14 May 2005

PELANCARAN KEMPEN "BELILAH BARANG MURAH" SEMAKIN MERUMITKAN KEADAAN

KENYATAAN MEDIA
(13 Mei 2005)

Saya ingin merujuk kepada kenyataan akhbar bertajuk "Kempen Beli Barang Murah" yang disiarkan pada hari ini di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia. Kempen ini dikatakan akan dilancarkan di seluruh negara minggu depan sebagai langkah drastik kerajaan membendung `pesta naik harga'. Dinyatakan juga bahawa untuk mencapai kejayaan kempen ini, rangkaian kerjasama dengan pasar raya besar seperti Tesco, Giant, Carrefour dan Mydin selain beberapa pasar basah di kampung-kampung dan kawasan terpencil di seluruh negara, diwujudkan. Strategi terbaru kerajaan ini diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd. Shafie Apdal kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Exco-exco Hal Ehwal Pengguna negeri di kementeriannya.

Melalui kempen itu, Datuk Mohd. Shafie Apdal melihat, tiada ruang untuk peniaga-peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan mereka ekoran kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) ingin menegaskan bahawa DPPN Johor bersetuju dengan kenyataan bahawa peniaga tidak sepatutnya menaikkan harga barangan jualan tetapi perlu diingat juga bahawa kenaikan harga barangan ini berpunca daripada sikap dan cara kerajaan menangani masalah penyeludupan diesel. Sejak kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak diesel sebanyak 20 sen seliter dan petrol, 10 sen seliter, telah menyebabkan berlaku kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Kenaikan harga barang-barang keperluan dan perkhidmatan secara berleluasa kebelakangan ini sememangnya adalah merupakan satu bukti kegagalan kerajaan dalam memastikan rakyat tidak terbeban ekoran kenaikan harga minyak.

DPPN Johor yakin bahawa sekiranya tidak berlaku kenaikan harga diesel dan petrol, kejadian menaikkan harga barangan khususnya barangan runcit tidak akan berlaku seperti yang terjadi pada hari ini. Sepatutnya implikasi dan kesan kenaikan harga diesel dan petrol yang akan dibuat oleh kerajaan perlu dilihat terlebih dahulu.

DPPN Johor juga sangat kesal dengan tindakan kerajaan yang memilih rangkaian pasaraya besar yang selama inipun telah menyebabkan kemerosotan hasil peniagaan kecil, dengan sikap kerajaan ini akhirnya akan menyebabkan lebih banyak peniaga kecil akan 'gulung tikar'. Tindakan ini akan menyebabkan peniaga runcit akan lebih tertekan.

Datuk Mohd. Shafie Apdal juga menyebut bahawa, tidak logik barang-barang yang tidak ada kena-mengena dengan diesel dan petrol naik contohnya, sayur, ikan, ayam dan teh tarik, sekali pun bukan 50 atau 100 peratus barangan berasaskan diesel dan petrol. Seperti teh tarik, tiada alasan untuk menaikkannya kerana gula, susu dan teh juga bukan barangan berasaskan komponen bahan api itu. Apabila peniaga menaikkan harga barangan jualan mereka tentulah mereka mempunyai alasan tersendiri. Apakah ayam, ikan dan sayuran itu boleh sampai ke kedai atau pasar dengan sendirinya tanpa menggunakan kenderaan seperti lori dan lori ini sudah tentunya menggunakan diesel untuk bergerak. Peruncit terbeban akibat menanggung kos pengangkutan daripada pemborong dan pengedar.

Saya bimbang krisis yang melanda rakyat pada hari ini akhirnya terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia. Kerajaan menaikkan harga disel dan petrol, peniaga menaikkan harga jualan barangan. Yang menanggung akibatnya adalah rakyat. Nampaknya semakin hari kehidupan rakyat Malaysia semakin tertekan. Kerajaan mestilah mengambil tindakan membetulkan kesilapan bukannya menyalahkan peniaga kerana kesilapan kerajaan sendiri.
Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7219913/012-7811830

No comments: