12 July 2006

KINI KU MENGERTI BETAPA ISA MENZALIMI RAKYAT - BICARA 1

Pembuka Bicara

Ini adalah pertama kalinya dalam sejarah saya memulakan penulisan berkaitan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), satu akta yang digunakan oleh kerajaan UMNO/BN untuk menangkap dan mengurung mereka yang disyakki terlibat dalam kumpulan subversif, haluan kiri dan penentang kerajaan.

Bukan bermakna saya tidak tahu tentang ISA tetapi rasa keprihatinan saya terhadap isu ini sangat minimum, malah saya kurang memberikan perhatian terhadap kezaliman yang dilakukan terhadap tahanan ataupun terhadap keluarga tahanan.


Pemuda BA Johor Pencetus Semangat

Apabila saya dilantik sebagai Pengerusi Pemuda BA Johor pada bulan Julai 2005, saya telah diamanahkan sebagai Pengerusi Badan Kebajikan Keluarga Mangsa ISA Negeri Johor. Agak kurang selesa pada awalnya kerana saya tiada pengalaman dalam isu ISA ini. Mujurlah teman-teman Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor (AMKNJ) memberikan peransang dan dorongan terhadap saya untuk menjalankan amanah ini.

Bulan Ramadhan yang lalu Pemuda BA Johor telah mengatur program berbuka puasa bersama keluarga mangsa ISA di Johor. Kami berjaya mengumpulkan sebanyak 9 buah keluarga yang terlibat. Itulah pertama kalinya di dalam sejarah hidup, saya menghadiri program bersama keluarga tahanan ISA.

Dari sinilah, saya mula menyelami kehidupan mereka ini. Apa yang menyentuh hati saya ketika itu adalah kehidupan yang terpaksa ditempoh oleh isteri-isteri tahanan yang tidak mempunyai pendapatan tetap, terpaksa mencari sesuap nasi dengan kemampuan yang ada.

Sukar untuk menyekat air mata daripada terus menitis apabila mendengar sendiri liku-liku hidup yang di lalui oleh anak-anak tahanan. Itu belum lagi termasuk keadaan anak-anak ini yang tertekan perasaan mereka. Mereka juga anak-anak biasa yang perlukan kasih sayang seorang ayah.

Mengenali Pak Abu Urwah

Kesempatan bertemu dengan Haji Saari Bin Sungip (Abu Urwah) dan isterinya Puan Aliza Binti Jaafar (Kak Jie) di dalam program Retreat Pemuda BA Johor dan Hari Keluarga Pemuda BA Johor pada 1 & 2 Julai 2006 baru-baru ini telah membuka ruang kepada saya untuk mengenali beliau dengan lebih dekat.

Pengalaman selama dua hari bersama Pak Abu dan Kak Jie sebenarnya memberikan penertian kepada saya untuk merasai keperitan hidup sebagai tahanan ISA dan isteri tahanan ISA.

Memang sebelum ini saya telah beberapa kali bertegur sapa dengan Pak Abu yang kebetulannya kami adalah bekas anak didik STAR, Ipoh. Cuma bezanya kali ini adalah kerana saya dapat mengenali beliau sebagai seorang bekas tahanan dan pejuang menentang kezaliman ISA.

Beberapa buku yang beliau telah terbitkan seperti Suara Dari Kamunting, SB oh SB…dan Shit Too serta artikel-artikel yang ditulis dan disiarkan di dalam harakahdaily (Terkini : Ramai yang tidak tahu hak dan fahami kezaliman ISA : 6 Julai 2006) dan Malaysia Today (Terkini : Sengsara Kem Kemunting siri ke 16 : 5 Julai 2006) mendorong saya untuk mendekati dan mengenali beliau.

Saya dapat melihat bagaimana gigihnya beliau dalam mengharungi hidup sebagai tahanan dan bekas tahanan.

Saya masih teringat kata-kata beliau bagaimana saat-saat beliau ditahan sehingga menimbulkan rasa ketakutan yang amat sangat kepada jiran-jiran. Apabila beliau telah dibebaskan pun, jiran-jiran masih lagi tidak berani untuk menegur sapa malah cuba melarikan diri apabila berselisih di jalanan.


Kak Laila Isteri Yang Gigih

Pada Muktamar PAS Pusat yang lalu saya berkesempatan bertemu dengan seorang isteri tahanan ISA yang terlibat dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Puan Norlaila Othman atau saya panggil beliau Kak Laila telah hadir untuk membantu GMI untuk memberian kesedaran tentang kezaliman ISA.

Walaupun pertemuan dengan Kak Laila hanya berlansung dalam masa yang agak singkat tetapi saya dapat melihat bagaimana kesungguhan beliau untuk berjuang bukan sahaja untuk membebaskan suaminya tetapi sehingga bertegas untuk memstikan ISA terus dihapuskan.

Pada 12 Jun 2006 yang lalu, sepatutnya suami Kak Laila dibebaskan, tetapi penahanan suaminya telah dilanjutkan selama 2 tahun lagi, bermakna Kak Laila akan ‘kehilangan’ suaminya untuk tempoh yang sangat panjang.

Saya memang agak berat untuk menghubungi beliau kerana saya yakin bahawa sudah tentunya kak laila sedang bersedih. Pada mulanya, hanya SMS yang saya hantar sebagai penguat semangat. Hanya seminggu selepas daripada itu barulah saya menelefon beliau. Hampir setengah jam saya dapat mendengar luahan Kak Laila.


Pertemuan dengan Keluarga Tahanan ISA Johor

Pada 9 Julai 2006 yang lalu, sekali lagi saya mengetuai rombongan Pemuda BA Johor menziarahi isteri dan keluarga tahanan ISA di Johor Bahru.

Keadaan mereka tidak jauh berbeza tetapi mereka kelihatan lebih tabah daripada Ramadhan yang lalu. Isteri-isteri tahanan telah mempunyai pekerjaan walaupun tidak seberapa pendapatannya tetapi masih berupaya memberikan sesuap nasi dan menanggung anak-anak untuk ke sekolah.

Dalam dialog bersama mereka yang dikendalikan oleh Ketua AMKNJ Sdr Nurin Aina, kami telah mendapat gambaran tentang kehidupan mereka ketika ini serta keadaan suami mereka di dalam tahanan.

Penutup bicara

Kini, baru saya tersedar bagaimana zalimnya ISA. Mungkin ada risikonya memperjuangkan nasib tahanan dan keluarga mangsa ISA ini, mungkin ada risikonya menentang ISA, mungkin ada risikonya meletakkan diri untuk berazam menghapuskan ISA. Tetapi perjuangan perlu diteruskan untuk memastikan ISA ini terus dihapuskan.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Pengerusi Pemuda BA Negeri Johor
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.
019-7701830
13 Julai 2006, 1.05 pagi.