10 January 2008

Pemuda PAS buat laporan polis terhadap Pengerusi SPR - Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU 9 Jan. - Dewan Pemuda Pas Johor hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman yang mencabar pihak pembangkang supaya tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Dewan Pemuda Pas Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, kenyataan tersebut tidak wajar dikeluarkan oleh seseorang yang bertanggungjawab
dalam SPR kerana ia boleh menimbulkan kontroversi.

Menurutnya, suruhanjaya itu seharusnya bertindak sebagai pihak yang berkecuali serta tidak memihak kepada mana-mana parti politik sama ada pihak kerajaan atau pembangkang.

“Kami amat kesal dengan kenyataan tersebut. Tindakan beliau jelas menunjukkan sikap berat sebelah serta tidak bertanggungjawab seorang yang diberi kepercayaan dalam mentadbir sebuah badan berkecuali.

“Keputusan sama ada sebuah parti politik itu ingin bertanding atau tidak, itu adalah hak mereka. SPR tidak perlu campur tangan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Central di sini hari ini.

Mencabar

Pada 1 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Ab. Rashid yang mencabar parti pembangkang supaya tidak menyertai pilihan raya umum akan datang sekiranya mereka tidak yakin dengan keadilan serta ketelusan sistem pilihan raya di negara ini.

Beliau menegaskan, tidak ada gunanya pihak pembangkang menyertai pilihan raya tersebut jika mereka tetap dengan tindakan mengutuk serta menuduh sistem pilihan raya di Malaysia penuh dengan penyelewengan.

Khairul Faizi berkata, kenyataan Ab. Rashid itu menunjukkan sikap bermusuhan antara pihak SPR dengan parti pembangkang.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai satu hasutan supaya pilihan raya tidak lagi dilihat sebagai saluran yang sah untuk rakyat memilih pemimpin mereka."Kenyataan itu akan menghilangkan sikap kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada sistem pilihan raya yang telus dan adil,'' katanya.

Difahamkan laporan itu kemudian diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah Cheras di ibu negara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Amir Mohd. Hashim ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengesahkan menerima laporan tersebut, namun enggan mengulas lanjut.

No comments: