30 April 2007

SAMBUTAN HARI PEKERJA : JADILAH PEKERJA YANG MERDEKA

KENYATAAN MEDIA

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua warga Malaysia khususnya warga pekerja yang bermastutin di negeri Johor. Tarikh keramat 1 Mei bukanlah sekadar tarikh untuk kita merehatkan diri daripada tanggungjawab dan bebanan kerja dan untuk kita bercuti semata-mata tetapi seharusnya dijadikan sebagai hari untuk kita mengambil peluang menyatakan sikap kita sebagai pekerja.

Ini merupakan peluang dan ruang yang disediakan kepada para pekerja diseluruh negara untuk meluahkan sikap mereka terhadap apa yang mereka lalui sebagai warga pekerja. Adakah kita telahpun merdeka sebagai seorang pekerja ataupun kita masih dikongkong dan dijajah pemikiran dan jati diri.

Media massa sudah tentunya memberikan ruang yang cukup luas untuk sambutan ini walaupun ruangan itu sudah dapat diandaikan bahawa ianya akan diberikan kepada kerajaan dan agensi-agensinya.

Sejarah membuktikan bahawa bukan mudah sebenarnya 1 Mei ini digazetkan sebagai cuti umum kerana ianya hanya bermula pada tahun 1972 hasil daripada kesungguhan perjuang terdahulu yang meperjuangkan hak para pekerja di Malaysia sehinggalah akhirnya kerajaan telah bersetuju untuk menobatkan hari pekerja yang kita akan sambut esok hari.

Saya juga menyeru kepada seluruh rakyat Johor yang cintakan demokrasi dan keamanan untuk turut serta dalam himpunan pekerja (Sambutan MAYDAY 2007) oleh Jawatankuasa 1 Mei yang akan diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada 1 Mei 2007 ini.

Mudah-mudahan himpunan ini akan mendedahkan kita kepada perjuangan kelas pekerja diseluruh dunia dan di Malaysia serta memberikan kita kekuatan untuk menegakkan hak kita sebagai pekerja.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Pengerusi Pemuda BA Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

27 April 2007

DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU

KEBINGITAN MALAM DI BUKIT BINTANG


Pada 25 April 2007, saya bersama rombongan DPPNJ singgah di kota raya KL semasa dalam perjalanan balik dari Ijok untuk melihat sendiri aktiviti malam di sana. Kami singgah di Lorong Haji Taib dan di Bukit Bintang.

Lorong Haji Taib masih lagi menjadi pusat kumpulan 'perempuan jadian' yang mencari rezeki di lorong-lorong gelap.

Di Bukit Bintang pula, kami singgah di kawasan disko terbuka yang diberi nama THE BEACH dan amat menyedihkan apabila disko yang dipenuhi dengan pelanggan termasuk pelancong asing dan dihiasi dengan GRO yang terdiri daripada kalangan perempuan melayu yang terus dihanyut nafsu.

Ketika itu jam telahpun menunjukkan pukul 2 pagi. Teksi-teksi bersusun ditepi jalan untuk menunggu pelanggan yang akan pulang selepas puas menikmati 'air setan' dan 'anak setan'. Terdapat pos polis berdekatan dengan tempat ini.

Seorang pemandu teksi memberitahu kami bahawa keadaan ini adalah biasa dan akan lebih 'havoc' bila tiba hujung minggu.

Rakaman video akan saya upload nanti, insya Allah.

Inilah Malaysia, tanahairku...

JALAN DI IJOK TERUS DI TAR

17 April 2007

TARIAN SEPARUH BOGEL UNTUK TARIK PELANGGAN


Harian Metro hari ini di muka hadapan memaparkan berita berkenaan tangkapan yang telah dilakukan oleh polis Kluang kerana terdapatnya aduan bagaimana sebuah restoran di bandar Kluang yang menggunakan khidmat tarian separuh bogel untuk menarik pelanggan.

Pelbagai cara digunakan oleh pengusaha kedai makan ketika ini untuk menarik minat pelanggan seperti membuat tayangan secara 'live' perlawanan bolasepak dan ruangan berkaraoke namun kini tarian separuh bogel pula yang menjadi pendekatan baru.

Persoalannya, apakah garis panduan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam meluluskan sesuatu premis itu untuk menjalankan aktiviti perniagaan yang berbentuk kedai makan?. Apakah perlu sesebuah gerai makan, restoran atau yang seumpamanya menyediakan ruangan hiburan sedangkan ianya adalah sebuah tempat yang menjalankan perniagaan makanan?

DPPNJ akan membuat susulan terhadap isu ini.

16 April 2007

KENYATAAN MEDIA PEMUDA BA JOHOR

KENYATAAN MEDIA

(16 April 2007)

No Rujukan : Pemuda_BA_Johor(03/07)

TAJUK :

HIMPUNAN PEMUDA BARISAN ALTERNATIF (BA) NEGERI JOHOR DITANGUHKAN

Jawatakuasa Pemuda Barisan Alternatif Negeri Johor (Pemuda BA Johor) telah mengadakan Mesyuarat Tergempar pada 15 April 2007 bagi membincangkan sama ada Himpunan Pemuda BA Johor yang telah dijadualkan berlansung pada 22 April 2007 ini perlu diteruskan ataupun tidak memandangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telahpun membuat keputusan untuk meletakkan calon di dalam pilihanraya kecil DUN Ijok, Selangor.

Pemuda BA Johor telah bersetuju untuk menangguhkan Himpunan Pemuda BA Johor ini kepada tarikh 10 Jun 2007 untuk memberi ruang kepada jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor untuk terlibat di dalam pilihanraya kecil DUN Ijok.

Perkembangan lanjut berkaitan dengan himpunan ini akan dimaklumkan nanti.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Pengerusi Pemuda BA Negeri Johor

Ketua Dewan Pemuda PAS Johor

019-7701830

Nurin Aina Binti Abdullah

Timbalan Pengerusi Pemuda BA Negeri Johor

Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor

012-7616421



14 April 2007

UCAPTEMA MUKTAMAR DPPN JOHOR TAHUN 2007

"MEMBINA KEYAKINAN, MENJANA KEMENANGAN" telah dipilih menjadi tema kepada Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Johor pada tahun ini. Tema ini adalah lanjutan kepada ucaptema yang telah disampaikan pada tahun lalu iaitu "MENJANA KEBANGKITAN RAKYAT".
Beberapa penegasan, pandangan dan tindakan telah digariskan dalam ucaptema kali ini dan ucaptema pada tahun ini menjurus kepada persiapan untuk pemuda menghadapi pilihanraya. Pengerusi kepada panel ucaptema ini adalah Sdr Suhaizan Bin Kaiat (Naib Ketua DPPNJ).
Ucaptema ini akan disampaikan dalam muktamar DPPNJ pada 5 Mei 2007 nanti oleh Ketua DPPNJ.
Wassalam.

04 April 2007

PENAJA UMNO SARAWAK?


Dalam ramai-ramai penyokong BN yang hadir, ada seorang penyokong yang memakai vest "PENAJA UMNO SARAWAK". Jenuh sdr Faizul (SU DPPNJ) mengekori insan ini untuk merakamkan gambar ini untuk tatapan semua.

Apa agaknya yang cuba disampaikan oleh insan ini, mungkinkah dia terlalu bersungguh-sungguh nak menubuhkan UMNO di Sarawak atau bagaimana?

PENYOKONG BN MENGGANAS DI MACHAP


Walaupun piiharaya kali ini melibatkan diantara DAP vs MCA/BN tetapi pemuda gerak gempur MIC lebih menonjol berbanding dengan yang lain-lain.

Kelihatan bagaimana jurugambar & pemberita tidak dibenarkan membuat liputan terhadap pemimpin mereka malah jurugambar dihalau dengan nada kemarahan. "We don't need reporter here, get lost!" kata seorang daripada mereka.

