07 September 2009

Danga Island - Konsep Bandar Pulau Pertama Di Malaysia!





Hebatnya pembangunan di Malaysia sehinggakan sebuah kawasan perumahan mewah bakal siap tidak lama lagi di Teluk Danga, Johor Bahru dan ia adalah merupakan salah satu daripada projek Iskandar Malaysia (IM) yang sedang pesat dibangunkan di selatan Semenanjung Malaysia.
.
Selepas membuat laporan kepada SPRM pada pagi tadi, saya bersama exco DPPNJ Sdr Zaaba Bin Haji Ibrahim yang juga merupakan Pegawai Khas saya, telah melawat tapak pembinaan perumahan yang dibina di atas sebuah 'pulau jadian' yang dijangkakan akan terbina lebih kurang 150 buah rumah mega mewah yang katanya harga sebuah rumah bermula daripada RM 4 juta sehingga RM 11 juta.
.
Rumah yang berkonsepkan Mediterranian, Australia dan Bali ini akan dikelilingi oleh air laut dan mempunyai tempat bot dan kapal berlabuh sehinggakan ada yang betul-betul berlabuh di hadapan jalan masuk ke rumah.
.
Berdekatan dengan kawasan tersebut terdapat beberapa buah kampung iaitu Kampung Danga dan Kampung Bakar Batu dan katanya akan dihapuskan daripada muka bumi tidak lama lagi kerana ia juga termasuk di dalam pelan pembangunan Iskandar Malaysia.
.
Maklumat lanjut akan didedahkan pada masa akan datang. Sila klik alamat dibawah untuk membaca sendiri tentang Danga Island.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
7 September 2009, 4.24 petang,
Pejabat DPPNJ Simpang Renggam Johor.

klik http://www.dangabay.com/home/property/danga-island/

Laporan Pemuda Pakatan Rakyat Johor Kepada SPRM



-------------------------------------------------------------------------

Laporan kepada SPRM ini telah dibuat oleh Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Johor pada 7 September 2009 pukul 10.30 pagi di Pejabat SPRM Johor, Tingkat 9 Blok B,

Wisma Persekutuan, Jalan Air Molek Johor Bahru.

--------------------------------------------------------------------------


Tarikh : Isnin 7 September 2009


Terdapat dua isu yang mahu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) Cawangan Negeri Johor iaitu :


A. Isu Pertama :


37,000 hektar Hutan Simpanan Kekal Terosot Negeri Johor telah diluluskan untuk tujuan Program Ladang Hutan Getah atau Latex Timber Clone (LTC) pada September 2007. Jangkaan nilai Kayu balak ini adalah RM 3 hingga 5 billion. Projek ini telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 10,010.25 hektar Hutan Simpanan Kekal Terosot, diperuntukkan kepada 6 buah syarikat swasta seperti dibawah :

1. Serece Track Sdn. Bhd. - 1,296.09 hektar

2. Makmurplus Industry Sdb Bhd - 1,304.00 hektar

3. Groplus Industries Sdn. Bhd - 1,738.16 hektar

4. Jasa Wibawa Sdn. Bhd - 1,624.00 hektar

5. Setindan Sdn. Bhd - 2,024.00 hektar

6. Hamid Sawmill Sdn. Bhd - 2,024.00 hektar


Baki 27,871.31 hektar diperuntukkan kepada 3 buah Badan Berkanun seperti di bawah :

1. Perbadanan Islam Johor. - 12,340.75 hektar

2. Yayasan Pelajaran Johor - 6,316.87 hektar

3. Perbadanan Johor Bioteknologi & Biodiversiti - 9,213.68 hektar


Kawasan Hutan Simpanan Kekal Terosot terbabit adalah merupakan Hutan Sambungan atau “Central Forest Spine” (CFS) , di mana binatang-binatang liar merentasi kawasan ini dalam perjalanan berimigrasi ke Utara waktu musim monsun. CFS diklasifikasikan sebagai Hutan Simpanan Kekal yang mesti dikekalkan dalam Rancangan Fizikal Nasional (2005). Program LTC adalah melibatkan Hutan Simpanan Kekal Endau-Kahang dan Sungai Mas di Hutan Simpanan Endau-Kota Tinggi.


Hutan Simpanan Labis diwartakan pada tahun 1929. Hutan Perlindungan Hidupan Liar Segamat, Hutan Perlindungan Hidupan Liar Endau-Kluang dan Hutan Perlindungan Hidupan Liar Endau-Kota Tinggi diwartakan pada tahun 1933 untuk tujuan memperlindungi habitat hidupan liar di bawah Seksyen 6(i)(b) Enakmen Perlindungan Mergastua dan Burung 1923.


Walaupun Enakmen-enakmen negeri tentang Hutan Perlindungan Hidupan Liar telah digantikan dengan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76), sebarang Hutan Simpanan Perlindungan Hidupan Liar diwartakan sebelum wujudnya Akta tersebut adalah masih berkuat kuasa di bawah peruntukan Seksyen 2(2) kecuali enakmen terbabit dimansuhkan secara sahih.


Seksyen 10 (3) Akta Perhutanan Negara menghendaki Pengarah Jabatan Perhutanan, dengan kelulusan Kerajaan Negeri, melalui pemberitahuan dalam Warta, menukar pengelasan hutan simpanan kekal dan hutan perlindungan hidupan liar kepada tujuan lain. Selain itu, Seksyen 12 Akta tersebut juga menghendaki Kerajaan Negeri mengambil kira keperluan pemuliharaan tanah dan air, kepelbagaian hayat, kesan kepada alam sekitar serta dapat menggantikan suatu kawasan tanah yang lebih kurang sama luasnya sebagai suatu hutan simpanan kekal.


Ekoran pembalakan besar-besaran sedemikian banjir besar-besaran musim tengkujuh akan mendatangkan pemusnahan 50 perkampungan Orang Asli dan Kampung Tradisi Melayu di sepanjang Sungai Mas di Hutan Simpanan Endau-Kluang dan Endau-Kota Tinggi. Di samping itu, kekurangan bekalan air seperti berlaku pada pertengahan tahun 2005 akan berlaku semula sebab hutan simpanan terbabit adalah juga kawasan tadahan air dan asal sungai-sungai di seluruh Nageri Johor.


Masalah alam sekitar termasuk banjir lumpur dan permasalahan binatang-binatang liar termasuk gajah-gajah akan kehilangan habitat semulajadi mereka dan terpaksa merayau-rayau di ladang-ladang serta memusnahkan tanaman tani di persekitaran Sungai Mas di Hutan Simpanan Kekal tersosot di sepanjang persempadanan Hutan Simpanan Mersing, Labis, Kluang dan Kota Tinggi.

Pemuda Pakatan Rakyat beranggapan baawa terdapatnya kecuaian dalam pelaksanaan Projek LTC Negeri Johor seperti berikut :


  1. Tiadanya laporan DEIA (Detailed Environmental Impact Assessment). Sedangkan sebarang penebangan hutan lebih daripada 500 hektar perlu mendapat laporan berkenaan. Oleh itu pembalakan melibatkan beribu-ribu hektar di bawah Perjek LTC telah dilakukan tanpa DEIA. Ia juga telah melanggar piawaian yang ditentukan oleh Majlis Pensijilan Kayu Malaysia.
  2. Tiadanya perbincangan dengan jabatan dan badan berkaitan untuk melaksanakan projek LTC. Jabatan dan badan berkiatan adalah seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Perhilitan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, UPEN(Unit Perancangan Ekonomi Negeri), Penasihat Undang-undang Negeri dan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan seperti Malaysian Nature Society dan Majlis Peguam.
  3. Terdapat kawasan projek LTC yang ditanam dengan kelapa sawit bukannya pokok getah. Amalan ini adalah bercanggah projek yang sebenar.

B. Isu Kedua:


Dalam soalan bertulis bernombor B 26 semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada bulan November 2008, Y.B Dr. Boo Cheng Hau ADUN Skudai telah mengutarakan soalan berkaitan Penanaman Pokok Getah dan Akasia. Berikut adalah jawapan yang telah diberikan:


d. .... Kelulusan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri ke atas Projek Ladang Hutan Getah ini adalah seperti berikut :

§ Serece Track Sdn. Bhd. - 1,296.09 hektar

§ Makmurplus Industry Sdb Bhd - 1,304.00 hektar

§ Groplus Industries Sdn. Bhd - 1,738.16 hektar

§ Jasa Wibawa Sdn. Bhd - 1,624.00 hektar

§ Setindan Sdn. Bhd - 2,024.00 hektar

§ Hamid Sawmill Sdn. Bhd - 2,024.00 hektar


Dalam soalan bertulis bernombor B 163 semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada bulan November 2009, Y.B Dr. Boo Cheng Hau ADUN Skudai telah mengutarakan soalan berkaitan Konsesi Pembalakan. Dalam jawapan yang telah diberikan telah dinyatakan seperti berikut :


  1. Konsesi pembalakan yang telah dikurniakan di antara tahun 2000 hingga 2008 di Seluruh Negeri Johor ialah sebanyak 8 syarikat iaitu :

i. Syarikat kilang papan Hamid Sawmill Sdn. Bhd........

Berdasarkan kepada dua jawapan sidang Dewan Undangan Negeri Johor ini maka telah didapati Syarikat kilang papan Hamid Sawmill Sdn Bhd telah dikurniakan konsesi balak di antara tahun 2000 hingga 2008. Pemilik syarikat ini adalah seperti berikut :


  1. Suhailah Binti Abd Malek, Datin (540915-01-5794)
  2. Abdul Hamid Bin Abdul Rahman, Datuk (530720-02-5731)

Y.B Abdul Hamid Bin Abdul Rahman adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap telah dilantik oleh Dewan Undangan Negeri Johor sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Raya Negeri Johor, pada tahun 2008. Malangnya semasa perlantikan itu ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Johor tidak dimaklumkan berkaitan penglibatannya secara terus dalam projek LTC.


Salah satu tugas yang telah diberikan kepada Jawatankuasa Kira-kira Raya Negeri Johor adalah untuk menyiasat kecuaian Kerajaan Negeri Johor berhubung dengan projek LTC.


C. Tindakan SPRM :


Oleh itu, Suruhanjaya Pencegarahan Rasuah Malaysia(SPRM) seharusnya menyiasat perkara-perkara berikut :


  1. Adakah kawasan pemusnahan hutan-hutan simpanan terbabit dalam projek LTC telah dikeluarkan daripada pewartaan Hutan Simpanan Johor?
  2. Adakah projek LTC dilaksanakan secara halal menurut Undang-undang Persekutuan dan Enakmen Negeri?
  3. Adakah telah disediakan Hutan Simpanan gantian kepada projak LTC?
  4. Apakah sistem ekologi tidak terjejas selepas penebangan hutan simpanan?
  5. Adakah kecuaian berlaku dipihak Kerajaan Negeri Johor semasa perlaksanaan projek LTC?
  6. Adakah perlantikan Y.B Abdul Hamid Bin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Raya Negeri Johor tidak bertentangan dengan tugas Jawatankuasa ini yang bertujuan sebagai check & balance Kerajaan Negeri Johor.


Yang Benar;

.

Nama : SDR KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL.

Jawatan : Ketua Pemuda PAS Johor.

No K/P : 730111-01-6625

.

Nama : SDR ZABIDIE BIN ABAS.

Jawatan : Ketua Angkatan Muda PKR Johor

No K/P : 680220-01-6293

.

Nama : SDR TAN HONG PIN

Jawatan : Setiausaha Pemuda DAP, Johor

No K/P : 810320-01-5645

05 September 2009

1 MALAYSIA VS 1 UMMAH

HTML clipboard

قال الإمام أحمد بن حنبل: حدثنا الأسود بن عامر: شاذان، حدثنا أبو بكر -هو ابن عياش -عن عاصم -هو ابن أبي النجود -عن أبي وائل، عن عبد الله -هو ابن مسعود، رضي الله عنه -قال: خَطَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم خطًا بيده، ثم قال: "هذا سَبِيل الله مستقيما". وخط على يمينه وشماله، ثم قال: "هذه السُّبُل ليس منها سبيل إلا عليه شيطان يدعو إليه". ثم قرأ: { وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ }

Ibn Masud ada mengatakan bahawa satu ketika Rasulullah S.A.W menggariskan satu garisan dengan tanganya sambil bersabda “ Ini adalah merupakan jalan Allah yang lurus. Kemudian baginda menggariskan di sebelah kanan dan kiri sambil bersabda “ Ini adalah merupakan jalan-jalan yang tidak disertakan setiap jalan itu, kecuali syaitan mengajak manusia mengikuti jalan itu. Lalu Nabi S.A.W membacakan satu Firman Allah S.W.T yang bermaksud : Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah _ Hadith riwayat Imam Ahmad ibn Hanbal

Menurut Mujahid seperti yang dinyatakan dalam Tafsir Ibn Kathir : Bahawa Allah S.W.T melarang kita daripada berpecah & bercanggah antara satu sama lain serta menjelaskan kepada mereka bahawa kemusnahan golongan yang terdahulu aalah berpunca berdebat dan bergaduh dalam hala agama yang diperintahkan oleh Allah.

Hadith di atas dengan terang menjelaskan bahawa jalan Allah ini hanya satu, manakala jalan-jalan kesesatan yang dikempen oleh syaitan terlalu banyak di kiri & kanan kita. Tersilap langkah dalam memilih jalan, kita akan sesat daripada jalan Allah.

Bagi memperjelaskan lagi perkara ini , kita boleh merujuk kepada firman Allah :

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ أُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (257)

Maksudnya : Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. – Surah Al-Baqarah ayat 257

Ibn kathir dalam tafsirannya mendedahkan rahsia mengapa Allah menggunakan lafaz jamak pada الظُّلُمَاتِ tetapi menggunakan lafaz singular pada “ النُّورِ”. Semua ini adalah untuk mempertegaskan bahawa :

KEBENARAN HANYA SATU, MANAKALA KESESATAN ITU TERLALU BANYAK DAN BERMACAM-MACAM JENISNYA

Oleh yang demikian, kita perlu berwasapada dalam memilih jalan yang lurus agar tidak tersesat dari jalan Allah yang sebenar.

Apabila kita bercakap mengenai jalan yang lurus, sudah tentu kita akan teringat kepada ayat di dalam surah fatihah yang biasa kit baca dalam solat dan menjadi perkara rukun, solat akan terbatal jika kita tidak membacanyanya. Kenapa surah fatihah dianggap sebagai surah yang wajib dibaca? Semua ini perlu dihalusi oleh kita agar dapat kita fahami . Mengapa tidak? Bukankah solat itu sebagai cara bagi seseorang hamba untuk bermunajat kepada tuhanNya?

Mari kita sama-sama membongkarkan rahsia yang terdapat dalam ayat Allah yang mulia ini.

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (6) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ (7)

Maksudnya : Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. Al-Fatihah ayat 6-7

Maksud ayat di atas, Allah sendiri yang memberikan kepada kita definasi sebenar mengenai jalan yang lurus seperti yang dikehendaki olehNya. Kita pun tidak akan faham maksud jalan yang lurus ini jika kita tidak faham maksudnya yang sebenar.Allah menyatakan bahawa jalan yang lurus adalah jalan

“orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat”

Siapa pula golongan yang Allah beri nikmat ke atas mereka? Golongan ini tidak diterangkan oleh Allah dalam Surah Fatihah, tetapi diterangkan dalam surah yang lain dan ayat yang lain iaitu dalam Surah Nisa’ ayat 69 :

وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَئِكَ رَفِيقًا (69)

Maksudnya : Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Jelas daripada ayat di atas, golongan yang mengikuti jalan yang lurus ialah terdiri dikalangan :

1) Nabi-nabi, dan

2) Orang-orang Siddiqiin, dan

3) Orang-orang yang Syahid,

4) Orang-orang yang soleh.

Anda boleh merujuk bagaiamana sikap serta contoh yang kita boleh ambil daripada 4 golongan yang disebut oleh Allah di atas. Cuma saya hanya mahu menjelaskan pada kesempatan pada kali ini untuk menerangkan perjuangan Nabi-nabi. Banyak cerita serta kisah yang Allah senaraikan kepada kita sebagai pengajaran kepada kita daripada para Anbiyak ini. Namun saya kira cukup untuk kita merenung kepada perjuangan Nabi besar kita Nabi Muhammad S.A.W dalam memahami perjuangan untuk membawa manusia ke jalan yang lurus.

Bila kita bercakap untuk menuju ke jalan yang lurus, sudah pasti banyak cabang & rangkaiannya. Jalan yang lurus dalam perniagaan, jalan yang lurus dalam politik, jalan yang lurus dalam ibadat, jalan yang lurus dalam ekonomi dan bermacam-macam lagi bidang kehidupan bagi memastikan kesemuanya membawa manusia ke jalan yang lurus, betul & tepat.

Namun saya hanya mahu fokus kepada kaedah Islam yang dibawa oleh Nabi S.A.W menuju jalan yang lurus di dalam usaha untuk menyatukan pelbagai bangsa & warna kulit .

Pertamanya Islam telah memberitahu kepada masyarakat dunia sejak 1500 tahun dahulu dengan firman Allah :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)

Maksudnya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Surah Al-Hujurat ayat 13

Ayat di atas dengan jelas dan terang bahawa bangsa & keturunan tiada harga di sisi Allah. Harga yang paling tinggi ialah taqwa. Ini bermakna, apa pun jua bangsa seseorang itu, ia tidak ada harga atau ‘value’ kecuali mesti ada taqwa.

Jika Allah sebagai ‘tukang’ atau ‘engineer’ yang buat manusia itu sendiri beritahu bahawa manusia ini terdiri daripada pelbagai bangsa, adakah Allah tidak tahu bagaimana cara untuk menyatukan pelbagai bangsa?

Dalam Al-Quran Allah menggunakan slogan :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman

Banyak ayat Al-quran menggunakan lafaz ini di antaranya :

  1. يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ – سورة البقرة 183
  2. يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى- سورة البقرة 178
  3. يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ- سورة البقرة 102

Slogan ini telah dibawa oleh Nabi S.A.W sejak 1400 tahun dahulu lagi, walaupun baginda berketurunan Arab Quraisy tetapi slogan itu tidak digunakan nabi bagi tajuan perpaduan kaum. Ini berarti bahawa tugas Nabi untuk membawa isu perpaduan, tidak membawa isu perkauman, namun membawa isu yang lebih besar lagi iaitu perpaduan di atas dasar iman & taqwa meskipun terdiri dari pelbagai bangsa & keturunan. Meruntuhkan sistem perkauman kepada sistem ketaqwaan & keimanan.

Isu perpaduan kaum ini bukan isu baru tetapi isu yang lama, perkara ini patut dapat diselesaikan oleh UMNO jika mereka menjadi Islam sebagai dasar perjuangan mereka. Isu ini telah dibahas oleh Imam Sharastani dalam kitabnya Milal Wan Nihal di muqaddimah kitab beliau menyatakan usaha penduduk dunia untuk menyatukan antara sesama mereka. Beliau telah membahagikan usaha tersebut kepada bahagian seperti berikut :

  1. Perpaduan berdasarkan benua yang tujuh iaitu Afrika, Amerika Selatan, Amerika Utara, Antartika, Asia, Eropah & Oceania. Perpaduan yang diwujudkan ini memberikan hak keistimewaan tertentu di kalangan mereka, meskipun terdiri daripada pelbagai bangsa & warna kulit.
  2. Perpaduan berdasarkan arah mata angin iaitu Timur, barat , utara & selatan. Perpaduan ini juga memberikan hak keistimewaan tertentu di kalangan mereka yang terdiri dari pelabagai bangsa & warna kulit
  3. Perpaduan berdasarkan bangsa. Perpaduan ini lebih kecil berbanding 2 bentuk perpaduan di atas yang lebih bersifat global . Perpaduan ini lebih membawa kepada perpecahan yang banyak.
  4. Perpaduan berdasarkan aliran pemikiran & mazhab tertentu….

Kesemua perpaduan di atas melalui jalan buntu untuk diselesaikan. Ini adalah kerana, setiap daripada kumpulan yang telah disatukan tidak dapat bergabung antara satu sama lain. Sebagai contoh, benua eropah tidak boleh bergabung dengan benua asia, di sebabkan ketetapan & faktor geografi yang mereka anggap tidak setaraf untuk bergabung dengan mereka.

Islam telah mengemukakan Formula bagi menyelesaikan kemelut ini agar segala benua, segala yang berada di arah mata angin, segala bangsa dapat bersatu di atas dasar iman & islam yang meletakkan taqwa sebagai dasar kepada penyatuan ini.

Kenapa taqwa dijadikan asas kepada perpaduan ini? Ini adalah kerana taqwa ini sifatnya lebih kekal & kukuh & tidak ada kepentingan. Ini tidak seperti asas yang rapuh di atas tadi. Apakah alasan yang kukuh untuk mereka mengatakan mereka lebih baik daripada yang lain? Adakah dengan kerana mereka itu duduk di negara maju serta di benua eropah, mereka lebih mulia meskipun mereka suka melakukan pembunuhan, jenayah, rasuah, mencuri, merompak dan sebagainya? Alasan ini tidak kukuh sama sekali. Ika dibiarkan asas ini menguasai dunia, tidak mustahil peperangan demi peperangan tidak henti kerana mereka adalah yang terbaik. Apa yang kita dapat lihat sekarang memang telah terbukti bahawa dakwaan itu benar.

Sebab itu Islam membawa formula untuk bersatu di atas dasar Islam & Iman. Kaedah ini lebih bersifat global kerana satu dunia dapat disatukan.

Manakala 1 Malaysia adalah merupakah kaedah lapuk telah terbukti gagal seperti yang dijelaskan oleh Imam Sharastani dalam kitabnya.

ADAKAH SALAH MEMBUAT PERPADUAN DENGAN BUKAN ISLAM MESKIPUN MEREKA TIDAK BERIMAN? ADAKAH DASAR INI DIKATAKAN PERPADUAN DI ATAS DASAR ISLAM?

Bersambung

02 September 2009

Maaf kerana lama tidak Update

Saya memohon maaf kerana tidak update blog pemuda ini seperti biasa, kerana keterbatasan waktu yang terhad, tidak seperti dulu. Namun sebenarnya faktor yang lebih utama ialah, ramai blogger telah pun berpindah ke blog generasi kedua yang dipanggil Facebook. Ini adalah kerana, lambakan blog yang terlalu banyak, menyebabkan orang mula mencari isi-isi penting yang ringkas untuk dijadikan maklumat setiap hari.

Waktu sekarang orang tidak ada masa yang cukup untuk membaca berpuluh-puluh blog dalam masa satu satu hari. Oleh yang demikian mereka hanya mahukan maklumat yang ringkas dan padat serta dapat dibincangkan sebagai maklumat yang dapat dikongsi bersama. Kesemua ciri-ciri tersebut terdapat dalam facebook. Anda boleh terus fokus kepada pengundi serta rakan-rakan di sekitar Negeri Johor atau negeri-negeri lain untuk diajak berbincang mengenai situasi politik serta menyampaikan dakwah dengan lebih efektif & berkesan. Anda sudah dianggap ketinggalan jika tiada akaun facebook. Untuk mencari pengundi di kawasan anda, anda hanya perlu tulis nama jalan atau nama negeri atau nama daerah atau sebagainya di ruang "search". Facebook akan senaraikan rakan-rakan yang anda maksudkan.

"Namun demikian DPPNJ bukan berhasrat untuk menutup blog ini. Ia masih senantiasa aktif terutamanya dalam menyampaikan program terkini yang dilakukan oleh DPPNJ sendiri"

Di sebelah kanan blog ini, saya sertakan link EXCO DPPNJ yang telah memiliki akaun facebook. Anda boleh terus berinteraksi dengan mereka. Sebenarnya di facebook lebih meriah, sebab setiap yang anda tulis mendapat respon daripada rakan-rakan yang anda jemput untuk berbincang....Insya Allah saya akan tambah senarai EXCO dari semasa ke semasa.

Untuk panduan mendaftar, di sini saya sertakan manual ringkas berkenaan facebook, semuga dapat membantu anda untuk merancakkan lagi perbincangan menerusi media terbaru generasi muda...

Klik di sini untuk download

Sekian.

Admin DPPN Johor