25 February 2010

ELAUN CUTI BERSALIN GURU KAFA DI JOHOR DIHAPUSKAN, BAYARAN TERDAHULU MESTI DIPULANGKAN


KENYATAAN MEDIA
(24 Februari 2010, 10 Rabiul Awal 1431)
No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(07/10)

TAJUK

ELAUN CUTI BERSALIN GURU KAFA DI JOHOR DIHAPUSKAN, BAYARAN TERDAHULU MESTI DIPULANGKAN

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) telah menerima satu salinan surat yang telah dikeluarkan oleh Bahagian Pendidikan Agama, Jabatan Agama Johor bertarikh 17 Februari 2010 dengan bilangan surat Bil (3) PPAJ/06/02/07(32) berkaitan dengan tindakan terlebih bayar elaun Guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) yang telah bersalin.

Surat yang difotokopi dan diserahkan kepada semua guru KAFA yang terlibat ini iaitu mereka yang telah mengambil cuti bersalin sejak tahun 2007 dan mereka telah menerima bayaran elaun selama dua bulan sepanjang tempoh cuti tersebut.

Apa yang mengejutkan setiap guru yang telah menerima elaun tersebut telah diarahkan untuk membayar kembali elaun yang telah diterima kepada Bahagian Pendidikan Agama JAJ dan perlu dijelaskan selewat-lewatnya pada atau sebelum 1 Mac 2010.

DPPNJ mendapat maklumat bahawa :-

1. Elaun yang diterima oleh guru KAFA di Johor yang mengajar selama empat setengah jam akan menerima RM812 sebulan manakala guru KAFA yang mengajar selama tiga jam akan menerima elaun sebanyak RM612 sebulan.

2. Sebelum tahun 2007, guru-guru KAFA yang bercuti kerana bersalin menikmati elaun penuh selama enam puluh hari cuti bersalin. Selepas itu, guru KAFA terpaksa mengambil cuti bersalin tanpa gaji.

3. Pada 26 Jun 2008, Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, YB Zainal Abidin Osman telah menjawab soalan YB Halim Suleiman (BN-Puteri Wangsa) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Johor dengan menyatakan bahawa kerajaan negeri menerima peruntukan sebanyak RM14.1 juta setahun daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi tujuan pembayaran elaun kepada 1,850 guru dan penyelia Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini dan kerajaan Johor telah menambah peruntukan tersebut sebanyak RM5.6 juta setahun.

4. Laporan Audit Negara seperti mana yang telah dibentang oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin yang telah dikeluarkan pada tahun 2009 telah menyatakan bahawa kesemua guru KAFA di Johor tidak menikmati imbuhan tahunan kakitangan awam walaupun mereka berhak menerimanya seperti diumumkan kerajaan melalui pekeliling pada 2006 dan 2008 dan ia boleh menjejaskan motivasi guru-guru terlibat sehingga mengganggu perjalanan sistem KAFA.

Terdapat beberapa perkara yang saya ingin mempertegaskan di sini iaitu :-

1. Guru KAFA di Johor yang telah terlibat dalam perkara ini terpaksa membayar kembali elaun yang mereka telah terima sebelum daripada ini sedangkan mereka tidak tahu menahu bahawa JAJ telah menghapuskan peruntukan kepada guru KAFA yang bersalin. Dengan elaun yang kecil, guru-guru ini sudah tentu tertekan dengan surat yang ingin mereka membayar kembali elaun tersebut. Secara tidak langsung ia adalah satu penindasan kepada guru KAFA di Johor sedangkan guru KAFA di Selangor menikmati elaun penuh semasa cuti bersalin.

2. Kerajaan negeri Johor sepatutnya mengambil iktibar di atas sikap kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat yang telah mengambil tindakan paling awal ketika berjaya membentuk kerajaan baru dengan tambahan elaun khas kepada Guru-Guru Kelas Fardhu Ain (KAFA) seluruh Pulau Pinang sebanyak RM863 ribu bagi jumlah 1,450 guru dan 11 penyelia guru KAFA. Menurut YAB Lim Guan Eng, beliau meletakkan nombor satu tentang soal pendidikan kerana guru KAFA sanggup meluangkan masa untuk mengajar anak-anak bangsa ke arah pembentukan akhlak.

3. Saya bimbang dengan perkembangan ini kerana ia secara tidak langsung menggambarkan kedudukan ekonomi negeri Johor yang semakin merosot sehingga menyebabkan JAJ terpaksa mengambil keputusan untuk menghapuskan elaun cuti bersalin kepada guru-guru KAFA di Johor. Apakah kerana desakan ekonomi yang semakin merudum ataupun kerana tidak ada rasa keprihatinan terhadap kaum wanita yang sanggup berkorban untuk mendidik anak-anak ke arah yang lebih baik. Sedangkan, negeri yang lain seperti Selangor memberikan cuti bersalin bergaji selama enam puluh hari.

Maka, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor :-

1. mendesak supaya JAJ memperjelaskan perkara ini kepada umum tentang elaun guru KAFA yang dihapuskan dan mengapa perlu membayar semula elaun cuti bersalin yang telah diberikan terlebih dahulu sedangkan JAJ tahu bahawa ia adalah berpunca daripada kelemahan JAJ sendiri.

2. mendesak agar elaun cuti bersalin yang telah diterima oleh guru KAFA yang terlibat dengan bersalin tidak ambil kembali dan perlu diberikan kembali elaun tersebut pada masa akan datang.

DPPNJ akan membuat tindakan susulan terhadap perkara ini dalam masa terdekat termasuklah penyerahan memorandum kepada Jabatan Agama Johor.

Sekian

PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN

Yang benar,

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Tel : 019-7701830

12 February 2010

Kita Pejuang Pas

Salam Kamunting,

Menjadi seorang muslim adalah bermaksud memasukkan diri ke dalam kerangka dan acuan Islam. Ia bermaksud anda beriman kepada Allah, tuhan yang esa lalu akur dan tunduk kepada pengajaran dan undang – undangNya.

Apabila anda kekal di dalam acuan itu, anda adalah seorang muslim yang sempurna. Jika sebaliknya, anda cacat dan kecacatan itu akan terus membesar dan bertambah mengikut tahap perlanggaran terhadap undang – undangNya. Jika berlaku keengkaran, ia bererti kekufuran dan keluar dari agama.

Menjadi seorang muslim bererti memasuki perlumbaan menuju kesempurnaan. Kesempurnaan adalah berusaha menjadikan diri semakin dekat dengan Allah yang esa dan memperolehi keridhaanNya.

Kesempurnaan dan taqarrub kepada Allah hanya berlaku apabila kita semakin mendekati sunnah RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam. Baginda adalah penunjuk jalan yang satu dan baginda adalah ikutan yang satu di dalam agama. Tiada siapa boleh berlumba di atas landasan selain landasan binaannya.

Kemuncak perlumbaan adalah apabila anda menjadi pejuang Islam yang ikhlas.

Ia bererti anda bukan hanya beriman dengan Islam, bahkan menyiapkan diri sebagai pejuang yang mendukung perjuangan menegakkan ugama Islam di dunia dan kehidupan ini. Itulah matlamat perutusan para anbiya’. Mereka membawa ugama dan memperjuangkannya demi mencapai taqarrub dan keridhanNya.

Islam di dunia ini mesti tegak berdiri ke atas seluruh agama dan ideologi yang lain. Justeru ia menuntut perjuangan dan para pejuangnya.

Menjadi seorang pejuang Islam bukanlah sekadar hanya menjadi seorang muslim biasa. Ia menuntut usaha besar menuju puncak tertinggi. Ia penuh kesukaran dan ia pastinya milik para pejuang yang bersedia menempuh kesukaran dengan jayanya.

Menjadi seorang pejuang bermaksud bersedia patuh kepada peraturan sebagai seorang tentera. Ia menuntut disiplin pada tahap tertinggi. Bagaimana boleh dibayangkan sebuah kemenangan yang dibarisi para tentera yang mempunyai disiplin yang lemah?

Justeru anda tahu bahawa bukanlah senang untuk menegakkan Islam di dunia ini. Menegakkan Islam bererti menundukkan seluruh kekuatan kufur yang merajai dunia hari ini.

Ia menuntut pejuang Islam untuk menguasai banyak perkara dan menggerakkannya dengan penuh disiplin. Pastinya, ia bukan dekat jaraknya, pendek masanya dan mudah caranya.

*****

PAS adalah wadah perjuangan Islam.

Di dalam PAS, pejuangnya dikaderkan seawalnya. Sebelum mencecah umur suku abad, ahli PAS yang dilatih dan ditarbiyah sebenarnya sudah melalui dan menguasai disiplin seorang pejuang. Apabila dia muncul di medan, sayugianya dia tidak kekok untuk berkenalan dengan selok belok dan ranjau di perjalanan dakwah. Itulah sebaik – baik persediaan untuk anak – anak muda yang berjuang.

Adapun jika seorang pejuang PAS itu terlepas daripada latihan dan tarbiyah di awal umurnya dan hanya bersama PAS selepas berlalu umur mudanya, dia akan tetap melalui perkaderan sebagai pejuang PAS. Ia tentunya tak sama dan dipisahkan oleh jumlah masa yang lebih terhad untuknya. Justeru modul dan disiplinnya adalah berbeza.

Anak muda pejuang adalah lebih berpeluang untuk lebih berjaya. Umur muda tiada galang ganti dengan umur tua.

Tetapi, disiplin adalah disiplin. Ia menuntut itiqamah dan konsistensi.

Saat itu, ia tidak menjamin umur muda berbanding umur tua. Orang lama dan baru adalah sama.

Justeru gejala kegelinciran dan kelayuan melanda tanpa mengenal usia dan tahap. Yang menjadi penyelamat hanyalah kekuatan diri untuk bertahan dan istiqamah dalam perjuangan. Para anak muda sayugia sekali diingatkan dengan fenomena ini agar mereka lebih bersedia untuk menangani ujian yang lebih getir dalam perjuangan. Jika tidak, mereka akan berhadapan kerugianyang tiada galang gantinya. Mereka terlucut gelaran ’al mujahidun’ yang diimpikan setiap muslim yang mencintai al rasul dan perjuangannya.

Beristiqamah dan berdisiplin juga adalah tanggung jawab dan amanah. Keretakan padanya, selain membawa padah pada diri sendiri juga akan menggoncang keutuhan jamaah dan perjuangan. Setiap kita mestilah berusaha mengelak daripada menjadi beban kepada jamaah. Semakin kita berada diatas, semakin besarlah kesan daripada perlakuan dan tindakan kita.

Pemimpin tertinggi mestilah memiliki ciri – ciri pejuang yang lebih bernilai berbanding pemimpin bawahan dan pejuang di bawah.

Secara mudah dan jelas, setiap kita mesti kagum dengan ringkasan yang dilumatkan oleh al ustaz Hasan al Banna di dalam rukun bai’ahnya yang sepuluh. Jika ahli PAS berpegang padanya nescaya parti PAS akan sentiasa unggul dan dihormati pada bila – bila masa.

Saya melihat suasana sukar hari ini banyak berpunca daripada kegagalan kita melumati kembali apa yang telah kita lumati seawal zaman awalan tarbiyah dulu. Kita disibukkan untuk berlumba merungkai bermacam masalah sedang kita sendiri adalah sebahagian daripada masalah.

Sebuah rumah tangga teguh bahagia kerana ketaatan kepada ketuanya, bukan kerana kegalakan mencari kebebasan bersuara di dalamnya.

Disiplin adalah patuh. Istiqamah adalah cekal.

Ayuh, patuh dan cekal berjuang!

Sumber : http://nikabduh.wordpress.com

05 February 2010

Gong Xi Faa Chai 2010

Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Johor mengucapkan Selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada semua masyarakat Tionghua yang berada di seluruh Johor khasnya dan seluruh negara amnya.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Johor

03 February 2010

KONSEP SEBENAR 1MALAYSIA DITERJEMAHKAN OLEH DATUK NASIR SAFAR DI MELAKA


KENYATAAN MEDIA
(3 Februari 2010, 18 Safar 1431)

No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(06/10)


TAJUK
KONSEP SEBENAR 1MALAYSIA DITERJEMAHKAN OLEH DATUK NASIR SAFAR DI MELAKA

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) tidak terkejut dengan kenyataan yang telah dibuat oleh Datuk Nasir Safar, pegawai Khas kepada Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk seri Najib Tun Razak berkaitan dengan label yang telah diberikan kepada rakyat Malaysia daripada kaum Cina dan India.

Datuk Nasir Safar adalah merupakan pegawai khas kepada Perdana Menteri yang dilihat sebagai individu yang cukup kuat mendokong aspirasi Perdana Menteri Malaysia ketika ini. Beliau dilihat sebagai individu yang kerap menyampaikan penerangan konsep 1Malaysia di seluruh negara. Beliau cukup yakin dengan maklumat yang disampaikan kepada pendengar bahawa konsep 1Malaysia yang diinspirasikan oleh PM adalah satu konsep yang terbaik untuk menyatupadukan rakyat Malaysia.

Namun, segalanya berubah apabila beliau telah terlanjur dalam kata-katanya ketika berucap pada seminar '1Malaysia' yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Budaya di MITC, Ayer Keroh Melaka semalam, menyebabkan puluhan ahli MIC, MCA dan perwakilan pertubuhan bukan kerajaan meninggalkan majlis berkenaan.

Nasir telah melabelkan kaum India dan Cina sebagai pendatang dan mengancam akan menarik balik kerakyatan mereka yang menentang keputusan kerajaan untuk menghadkan 12 matapelajaran sahaja untuk peperiksaan SPM. Nasir dikatakan membuat kenyataan demikian ketika merujuk kepada beberapa isu dan tuntutan yang dibuat oleh kaum bukan Melayu dalam soal polisi pendidikan negara.

Pada forum 1Malaysia tersebut Nasir dikatakan telah menyatakan bahawa kaum bukan Melayu di negara ini asalnya adalah pendatang dan peminta sedekah. Nasir telah mengumumkan kesediaan untuk meletakkan jawatan dan memohon maaf terhadap sebarang kenyataannya yang menyinggung mana-mana pihak.

Berikutan daripada kenyataan terlampau Nasir, Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan satu kenyataan malam tadi dengan menyatakan bahawa kenyataan yang didakwa dibuat oleh Nasir "dalam keadaan apa cara sekalipun tidak mencerminkan pandangan Perdana Menteri."

DPPNJ melihat bahawa kenyataan Nasir sebagai individu yang mendapat kepercayaan yang tinggi daripada PM sudah tentu lebih arif tentang realiti sebenar perpaduan kaum di Malaysia lebih-lebih lagi beliau kerap kali diutuskan untuk menyampaikan taklimat dipelbagai peringkat tentang konsep sebenar 1Malaysia.

DPPNJ percaya bahawa kenyataan Nasir berkaitan dengan melabelkan kaum bukan Melayu sebagai pendatang dan peminta sedekah semasa forum 1Malaysia di Melaka ini sebagai satu kenyataan yang jujur daripada beliau mengikut apa yang beliau telah hadapi dan lalui, bukannya sebagai satu kenyataan yang tidak disengajakan.

Apa yang berlaku, mungkin Nasir tidak menyangkakan bahawa akan berlaku protes dan bantahan daripada MIC dan MCA yang hadir dalam majlis tersebut yang akhirnya membawa kepada perletakkan jawatannya sebagai pegawai Khas PM.

DPPNJ melihat bahawa kenyataan Datuk Nasir akan lebih menguatkan dakwaan bahawa konsep 1Malaysia yang dicanangkan kepada masyarakat Malaysia oleh Najib Razak pada hari ini adalah sebagai satu slogan untuk menipu rakyat supaya berpaut kembali kepada UMNO/BN terutamanya masyarakat Cina dan India sedangkan masalah utama yang menyebabkan perselisihan dan perbalahan kaum tidak diselesaikan.

Konsep 1Malaysia hanyalah merupakan satu penjelmaan semula UMNO/BN yang telah disolek supaya rakyat tidak sedar bahawa luarannya dilihat cantik tetapi realitinya badannya tetap sama.

Terima kasih Datuk Nasir Safar kerana memberikan gambaran sebenar tentang konsep 1Malaysia.

Sekian

PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN

Yang benar,


KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://minda-kembara.com/
http://www.facebook.com/khairul.faizi1
Tel : 019-7701830

01 February 2010

Tahniah Lajnah ICT DPPNJ Di atas Kewujudan Facebook Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Saya mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Lajnah ICT Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Zulhilmie Mohd Rohani kerana telah berjaya mewujudkan facebook DPPNJ.
.
Seperti mana yang telah saya nyatakan di dalam Ucaptema sempena Muktamar DPPNJ pada tahun 2009 bahawa Pemuda perlu menguasai ICT dan mengikuti arus perubahannya, ustaz Zulhilmie telah menggesa agar pimpinan DPPNJ dan pimpinan DPP di peringkat kawasan-kawasan agar mewujudkan akaun facebook.

.
Setelah berjaya menggerakkan proses pertama tersebut maka 'akaun induk' DPPNJ pula diwujudkan.

.
Diharapkan gerakerja untuk mempromosikan facebook DPPNJ akan dilakukan dengan konsisten.

Wassalam.
.
Khairul Faizi Ahmad Kamil
1 Februari 2010