Ada dikalangan penyokong DAP yang diserang sehingga cedera dalam keadaan yang mencemaskan (rujuk akhbar Sin Chew Daily, 4 April 2007) sehingga terpapar gambar seorang penyokong wanita DAP terpaksa mempertahankan diri menggunakan kayu bendera.

Yang peliknya, tiada seorangpun 'gangster' ini ditahan polis. Mana perginya FRU yang selalu menggunakan belantan memukul penyokong PAS dan parti pembangkang yang lain?. Apakah mereka 'merestui' sikap penyokong BN ini?

SEKITAR PENAMAAN CALON DUN MACHAP


Semalam, saya bersama beberapa orang sahabat dari Johor singgah di Alor Gajah bagi melihat proses penamaan calon di DUN Machap.

Sempat juga bertanya khabar dengan beberapa pimpinan DAP Johor yang saya temui semalam seperti Dr Boo Cheng Hau (Pengerusi DAP Johor), Sdr Ahmad Bin Ton (Naib Pengerusi DAP Johor), Sdr Tan Hong Pin (Setiausaha Pemuda DAP Johor dan Sdr Eng Lam Swa (DAP Kluang).

Pimpinan PKR yang saya temui semalam adalah Encik Gobalakrisnan, Sdr Samsul Iskandar dan Sdr Mohd Yusuf (Ketua AMK Melaka).

02 April 2007

KE MANA HALA TUJU PEMUDA PAS JOHOR


Menjelang Muktamar DPPNJ pada 5 ~ 6 Mei 2007 yang akan datang, DPPNJ akan menyorot kembali perjuangan yang telah dilalui sejak ditubuhkan 35 tahun yang lalu.

Nama-nama besar seperti YB Salahudin Ayub (Ketua DPP Pusat, AP Kubang Krian), Sdr Mazlan Aliman (Naib Ketua DPP Pusat, Lembaga Pengarah HARAKAH), Sdr Ismail Ibrahim (Bekas AJK PAS Pusat, Bekas TPJ PAS Johor), Allahyarham Tuan Haji Hamid (kontraktor melayu yang berjaya) dan Tuan Haji Hassan Hussin (Bekas Pesuruhjaya PAS Johor) membayangkan betapa DPPNJ telah dipimpin oleh mereka daripada pelbagai latar belakang.

Insya Allah, temubual bersama mantan-mantan Ketua DPPNJ dan keluarga serta sahabat handai sedang dilakukan dan akan disiarkan tidak lama lagi.

GERAKKAN JENTERA PENDAFTAR PENGUNDI


Kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar di dalam media cetak hari ini bahawa terdapat lebih kurang 4.9 juta rakyat di Malaysia yang telah pun melepasi had umur 21 tahun yang masih belum mendaftarkan diri sebagai pengundi perlu diambil perhatian yang serius lebih-lebih lagi beliau menyebut bahawa ia melibatkan kebanyakkannya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Kecenderongan pelajar IPT untuk tidak melahirkan minat untuk mendaftar ini perlu ditangani segera kerana sikap seperti ini akhirnya akan merugikan masa depan negara.

Wan Ahmad berkata, sehingga Disember lalu 15.2 juta rakyat layak mengundi selepas mencapai umur 21 tahun, tetapi hanya 10.3 juta yang mendaftar sebagai pengundi dan Johor merupakan negeri ketiga teramai dalam ranking tersebut dengan jumlah 400 ribu yang masih belum mendaftar.

Justeru saya menyeru kepada semua penggerak Pemuda BA Johor agar bekerja dengan lebih gigih untuk membantu mendaftarkan golongan muda ini supaya mereka layak menjadi salah seorang pengundi di dalam pilihanraya Umum yang bakal menjelang tiba.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Pengerusi Pemuda BA Johor

Ketua Dewan Pemuda PAS Johor.

2 April 2007

PENYERAHAN BORANG KEAHLIAN PAS


Pada satu malam sahaja, seramai 20 orang penduduk kampung Pelentong Baru menyertai PAS. Gerakan untuk mendaftarkan ahli baru di Johor perlu diperhebatkan lagi kerana akhir-akhir ini rakyat sudah mula bosan dengan UMNO/BN.