11 August 2005

KENYATAAN PENGERUSI JAWATAN KUASA PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA JOHOR BERSANDAR KEPADA ASAS YANG LEMAH.

KENYATAAN MEDIA
(9 Ogos 2005)

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor ( DPPN Johor) ingin menyanggah kenyataan yang telah di buat oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor (JPDNHEPJ), Dato’ K.S Balakrishnan yang menyebut bahawa kenaikan harga barang yang berlaku sekarang ini adalah disebabkan oleh perubahan cuaca dan bukan didorong oleh kenaikan harga Petrol dan Diesel baru-baru ini. Kenyataan ini telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada hari ini. DPPN Johor melihat bahawa beliau selaku Pengerusi JPDNHEPJ telah membuat satu kenyataan yang lemah tanpa bersandarkan kepada fakta yang sebenar dan tanpa melakukan pemantauan terhadap peniaga yang terlibat. Kenyataan ini sebenarnya lebih bertujuan untuk menutup kelemahan dan sikap tidak prihatin kerajaan dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Tidak dinafikan bahawa perubahan cuaca akan menyebabkan bertambah atau berkurang penghasilan terhadap tanaman tetapi terdapat bahawa kenaikan harga barangan yang dijual di pasaran pada hari ini tidak ada kaitan dengan perubahan cuaca yang dimaksudkan, serta disebabkan oleh kenaikan harga Petrol dan Diesel. Sebagai contohnya, akhbar Utusan Malaysia bertarikh 8 Ogos 2005 bertajuk “Pesta Naik Harga” Bermula, menyiarkan bahawa pelbagai barang keperluan harian akan naik daripada 5 peratus sehingga 50 peratus. Dalam akhbar yang sama juga menyiarkan kenyataan Menteri Perdagangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Mohd. Shafie Apdal yang menyatakan bahawa terdapat 255 barang dikesan dan dijangka naik ekoran kenaikan harga pasaran petrol dan diesel.

Manakala hari ini (Utusan Malaysia, 9 Ogos 2005) telah mendedahkan bahawa harga ikan di pasaran di seluruh negara meningkat dengan ketara sehinga 100% akibat 40% dari kira-kira 47,000 nelayan di seluruh negara tidak turun ke laut sejak seminggu lalu akibat kegagalan memperolehi Diesel yang di subsidi oleh kerajaan. Kenyataan ini telah di buat oleh Encik Mohd Abdullah ( Presiden Pemantauan Pesatuan Pelindungan Pengguna Malaysia). Manakala Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan–Persatuan Pekebun-Pekebun Sayuran Malaysia, Encik Chay Ee Mang berkata kenaikan harga sayur terpaksa dilakukan memandangkan harga baja, racun, plastik, benih telah meningkat antara 5 peratus hingga 8 peratus.

Semua kenyataan-kenyataan ini menunjukkan bahawa harga barang yang meningkat pada hari ini adalah disebabkan oleh kenaikan harga minyak. Oleh itu DPPN Johor menasihatkan Dato’ K.S Balakrishnan agar berhati-hati dalam membuat kenyataan khususnya yang berkaitan dengan isu kenaikan harga barang kerana dibimbangi kenyataan-kenyataan yang dibuat tanpa merujuk kepada fakta yang sebenar bakal mengundang kontroversi dan kemarahan rakyat Johor serta menjatuhkan krediabiliti beliau dan Kerajaan Negeri Johor.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830

No comments: