30 April 2007

SAMBUTAN HARI PEKERJA : JADILAH PEKERJA YANG MERDEKA

KENYATAAN MEDIA

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua warga Malaysia khususnya warga pekerja yang bermastutin di negeri Johor. Tarikh keramat 1 Mei bukanlah sekadar tarikh untuk kita merehatkan diri daripada tanggungjawab dan bebanan kerja dan untuk kita bercuti semata-mata tetapi seharusnya dijadikan sebagai hari untuk kita mengambil peluang menyatakan sikap kita sebagai pekerja.

Ini merupakan peluang dan ruang yang disediakan kepada para pekerja diseluruh negara untuk meluahkan sikap mereka terhadap apa yang mereka lalui sebagai warga pekerja. Adakah kita telahpun merdeka sebagai seorang pekerja ataupun kita masih dikongkong dan dijajah pemikiran dan jati diri.

Media massa sudah tentunya memberikan ruang yang cukup luas untuk sambutan ini walaupun ruangan itu sudah dapat diandaikan bahawa ianya akan diberikan kepada kerajaan dan agensi-agensinya.

Sejarah membuktikan bahawa bukan mudah sebenarnya 1 Mei ini digazetkan sebagai cuti umum kerana ianya hanya bermula pada tahun 1972 hasil daripada kesungguhan perjuang terdahulu yang meperjuangkan hak para pekerja di Malaysia sehinggalah akhirnya kerajaan telah bersetuju untuk menobatkan hari pekerja yang kita akan sambut esok hari.

Saya juga menyeru kepada seluruh rakyat Johor yang cintakan demokrasi dan keamanan untuk turut serta dalam himpunan pekerja (Sambutan MAYDAY 2007) oleh Jawatankuasa 1 Mei yang akan diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada 1 Mei 2007 ini.

Mudah-mudahan himpunan ini akan mendedahkan kita kepada perjuangan kelas pekerja diseluruh dunia dan di Malaysia serta memberikan kita kekuatan untuk menegakkan hak kita sebagai pekerja.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Pengerusi Pemuda BA Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: