15 September 2005

KEGAGALAN BANK NEGARA MALAYSIA (BNM) MENGAWAL PEMALSUAN WANG SYILING RM1 MERUGIKAN RAKYAT

KENYATAAN MEDIA
(15 September 2005)

Utusan Malaysia hari ini memaklumkan bahawa penarikan semula penggunaan syiling RM1 berkuat kuasa 7 Disember ini bertujuan mengelak berlakunya sindiket mengeluarkan syiling palsu. Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan bahawa kes pemalsuan wang syiling RM1 adalah terpencil dan tidak melibatkan jumlah yang ketara. Bank pusat itu berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan polis dan mengambil tindakan segera terhadap sebarang kegiatan pemalsuan wang itu.

Di antara sebab-sebab lain penarikan semula ini adalah disebabkan oleh permintaan yang rendah dan kegunaannya tidak lagi popular dalam pembelian barangan dan membayar perkhidmatan di negara ini.

Sebelum ini BNM dalam satu kenyataan pada 5 September lalu mengumumkan orang ramai diberi tempoh tiga bulan untuk menjalankan urus niaga menggunakan syiling berkenaan dan mereka boleh menukarnya pada nilai muka tanpa sebarang caj.

Semalam (14 September 2005) laporan muka depan Utusan Malaysia menggemparkan masyarakat kerana diberitakan bahawa hampir separuh daripada RM34 juta syiling RM1 yang kini berada di dalam pasaran dipercayai wang palsu. Ini bermakna terdapat lebih kurang RM 17 juta syiling RM 1 palsu berada di pasaran. Senario itu, kata sumber itu, mungkin antara sebab utama mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah drastik menghentikan penggunaannya selepas 7 Disember ini. Jika tidak dibendung, menurut sumber tersebut, ia boleh menjejaskan ekonomi negara.

Apa yang pelik, kata sumber itu, BNM sudah menghentikan pengeluaran syiling RM1 sejak tahun 2000 namun masih banyak kepingan syiling di pasaran yang mempunyai tahun cetakan 2004.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Ng Yen Yen pula berkata, sejak kebelakangan ini syiling RM1 itu banyak dipalsukan dan ia sukar dikesan (Utusan Malaysia, 7 September 2005). Tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menarik balik penggunaan duit syiling RM1 berkuat kuasa 7 Disember ini bertujuan mengelak berlakunya sindiket mengeluarkan syiling palsu.

Bukti bahawa telah berlakunya pengeluaran wang syiling RM 1 palsu setelah beberapa tangkapan telah dilakukan pada tahun ini yang melibatkan sindiket memproses wang syiling palsu.

1. Pada 22 Januari 2005, satu sindiket pengeluaran wang syiling RM1 palsu turut dibongkar di Klang dan Seri Kembangan selain rampasan sejumlah RM20,000 dipercayai baru dibuat di sebuah kedai yang ditinggalkan kosong

2. Pada 24 Mac 2005, polis melumpuhkan satu sindiket memproses wang syiling RM1 palsu serta merampas kira-kira 30,000 keping syiling bersama dua mesin memproses dalam serbuan di Puchong, Selangor. Difahamkan, wang syiling tersebut diproses untuk dijual dengan harga RM200 bagi setiap 1,000 keping kepada sindiket dan dipercayai digunakan untuk pembayaran wang menggunakan mesin termasuk di pusat permainan dan kasino. Sebahagian wang syiling palsu yang dirampas itu masih belum siap dicetak.

3. Pada 7 April 2005 pula, seorang lelaki dari Sarawak yang baru lima hari bekerja di sebuah kilang memproses wang syiling palsu dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan memproses dan memiliki mesin membuat wang syiling RM1 palsu. Dalam serbuan yang dijalankan, polis menemui sebanyak 900 keping duit syiling RM1 Malaysia palsu yang telah siap dan 22,000 kepingan logam dalam bentuk serta saiz duit syiling yang belum siap dicetak.

4. 14 April 2005 pula tujuh lelaki termasuk seorang juvenil masing-masing dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memproses wang syiling RM1 palsu sebanyak 22,097 keping. Pertuduhan mengikut Seksyen 232 Kanun Keseksaan membolehkan mereka dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan. Tertuduh turut didakwa atas tuduhan memiliki empat peralatan iaitu mesin mencetak wang syiling RM1 yang mereka ketahui boleh digunakan untuk tujuan memalsu.

Tindakan menarik semula penggunaan syiling RM1 daripada pasaran sememangnya dapat menghentikan sama sekali sindiket memproses wang palsu ini. Namun kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa kes pemalsuan wang syiling RM1 adalah terpencil dan tidak melibatkan jumlah yang ketara perlu diteliti semula.

Sekiranya benar dakwaan bahawa terdapat lebih kurang RM 17 juta syiling RM1 palsu berada di pasaran, perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana RM 17 juta adalah merupakan jumlah wang yang banyak. Adakah kerana untuk menutup kelemahan BNM maka perkara ini dilihat sebagai kejadian terpencil?.

BNM mestilah mengambil tanggungjawab terhadap pemalsuan syiling RM 1 ini bukan sekadar menyalahkan sindiket yang mengambil kesempatan di atas kelemahan BNM. BNM sepatutnya telah mengambil langkah kawalan lebih awal terutamanya telah berlaku beberapa tangkapan yang melibatkan sindiket memproses wang syiling palsu.

Sekian.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830

No comments: