24 November 2005

PENDEDAHAN SALAHUDDIN AYUB BERKAITAN ISU AIR MEMBUKTIKAN KERAJAAN BN JOHOR TIDAK PANDAI MEMERINTAH

KENYATAAN MEDIA
(24 November 2005)


Pendedahan secara rasmi yang telah dilakukan oleh YB Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat berkaitan dengan masalah air di Johor sebenarnya sangat ditunggu-tunggu oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor).

Harakahdaily pada 23 November 2005 menyiarkan berita bagaimana Salahuddin Ayub menyelar sikap beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di dalam sidang Parlimen yang sering mengaitkan Kelantan dengan masalah air, sedangkan fenomena itu turut berlaku di setiap negeri. Beliau yang bangkit sejurus selepas Shaari Hassan(BN-Tanah Merah) mengecam kualiti air di Kelantan, berkata ia merupakan satu tuduhan yang tidak adil dan bermotifkan politik semata-mata. Isu air ini adalah isu nasional dan perlu tindakan bijak dari kerajaan. Ia bukan isu negeri dan tak boleh tuding jari kepada mana-mana negeri yang menghadapi masalah air.

Salahuddin mendedahkan bagaimana beliau bersama Jawatankuasa Terpilih (Caucus) Parlimen pernah bertemu dengan Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman, berhubung isu air, di mana Ghani turut mengakui bahawa perjanjian yang termeterai antara kerajaan negeri dan syaikat pengurusan air terlalu berat sebelah dan hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja. Malah, untuk membersihkan tangki pun, terpaksa dibayar oleh kerajaan negeri Johor.

Sebelum itu pada 22 November 2005, harakahdaily juga telah menyiarkan bahawa Salahuddin mendedahkan pengakuan Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, yang mengakui kegagalannya mengatasi masalah air di negeri ini akibat dari kelemahan perjanjian yang dibuat oleh Menteri Besar Johor sebelum ini. Perjanjian yang dibuat antara MB ini dengan Syarikat Air Johor Berhad (sekarang dikenali Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd - SAJH) langsung tidak memihak kepada Kerajaan Negeri.

DPPN Johor menyokong kenyataan Ketua DPPP bahawa masalah air di Johor akan tetap tidak dapat diselesaikan selagi mana perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini tidak dibatalkan. DPPN Johor telah menggunakan pelbagai cara untuk mendedahkan perkara yang sebenar sehingga terjadinya krisis air di Johor tetapi masih tidak mendapat apa-apa respon daripada MB Johor termasuklah laporan Polis terhadap beliau pada bulan September 2005 berkaitan dengan isu ini.

Begitu juga dengan memorandum yang telah diserahkan kepada Ghani Othman bersama dengan Jawatankuasa bertindak Selamatkan Air Johor (JBSAJ) pada 26 September 2005 sehingga kini masih belum mendapat reaksi daripada beliau.

Hari ini Berita Harian (Edisi Johor) telah melaporkan bahawa Kerajaan negeri Johor menyediakan peruntukan RM152 juta bagi menyalurkan air dari Empangan Bekok di Segamat untuk mengatasi masalah bekalan air yang sering dihadapi penduduk di kawasan Batu Pahat dan Ayer Hitam. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata pemasangan paip untuk menyalurkan air ke tiga loji rawatan sedia ada iaitu Parit Raja, Sri Gading dan Yong Peng akan dimulakan awal tahun depan.

Abdul Ghani Othman masih lagi menggunakan hujah-hujah lemah beliau untuk menutup kelemahan yang dihadapi oleh Kerajaan negeri Johor. Beliau berkata, masalah bekalan air di Batu Pahat dan Ayer Hitam agak ganjil kerana ia berlaku ketika musim hujan. Keadaan ini berlaku kerana sebahagian besar kawasan ini adalah tanah gambut yang kandungan asidnya agak tinggi sehingga mencemarkan air. Abdul Ghani berkata beliau yakin masalah air yang sering dihadapi penduduk di Batu Pahat dan Ayer Hitam akan berakhir kerana kualiti air di Empangan Bekok dijamin tidak berubah walaupun ketika musim hujan.

DPPN Johor melahirkan rasa kesal dengan penggunaan sebanyak RM 152 juta wang rakyat Johor untuk menyelesaikan masalah air sedangkan perkara pokok kepada masalah ini tidak diselesaikan. Kita jangan lupa dengan pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Hadenan A. Jalil yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 2 Oktober 2005 yang lalu menyatakan bahawa tunggakan bayaran balik pinjaman kerajaan negeri Johor adalah merupakan negeri yang paling banyak tunggakan iaitu RM 598.35 juta.

DPPN Johor mencabar agar Abdul Ghani Othman menafikan kenyataan yang telah dibuat oleh Salahudin Ayub sekiranya kenyataan tersebut palsu dan tidak berasas. Tetapi sekiranya beliau enggan bermakna kerajaan BN di Negeri Johor terlalu lemah sehingga masalah air untuk kegunaan rakyat tidak mampu diselesaikan.

Sekian


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: