22 June 2007

ADAKAH JOHOR SUDAH TIDAK SELAMAT UNTUK DIDIAMI?

Sangat menyedihkan dan mengerikan. Begitulah laporan berita yang disiarkan oleh The Star Online (English) tentang berita terkini berkaitan dengan jenayah yang telah dan sedang berlaku di Johor.
Bayangkanlah kalau anda adalah merupakan seorang rakyat Malaysia yang kini sedang hidup dalam kesibukan kehidupan di Johor Bahru adan anda adalah seorang wanita ataupun ibu dan ayah kepada anak-anak gadis yang masih bersekolah dan meningkat usia keremajaan, tiba-tiba anda melihat bagaimana jenayah berterusan berlaku disekeliling anda ketika ini.

Dilaporkan bahawa semalam seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun telah DIROGOL oleh empat orang lelaki di Tanjung Langsat. Satu kes lagi berlaku yang melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang DIROGOL oleh seorang lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai seorang polis di Taman Teknologi di Senai.

Pada 12 Jun yang lalu tiga orang lelaki telah MEROGOL seorang gadis berusia 19 tahun dan memaksa teman lelakinya untuk melihat kejadian tersebut dihadapan mata.

Bayangkan, apakah perasaan anda jika anda sedang berada di Johor ketika ini. Setiap hari kita akan keluar daripada rumah untuk ke tempat kerja atau urusan-urusan yang lain, anak-anak kita sudah tentu akan keluar daripada rumah untuk ke sekolah ataupun untuk urusan pembelajaran.

Tiba-tiba peristiwa hitam dan pedih ini berterusan berlaku di sekeliling kita. Selamatkah kita? Selamatkah anak-anak kita? Selamatkah saudara-saudara kita?

Usaha Persekutuan Tionghua Johor Bahru setakat ini telahpun mencapai jumlah sokongan melalui internet adalah sebanyak 70353 tandatangan dan memperlihatkan sokongan yang cukup memberansangkan.

Dalam kenyataan media PAS Johor yang diadakan di Johor Bahru pada 18 Jun 2007 yang lalu turut memberikan sokongan terhadap usaha yang dilakukan oleh persekutuan ini dan PAS juga mengambil inisiatif untuk menggerakkan ahli-ahli PAS di seluruh negeri Johor untuk sama-sama bertindak kearah usaha ini.

Klik http://www.jbtalks.cc/petition/main.php untuk memperlihatkan sokongan anda.
Apapun, tindakan segera perlu dilakukan oleh kerajaan dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk menyelamatkan keadaan. Nampaknya, belum selesai tandantangan ini dikumpulkan, kerajaan telahpun mengumumkan tiga tindakan segera semalam.

Tiga IPD baru yang akan ditubuhkan bagi kawasan Johor Baru Timur, Nusa Jaya dan Kulai, penambahan 400 lagi anggota bagi daerah Johor Baru menjelang Ogos nanti dan tambahan 200 kereta peronda polis ke Johor Baru bagi memantapkan lagi tugas rondaan pencegahan jenayah menunjukkan kejadian jenayah di Johor sememangnya sangat serius dan membimbangkan.
Namun, apakah pengumuman baru ini mampu menyelesaikan segala keresahan rakyat di Johor?
Paling utama, penguatkuasaan perlu dilipatgandakan, tindakan perlu disegerakan dan rondaan perlu dikerapkan khususnya di kawasan-kawasan yang sering menjadi sasaran penjenayah.

Selamat bertugas kepada semua anggota PDRM di Johor.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

No comments: