27 January 2006

ISLAM HADHARI PENYEBAB PERJUDIAN MAKIN MENULAR DALAM MASYARAKAT MELAYU

KENYATAAN MEDIA
(27 Januari 2006)


Berita Harian hari ini di dalam ruangan Rencana bertajuk “Perjudian Makin Menular Dalam Masyarakt Melayu” yang ditulis oleh Jami’ah Shukri telah menghuraikan dan membincangkan pelbagai persoalan yang berkaitan dengan sikap rakyat Malaysia khusunya orang melayu yang sangat gemar dan ketagih bermain judi sehingga penyakit berjudi nombor ekor terus menular di kalangan orang Melayu, walaupun diketahui perbuatan itu haram hukumnya di sisi Islam dan menyalahi undang-undang

Beberapa huraian yang beliau kemukakan sangat menarik untuk dibincangkan. Beliau memberi beberapa contoh yang berkaitan dengan kegiatan perjudian :

“Gara-gara membeli nombor ekor berharga RM1, seorang lelaki didenda RM2,000 atau enam bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, Selangor atas tuduhan berjudi. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 17 Enakmen Jenayah-jenayah Syariah Negeri Selangor 1990 dan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.”

“Bagaimanapun, kerajaan ada alasan mengapa premis dan amalan perjudian seperti nombor ekor dan loteri tidak dihentikan kerana mungkin tidak adil kepada kaum dan penganut agama lain yang liberal terhadap amalan berkenaan.

”Malah, aktiviti perjudian turut menyumbang kepada hasil negara. Dalam laporan 2004 lalu, jika dihentikan aktiviti judi nombor ekor, kerajaan akan kerugian RM620 juta setahun dari segi kutipan cukai. Sepanjang 2004, sebanyak RM1.8 bilion hasil pendapatan negara dikutip daripada aktiviti perjudian. Kerajaan turut memungut 20 peratus daripada hasil pendapatan syarikat yang diberi lesen mesin slot judi dan lapan peratus daripada Sports Toto.”

Kegiatan bermain judi bukan perkara asing bagi orang melayu lebih-lebih lagi judi telah dimuliakan di Malaysia dengan pelbagai nama. Ketika pertemuan dengan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Johor pada 18 Januari 2006 yang lalu, DPPNJ telah dimaklumkan bagaimana kes yang melibatkan penangkapan orang melayu/Islam di Johor yang ditangkap ketika membeli nombor ekor terlalu mengaibkan sehingga “bertimbun-timbun” fail dibuka terhadap kes perjudian ini. Namun begitu, tetap juga kegiatan perjudian di kalangan orang melayu/Islam berlarutan.


Sebab itulah PAS dan UMNO berbeza. PAS mengharamkan apa yang Allah haramkan, UMNO menghalalkan apa yang Allah haramkan. Pengharaman judi bukan daripada ijtihad atau fatwa ulama'.
Secara jelas di dalam Al-Quran telah dinyatakan bahawa judi adalah HARAM

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”(al-Maidah: 90)

“Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti ( daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?)”(al-Maidah: 91)

Ayat pengharaman judi bukannya ayat dzanni. Ianya ayat qat"iiyah yang tidak menerima sebarang ijtihad. Ulama menyatakan haramnya judi adalah termasuk di dalam perkara ma'lum min-al-din bi-al-darurah ( perkara yang perlu difahami dalam agama ).

Undang-undang negara ini membenarkan judi melalui perlesenan. Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan diberi kuasa memberi lesen kepada mana-mana syarikat yang menjalankan perniagaan judi. Kerajaan Negeri pula diberi kuasa mengeluarkan lesen premis perjudian (gaming house). Kedua-dua lesen ini mendatangkan hasil lumayan kepada negara melalui cukai perlesenan.

Oleh itu, ketagihan dan kedegilan orang melayu/Islam dalam perjudian sebenarnya berpunca daripada kegagalan kerajaan yang tidak menyekat aktiviti perjudian kerana perjudian merupakan salah satu daripada sumber pendapatan negara walaupun judi adalah HARAM.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: