02 September 2005

Pemuda PAS dakwa SAJH diperalat lindungi kegagalan kerajaan negeri

Oleh Salman Hussin
KLUANG, 2 Sept (Hrkh) – Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, berkata, Syarikat Air Johor Holdings Berhad (SAJH), telah diperalat oleh kerajaan untuk menutup kegagalan Kerajaan Negeri dalam mengurus air di negeri ini.SAJH dijadikan mangsa untuk berhadapan dengan rakyat yang marah berikutan krisis bekalan air yang berlaku di daerah Kluang dan Batu Pahat sejak beberapa bulan lalu dan sehingga kini krisis ini masih gagal ditangani kerajaan, katanya dekat sini.

Krisis bekalan air yang telah sampai ke peringkat kritikal ini menyebabkan SAJH bertindak melakukan catuan air di Kluang dan Batu Pahat sejak beberapa bulan lalu.

Ini menyebabkan pengguna di kedua-dua daerah tersebut meghadapi kesukaran dan kesengsaraan.
Beliau berkata demikian pada majlis Taklimat Status Bekalan Air yang disampaikan Ketua Bahagian Operasi SAJH, Haji Zainuddin Md Ghazali.

Majlis anjuran Dewan Perniagaan Cina Kluang yang diadakan dekat sini baru-baru ini turut dihadiri Pengerusi Persatuan Tionghua Kluang, Dato’ Jimmy Low Boon Hoong.

Menurut Faizi, Pemuda PAS merasa simpati dengan pegawai dan kakitangan SAJH yang menjadi mangsa dalam krisis bekalan air ini walau pun mereka tidak sepatutnya dipersalahkan sepenuhnya dalam hal ini tetapi inilah yang berlaku, mereka dijadikan mangsa semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan.

Dengan menjadikan SAJH sebagai mangsa maka Kerajaan Johor yang sepatutnya dipersalahkan dalam krisis air ini telah terselamat daripada cemuhan dan kemarahan rakyat yang kecewa dengan tahap pengurusan air di daerah Kluang dan Batu Pahat yang telah berlarutan sejak sekian lama.

"Kita sudah menghantar memorandum yang mendedahkan punca berlakunya pencemaran di kawasan tadahan air di Kluang dan Batu Pahat kepada Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, beberapa bulan lalu tetapi sehingga kini nampaknya masih tiada sebarang tindakan drastik diambil terhadap mereka yang menyebabkan berlakunya pencemaran air di kedua-dua daerah ini.

"Berdasarkan maklumat dari memorandum yang kita hantar ini, MB dalam satu kenyataannya selepas itu mendedahkan terdapat 718 hektar tanah di kawasan empangan telah diceroboh oleh pihak-pihak tertentu yang mengusahakan tanaman kelapa sawit dan sayur tetapi beliau tidak pula mendedahkan pihak yang terbabit melakukan pencerobohan ini."

Faizi selanjutnya berkata, apa yang menjadi persoalan sekarang kenapa kerajaan masih tidak bertindak mengheret mereka yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran ini ke muka pengadilan, ini menunjukkan semacam ada sesuatu yang tidak kena yang cuba disembunyikan oleh kerajaan.

Justeru kerana itu, beliau mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap mereka yang melakukan pencerobohan haram seperti mana yang didakwa Ghani baru-baru ini, rakyat mahu melihat sejauh mana ketelusan kerajaan dalam menangani isu yang membabitkan kepentingan rakyat.

Apa yang lebih penting tegas Faizi lagi, rakyat di Kluang dan Batu Pahat mahu air sepertimana yang dinikmati penduduk di tempat lain, "kita sudah terlalu lama menderita disebabkan gangguan bekalan air yang berlaku selama ini dan kerajaan perlu segera menangani masalah bekalan air ini."

"Tidak timbul soal penswastaan atau tidak tetapi apa yang kita mahu bekalan air hendaklah dipulihkan seperti sediakala," katanya.

No comments: