14 September 2010

KES BUNUH SEMAKIN MENJADI-JADI : KEMBALI KEPADA SYARIAT ISLAM


KENYATAAN MEDIA
14 September 2010, 5 Syawal 1431 (No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(21/10)

TAJUK :
KES BUNUH SEMAKIN MENJADI-JADI : KEMBALI KEPADA SYARIAT ISLAM

1. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, keluarga Allahyarham Kamaruddin Shamsudin, keluarga Allahyarham Noorhisham Mohammad, dan keluarga Allahyarham Ahmad Kamil Abdul Karim yang disahkan telah dibunuh dengan kejam sejak dilaporkan hilang pada 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.


2. Keempat-empat mangsa bukan sahaja dibunuh malah mayat mereka telah di bakar dan abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting Selangor.


3. Perkara ini telah disahkan oleh Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin pada 12 September 2010 yang lalu di dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat polis Banting, Selangor.


4. Difahamkan bahawa seorang peguam berusia 41 tahun yang dikenali ramai di Banting dan bergelar 'Datuk', telah ditahan bersama adik lelakinya, dua wanita serta empat yang lain, termasuk pekerja ladang mereka.

5. Pembunuhan empat mangsa ini yang berlaku ketika kesemua mangsa sedang menjalani ibadah berpuasa di dalam bulan Ramadhan sudah tentu menghiris hati dan perasaan keluarga dan umat Islam seluruhnya.

6. DPPNJ memandang serius peningkatan kes jenayah kejam termasuk pembunuhan yang semakin membimbangkan dengan peningkatan yang drastik dengan beberapa laporan kes dipaparkan melalui media massa.


7. DPPNJ melihat bahawa jenayah di Malaysia semakin luar biasa, kejam, mengerikan dan sadis. Pembunuhan kejam daripada bayi di dalam kandungan sehinggalah ke usia warga emas terus berleluasa di dalam negara kita seolah-olahnya ia menjadi rutin berita yang disiarkan di dalam media massa ketika ini.


8. Pelbagai kaedah dan pendekatan telah dilakukan untuk menangani jenayah bunuh dan seumpamanya, pelbagai pandangan dan cadangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak yang dilihat mampu mengatasi jenayah berat ini namun jenayah berat seperti ini semakin meningkat dan menakutkan.


9. Setelah melihat pelbagai pendekatan telah diimplimentasi dalam kaedah pencegahan jenayah dan ianya masih lagi menemui jalan buntu maka saya melihat sudah tiba masanya pelaksanaan hukuman hudud yang mampu mencegah segala bentuk jenayah kerana hukuman hudud dan qisas telah termaktub dalam al Quran dan Sunnah Nabi Muhammad saw sebagai sebahagian dari syariat Islam. Ternyata umat Islam terdahulu berjaya kerana mengamalkan hukum Islam ini. Hukuman hudud lebih berkesan dan realistik dengan suasana semasa khususnya dengan fenomena jenayah bunuh yang sedang melanda negara kita ketika ini.


10. Saya kira inilah masa yang tepat untuk Islam dan syariatnya dilaksanakan. Sudah tiba masanya kita memberi ruang kepada undang-undang yang dicipta Allah setelah undang-undang dan sistem ciptaan manusia yang ternyata telah membuktikan kegagalan membendung jenayah di Malaysia.


Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

08 September 2010

Ucapan Idil Fitri Daripada Ketua DPPNJ

KENYATAAN MEDIA
8 September 2010, 29 Ramadhan 1431
(No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(20/10)

Saya bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan Salam Idil Fitri kepada seluruh muslimin dan muslimat khususnya yang berada di negeri Johor dan anak-anak Johor yang berada di perantauan. Hari Raya adalah merupakan hari kemenangan mengalahkan hawa nafsu dan kemenangan kerana berjaya melaksanakan perintah Allah SWT sepanjang bulan Ramadhan. Bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi juga dengan melakukan ibadah seperti qiamullail, bacaan Al-Quran, bersedekah dan amalan-amalan yang lain. Tujuannya adalah tidak lain adalah untuk melahirkan insan yang bertakwa kepada Allah S.W.T.

Firman Allah s.w.t. bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Surah Al-Baqarah : 183

Dalam firman Allah s.w.t. yang lain pula:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim.”
Surah Ali- Imran:102

Apa yang dimaksudkan insan yang bertaqwa? Insan yang bertaqwa adalah insan yang mampu mewujudkan nilai Islam secara menyeluruh dalam dirinya. Pada dirinya terpadu nilai Islam yang akan melaksanakan segala tuntutan Islam, nilai Iman yang sempurna keislamannya iaitu membenarkan segala nilai Islam secara total dari sudut hati, fikiran dan fizikal dan nilai Ihsan yang mempunyai nilai iman yang sempurna iaitu menghambakan diri hanya kepada Allah s.w.t, merasa kehadiran dan pengawasan Allah s.w.t. serta kebersamaan dengan-Nya. Kemudian nilai-nilai Islam ini akan mampu diserapkan dalam keluarga, masyarakat dan umat keseluruhan. Mudah-mudahan sepanjang sebulan kita menjalani ibadah di dalam bulan Ramadhan ini akan berjaya melahirkan diri kita yang lebih bertakwa kepada Allah.

Justeru bagi menghadapi kedatangan Syawal perlulah kita raikan dengan penuh ketakwaan bukannya dengan pembaziran. Melihat kepada suasana semasa saya dapati bahawa umat Islam lebih bersungguh-sungguh untuk meraikan idil fitri tetapi bertindak suram terhadap ibadah di bulan Ramadhan. Persiapan untuk menyambut ketibaan Ramadhan dinantikan secara dingin namun kehadiran Syawal diraikan dengan penuh kemeriahan. Budaya berlebih-lebihan dan pembaziran di dalam meraikan idil fitri perlu dibuang daripada amalan kita kerana ia tidak dituntut oleh Islam. Lebih afdal sekiranya kita menyalurkan bantuan kepada fair miskin, anak-anak yatim dan mereka yang lebih memerlukan.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

Sepanjang Ramadhan ini juga kita telah dihidangkan dengan pelbagai kejadian yang memilukan dengan kes pembuangan dan pembunuhan bayi yang tidak berdosa, kes bunuh, krisis sosial remaja, krisis keruntuhan moral dan pelbagai kes jenayah yang hadir ketika umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa di bulan yang mulia ini Sudah tentu, ia adalah sesuatu yang memilukan dan pastinya ada sesuatu yang perlu kita nilai kembali betapa kejadian-kejadian ini ada sebabnya.

Firman Allah,

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”
Surah Ar-Rum : 41

Keengganan kita yang masih ragu-ragu untuk mentadbir dengan Islam atau tidak terfikir untuk menginsafi diri juga dianggap sebagai krisis yang melanda umat manusia, maka krisis demi krisis akan terus melanda jika kita tidak berniat langsung untuk kembali memartabatkan dan mendaulatkan Islam.

Maka, marilah kita kembali kepada Islam dan melaksanakan Islam secara menyeluruh di dalam kehidupan kita seharian termasuklah dalam urusan mentadbir negeri dan negara tercinta ini. Mudah-mudahan Allah memberkati dan merahmati kehidupan kita.

Salam Idil Fitri, Maaf Zahir dan Batin

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor