08 July 2010

SINAR HARIAN BERPERANAN SEBAGAI AKHBAR KOMUNITI YANG TELUS DAN TULUS.

KENYATAAN MEDIA
7 Julai 2010, 24 Rejab 1431
(No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(13/10)

TAJUK
SINAR HARIAN BERPERANAN SEBAGAI AKHBAR KOMUNITI YANG TELUS DAN TULUS.

Saya ingin merujuk kepada ucapan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti mana yang telah disampaikan oleh beliau semasa merasmikan pelancaran Sinar Harian (SH) Edisi Nasional seperti mana yang telah disiarkan di dalam akhbar SH bertarikh 7 Julai 2010 bilangan 1394 dan Edisi Khas.

Di dalam ucapan DS Najib, beliau telah menyatakan pekara-perkara berikut :-

i. DS Najib menyatakan bahawa SH adalah akhbar yang dikatakan tidak memihak kepada sesiapa, tetapi bebas pendiriannya, mendapat tempat di kalangan masyarakat.

ii. DS Najib mengakui bahawa laporan berita SH kadang-kadang lebih kepada pembangkang dan kadang-kadang lebih kepada pemerintah tetapi beliau lebih harapkan agar berita berkaitan dengan pemerintah dilaporkan lebih sedikit daripada berita pembangkang.

iii. DS Najib walau bagaimanapun dapat menerima keadaan ini dengan syarat laporan tersebut benar, berkredibiliti, berintegriti dan bukannya cerita karut-marut, cerita dusta, fitnah, rekaan dan ciptaan manusia.

Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah di atas pelancaran SH Nasional oleh Perdana Menteri Malaysia pada 6 Julai 2010. Saya percaya, ia akan lebih menyemarakkan semangat kerja warga SH untuk memastikan bahawa SH akan dapat diterima oleh keseluruhan masyarakat di Malaysia.

Bagi saya, pendekatan yang diambil oleh SH adalah pendekatan yang perlu dicontohi oleh media cetak yang lain khususnya media cetak Bahasa Melayu kerana hari ini rakyat Malaysia mengimpikan media massa di Malaysia akan lebih bersifat tidak memihak kepada mana-mana golongan sama ada parti politik dan seumpamanya kerana media perlu bebas melaporkan berita yang sedang berlaku di dalam negara. Saya bukan menyatakan bahawa media massa di Malaysia dikongkong sepenuhnya oleh pemerintah tetapi tahap kebebasan media massa di negara ini masih jauh untuk dibanggakan.

Rakyat Malaysia perlu diberikan kebebasan untuk menilai sesuatu perkara mengikut akal fikiran yang dipandukan dengan ilmu yang ada bukannya diarahkan kepada sesuatu pandangan secara paksa melalui laporan berita yang disiarkan di dalam media.

Di Malaysia, kebebasan media massa dikawal oleh Akta Penerbitan dan Percetakan Akhbar 1984. Malah, sekatan terhadap media telah pun bemula sejak zaman penjajah lagi. Lihatlah bagaimana banyak rencana, risalah dan surat khabar yang telah ditulis oleh pejuang kemerdekaan terdahulu seperti Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam, Abdul Rahim Kajai dan lain-lain telah disekat kerana dianggap anti penjajah telah diambil tindakan sehingga ada akhbar yang diharamkan.

Laporan Freedom House yang diumumkan setiap tahun menjelang Hari Kebebasan Akhbar Sedunia telah menunjukan bahawa kedudukan Malaysia dalam kedudukan kebebasan akhbar berada pada tahap yang sangat jauh ke bawah termasuklah di belakang Timor Timur, Filipina, Indonesia, Thailand, malah Kemboja dalam keadaan kesemua negara ini lebih miskin daripada Malaysia.

Tahun 2003: Kedudukan ke-71 daripada 100 negara
Tahun 2004: Kedudukan ke-154 daripada 193 negara
Tahun 2005: Kedudukan ke-152 daripada 194 negara
Tahun 2006: Kedudukan ke-141 daripada 194 negara
Tahun 2008: Kedudukan ke-150 daripada 195 negara
Tahun 2009: Kedudukan ke-143 daripada 195 negara
Tahun 2010: Kedudukan ke-141 daripada 196 negara

Indeks Kebebasan Akhbar 2008 pula menyatakan bahawa Malaysia jatuh teruk ke kedudukan 132 daripada 173 negara. Tahun 2007 Malaysia berada pada kedudukan 124 dan 2006 pada kedudukan 96. Rating ini diberikan oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) yang berpangkalan di Paris, Perancis. RSF telah memantau kebebasan akhbar di seluruh dunia sejak 1985.

Justeru, saya melihat bahawa langkah SH yang menjadi media yang telus untuk melaporkan berita dan perlu dicontohi oleh media cetak Bahasa Melayu yang lain kerana pendekatan ini telah lama diamalkan oleh media cetak bahasa Mandarin yang memberikan ruang kepada pembacanya untuk membuat penilaian mereka sendiri terhadap perkembangan semasa yang berlaku di sekeliling mereka.

Saya mendoakan agar Sinar Harian akan terus konsisten dengan pendekatannya seperti mana yang terdapat di dalam mottonya “Telus dan Tulus”. Semoga ‘trend’ penyampaian maklumat SH akan dapat diikuti oleh media cetak yang lain dan seterusnya membantu memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar.

Sekian.

Mendepani Cabaran, Melangkah Kehadapan

Yang benar,



KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

No comments: