07 May 2010

DPPNJ MEMBANTAH CADANGAN MENGELUARKAN LESEN JUDI SUKAN

KENYATAAN MEDIA
7 Mei 2010, 22 Jamadil Awal 1431
(No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(09/10)

TAJUK
MEMBANTAH CADANGAN MENGELUARKAN LESEN JUDI SUKAN

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) terkejut dengan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen bagi pertaruhan sukan terutama kejohanan bola sepak Piala Dunia awal Jun ini dengan tujuan untuk mengelak kegiatan perjudian haram berlaku dalam negara. Dr Awang Adek juga memaklumkan bahawa keputusan mengenainya akan diumumkan sebelum kejohanan Piala Dunia bermula.

Cadangan ini dikemukakan oleh beliau di atas beberapa perkara iaitu :-

1. Dengan pemberian lesen tersebut kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian haram. Dengan pengawalan kerajaan, aktiviti itu akan dapat dilakukan dengan lebih teratur.

2. Kerajaan akan mendapat hasil yang boleh digunakan termasuk untuk pembangunan pelbagai sukan di negara ini.

3. Pemberian lesen akan memudahkan kerajaan tahu berapa banyak nilai pertaruhan yang dibuat.

4. Telah ada pihak yang mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen pertaruhan namun enggan mendedahkan pihak yang mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen pertaruhan Piala Dunia itu.

5. Jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen, pertaruhan haram tetap dijalankan tanpa pemantauan pihak berkuasa.

6. Kerajaan menjangkakan nilai pertaruhan setiap kali Piala Dunia mencecah ratusan juta ringgit.

Kenyataan Dr Awang Adek ini memberikan gambaran sebenar pemerintah terhadap masa depan sektor perjudian di Malaysia dalam keadaan pada hari ini kecenderungan umat Islam untuk berjudi semakin membimbangkan. Tanpa mengambil kira soal halal dan haram serta kesan negatif terhadap rakyat Malaysia, persoalan keuntungan daripada hasil perjudian sukan ini yang lebih diutamakan.

Saya ingin mengingatkan kepada Dr Awang Adek bahawa dalam apa jua keadaan sekalipun, Judi tetap haram hukumnya di dalam Islam. Sama ada diberi lesen ataupun tidak ia tetap haram seperti mana yang telah difirmankan oleh Allah S.W.T.

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi dan berkorban untuk berhala dan mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji daripada perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan."
Al-Maidah : 90

Pernyataan Dr Awang Adek untuk mengizinkan pemberian lesen perjudian sukan juga dilihat cukup lemah untuk diterima. Kerajaan seolah-olah sudah hilang arah dalam memastikan bahawa judi sukan dapat dikawal dan dibenteras. Seolah-olahnya hanya dengan pemberian lesen tersebut kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian haram dan kerajaan dapat tahu berapa banyak nilai pertaruhan yang dibuat.

Adalah lebih baik kerajaan mengambil sikap mewujudkan kesedaran di dalam masyarakat supaya menjauhi perjudian tidak kira perjudian yang melibatkan sukan ataupun tidak dan ianya diadakan secara serius dengan menggunakan pelbagai media untuk bergerak ke arah yang sama seperti mana kesungguhan untuk mengawal wabak H1N1.

Apa yang tersirat daripada tindakan ini sebenarya adalah kerana kerajaan berharap agar perjudian ini dapat memberikan keuntungan kepada kerajaan tanpa mengambil kira soal halal dan haram. Lebih menyedihkan, Dr Awang Adek menyebut bahawa kerajaan akan mendapat hasil yang boleh digunakan termasuk untuk pembangunan pelbagai sukan di negara ini. Bermakna, dasar yang diperkenalkan kepada pelajar sekolah iaitu Satu Murid Satu Sukan akan juga ‘merasai’ hasil daripada perjudian sukan yang ingin diluluskan oleh kerajaan.

Justeru DPPNJ membantah cadangan kerajaan untuk memberikan lesen judi sukan kepada mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan tanpa mengambil kira soal halal dan haram serta kesan negatif terhadap masyarakat Malaysia.
ekian.
PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN

Yang benar,

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

1 comment:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.