingga 5 billion. Projek ini telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 10,010.25 hektar Hutan Simpanan Kekal Terosot di Johor yang dibahagikan kepada 6 syarikat swasta dan baki 27,871.31 hektar diperuntukkan kepada 3 buah Badan Berkanun.
Namun, sehingga ke hari ini masih lagi belum mendapat jawapan balas daripada SPRM.
Saya tidak menolak sebarang kemungkinan untuk membawa perkara ini ke sidang Parlimen setelah mendapatkan persetujuan daripada rakan-rakan Pemuda PR Johor dalam masa terdekat ini.
Mungkin isu tanah seluas ini tidak sepenting sumbangan lembu kepada penduduk di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur sehingga kes ini tidak diberikan perhatian.
TINDAKAN LEMAH TERHADAPAN ISU PEMBUANGAN 14 KEPING KAD PENGENALAN DI TAPAK PEMBUANGAN SAMPAH SANGAT DIKESALI
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ)telah menyerahkan memorandum kepada Yang Berbahagia Datuk Jalaluddin Bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Polis Johor pada 19 Ogos 2009 berkaitan dengan satu laporan polis yang pernah dibuat oleh Encik Za’aba Bin Haji Ibrahim pada 8 Jun 2009 bahawa beliau telah menemui sejumlah 14 keping kad pengenalan di sebuah tempat pembuangan sampah haram SCDC bersama dengan beberapa perkara lain seperti kad perwakilan UMNO. Dalam pertemuan tersebut, saya telah diberitahu bahawa kes ini tidak disiasat oleh pihak polis dan kes ini telah diserahkan kepada Pejabat Pendaftaran Johor.
Say merujuk kepada surat jawapan balas daripada Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Johor Darul Takzim bilangan JPNJ.SK:163/795/1 Jld 18(45) bertarikh 29 Oktober 2009 sebagai jawapan balas kepada surat DPPNJ bilangan PAS/DPP.12/2.05(12/09) bertarikh 17 September 2009 menyatakan bahawa kes ini adalah di bawah tanggungjawab Polis Di Raja Malaysia Negeri Johor sepertimana rujukan laporan polis TAMPOI/00627/09 bertarikh 8 Jun 2009. Dalam surat jawapan tersebut, Jabatan ini menyatakan bahawa akan hanya menyoal siasat kepada pemilik-pemilik kad pengenalan yang dijumpai di tapak pembuangan sampah tersebut untuk dipanjangkan ke ibu pejabat JPN Putrajaya.
DPPNJ melahirkan rasa dukacita di atas jawapan balas yang telah diterima ini kerana seolah-olahnya isu ini tidak serius untuk diselesaikan. Kes pembuangan kad pengenalan di tapak pembuangan sampah ini bukan perkara yang kecil kerana ia melibatkan keselamatan negara.
DPPNJ ingin mempertegaskan sekali lagi bahawa :-
isu penemuan beberapa belas keping kad pengenalan ini adalah merupakan satu perkara besar kerana ia membabitkan isu keselamatan negara.
DPPNJ mempersoalkan bagaimana kad pengenalan tersebut boleh dijumpai di sebuah tempat pembuangan sampah dalam keadaan yang meragukan sedangkan kad pengenalan tersebut masih lagi dalam keadaan yang sempurna tanpa ada tanda-tanda ianya telah dimusnahkan.
JPN hanya menyoal siasat kepada pemilik-pemilik kad pengenalan yang dijumpai sedangkan DPPNJ meragui bagaimana proses pelupusan kad pengenalan tersebut dibuat kerana salah seorang daripada tuan punya kad pengenalan tersebut telah mengesahkan bahawa beliau telah memulangkan kad pengenalan tersebut keada JPN.
Dalam laporan polis yang telah dibuat oleh Encik Zaaba Bin Ibrahim telah menyatakan bahawa beberapa kad perwakilan dan jentera pilihanraya UMNO yang tertera nama Hashimah Binti Abdul Samah, Naib Ketua Wanita UMNO Cawangan Taman Baru dijumpai bersama kad pengenalan tersebut. Apakah tidak perlu siasatan dibuat terhadap beliau yang mungkin disyaki terlibat dalam perkara ini?
Berdasarkan kepada maklumat-maklumat ini jelas bahawa kes ini tidak serius untuk ditangani sedangkan kad pengenalan ini adalah merupakan dokumen pengenalan diri yang cukup berharga kepada setiap rakyat Malaysia.
DPPNJ akan mengambil tindakan susulan terhadap jawapan balas daripada kedua-dua pihak ini termasuklah akan membawa perkara ini ke Parlimen Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri.