06 August 2005

KENAIKAN HARGA BARANG RUNCIT TIDAK MAMPU DIELAKKAN, RAKYAT TERUS TERBEBAN

KENYATAAN MEDIA
(5 Ogos 2005)


Berita Harian pada hari ini telah menyiarkan berita mengenai kenaikan harga barangan runcit dipasaran. Pemantauan Berita Harian semalam mendapati harga barangan naik berbanding pemantauan mulai 5 Mei hingga 2 Jun lalu, iaitu selepas kenaikan harga petrol dan diesel pada 4 Mei 2005 di beberapa bandar utama diseluruh negara.
Sebagai contoh, di ibu kota harga cili merah meningkat sebanyak RM3 kepada RM10 sekilo dan bawang besar daripada RM1.20 kepada RM1.50 sekilo. Harga daging, udang dan kubis bulat masing-masing meningkat RM1 daripada RM17 kepada RM18, RM13.50 kepada RM14.50 dan RM2.50 kepada RM3.50 sekilo.
Di Johor Bahru pula harga cili merah meningkat sebanyak RM2.50 kepada RM9.50 sekilo, udang naik RM1 kepada RM18, kacang panjang naik 60 sen kepada RM4.60 sekilo, kubis bulat naik 50 sen kepada RM3 sekilo dan telur satu sen kepada 29 sen sebutir. Maklumat ini membuktikan bahawa kenaikan harga runcit petrol dan diesel yang diumumkan oleh kerajaan pada 31 Julai 2005 yang lalu tidak mampu untuk dibendung lagi oleh peniaga-peniaga khususnya di atas faktor kos yang meningkat.

Kebimbangan rakyat terhadap kesan kenaikan harga minyak petrol dan diesel yang akan memberi kesan kepada harga barangan telah mula dirasai pada akhir bulan Jun 2005 lagi sehingga timbul pelbagai khabar angin melalui SMS yang menyatakan bahawa harga petrol dan disel dinaikkan. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di dalam kenyataannya (Utusan Malaysia, 2 Julai 2005) meminta rakyat menghentikan perbuatan menyebarkan khabar angin mengenai kenaikan harga minyak sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai. Menurut beliau, kerajaan akan memaklumkan dan memberi penerangan kepada rakyat jika ada keputusan dibuat berhubung kenaikan harga bahan api itu.
Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata (Utusan Malaysia, 14 Julai 2005) belum tiba masanya untuk kerajaan membuat sebarang keputusan berhubung kenaikan harga minyak walaupun harga bahan bakar itu di pasaran dunia ketika ini melebihi AS$60 (RM228) setong.
Beliau berkata, kerajaan masih lagi memantau secara dekat peningkatan harga minyak dunia sebelum apa-apa keputusan dibuat. Pengumuman akan dibuat dan pada masa yang sama memang kita menanggung subsidi minyak yang sangat tinggi. Kenyataan ini dibuat berikutan pada 10 Julai 2005 Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapa Mohamed membuat pengumuman bahawa jika harga minyak mentah dipasaran dunia yang kini melepasi paras AS$60 (RM228) setong semakin meningkat, kerajaan terpaksa mengkaji semula harga bahan itu di pasaran domestik.
Dato’ Mohd Shafie Apdal pula pernah mengeluarkan kenyataan (Utusan Malaysia, 26 Julai 2005) menggesa supaya pengguna memboikot kedai-kedai yang menjual barangan pada harga yang tinggi sebagai salah satu cara untuk mendesak para peniaga menurunkan harga. Beliau juga menggesa agar rakyat mengunakan kuasa, kebijaksanaan dan kepintaran sebagai pengguna dengan memilih untuk tidak mengunjungi kedai-kedai yang tidak menghormati peraturan kerajaan.

Untuk membendung kemarahan rakyat, kerajaan cuba untuk mencari jalan selamat dengan mengumumkan kempen berjimat cermat. Berita Harian menyiarkan pada 4 Ogos 2005 berita bertajuk “Kerajaan kena ‘pimpin’ rakyat untuk berjimat”. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamed ketika memberi taklimat untuk pengarang media Khamis minggu lalu mengenai kenaikan harga minyak, iaitu tiga hari sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan mahu rakyat lebih berhemat dan jangan membazir.
Ini termasuk menghadkan penggunaan tenaga elektrik dan kenderaan bermotor. Maknanya, ia bukan larangan tetapi menggunakannya secara tidak membazir. Berapa ramai yang menutup lampu setiap kali keluar dari tandas? Berapa ramai yang menutup pendingin hawa di pejabat apabila keluar makan tengah hari?Di Putrajaya, satu-satu pejabat pintar ialah Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi iaitu lampu dan alat pendingin hawa akan tertutup dengan sendiri jika tiada pergerakan manusia dan akan terpasang secara automatik apabila ada pergerakan manusia.Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr Fong Chan Onn pula mengumumkan bahawa semua pejabat kerajaan diarah menjimatkan penggunaan alat pendingin hawa dengan mengurangkan tahap kesejukan sebanyak dua darjah Celsius berikutan kenaikan harga petrol dan diesel.

Saya berharap rakyat perlu sedar tentang kepentingan hak mereka sebagai pengguna dan perlu menyedari bahawa hak-hak mereka sering ditindas. Kesedaran bahawa kenaikan minyak akan membawa kesan pada keseluruhan ekonomi termasuk harga barangan yang akan melonjak naik walaupun kerajaan berjanji untuk mengawalnya daripada membebankan rakyat. Ini terbukti dengan pemantauan yang telah dilakukan oleh kerajaan pada 4 Mei 2005 dan kenyataan di dalam akhbar Berita Harian pada hari ini telah membuktikannya.

Rakyat sepatutnya telah belajar melalui pengalaman pahit apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga bahan pembakar itu, akan disusuli dengan kenaikan harga dalam perkhidmatan dan barangan secara rasmi atau tidak rasmi. Penggunalah yang menerima kesannya akibat sikap pihak tidak bertanggungjawab dan mahu mengaut keuntungan dengan mendakwa kos operasi mereka meningkat berikutan kenaikan bahan itu. Saya menyeru agar rakyat bijak menggunakan kuasa pengundi untuk mengubah keadaan ini melalui proses pilihanraya Umum pada masa akan datang.

Sekian, wassalam


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: