07 November 2006

ISU PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS BUKAN ISU UMNO TETAPI ISU RAKYAT MALAYSIA

No Rujukan : PAS/DPP.12/2.07(56/06)
Kenyataan Media
(7 November 2006)

TAJUK :

ISU PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS BUKAN ISU UMNO TETAPI ISU RAKYAT MALAYSIA

Apabila UMNO Negeri Johor membangkitkan bahawa menolak pembelajaran dan pengajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris (Etems) dalam Konvensyen UMNO Johor baru-baru ini, maka ramai dikalangan rakyat pelbagai lapisan membuat ulasan dan pandangan terhadap isu ini.

Utusan Malaysia memaparkan bagaimana bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk A. Aziz Deraman menyokong resolusi dan mengucap syabas dan tahniah kepada UMNO Johor kerana menentang pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Pengerusi Kongres Kepentingan Bangsa, Tengku Razaleigh Hamzah, dalam ucapan merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke 7 – juga menyebut bahawa apakah penggunaan Bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik menjamin kemajuan, rakyat lebih berpadu dan adakah kemerosotan mutu pendidikan serta kedudukan universiti-universiti berkaitan dengan soal ini?.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) ingin mengulas kenyataan Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Hishamuddin Tun Hussien (Utusan Malaysia, 7 November 2006) yang memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa bersikap terbuka kepada pandangan menyokong dan menentang ahli-ahli UMNO mengenai soal pendidikan khususnya yang berkaitan dengan kepentingan melayu. Pihaknya akan memberi perhatian serius terhadap kemahuan UMNO Johor supaya dilakukan kajian semula keberkesanaan.

Kenyataan ini membuktikan sikap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang ‘double standard’ terhadap isu yang telah sekian lama menjadi perbicangan dalam masyarakat. Bayangkan, betapa sebelum ini kerajaan begitu tegas mempertahankan bahawa tindakan mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris adalah tepat dan menolak sebarang cadangan dan pandangan walaupun ianya datang daripada golongan pendidikan dan pakar bahasa di Malaysia

Sebelum ini, pelbagai pihak telah menyatakan pendirian mereka terhadap isu ini. Diantaranya, Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad yang menyifatkan soal bahasa yang digunakan dalam pengajaran Sains dan Matematik bukan suatu isu besar. Menurutnya, ini kerana bahasa itu hanya merupakan suatu alat sedangkan bahan sebenar adalah subjeknya yang perlu dikuasai iaitu Matematik dan Sains.Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Omar Mohd. Hashim berpendirian sebaliknya dan berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula dasar ini. Katanya, ia bagi mengelakkan lebih ramai anak-anak Melayu terpaksa bergelut untuk menguasai kedua-dua ilmu ini hanya kerana wujudnya masalah bahasa.

Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Dr Awang Sariyan dalam kertas kerjanya bertajuk ”Pendidikan dan Perjuanga Bangsa :Tumpuan kepada Melayu dalam Sistem Pendidikan Negara” menjelaskan secara panjang lebar berkaitan dengan kepentingan bahasa Melayu dalam membina kemajuan Bangsa.

Kemarahan rakyat terhadap tindakan kerajaan ini juga telah menyebabkan 4 orang pelajar yang diwakili oleh bapa mereka menyaman kerajaan Malaysia kerana menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar Metematik dan Sains di Makamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Januari 2006 sehingga Biro Pendidikan UMNO Malaysia menuduh PAS terlibat dalam menghasut pelajar ini membuat tindakan menyaman kerajaan.

Menteri Pelajaran Malaysia mestilah bertindak secara professional. Jangan hanya bila UMNO membantah baru kajian dan tindakan akan diambil tetapi bila ianya bukannya daripada UMNO dianggap tidak patriotik dan bersikap anti kerajaan. Isu ini bukan isu UMNO tetapi ia adalah isu rakyat Malaysia.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) sejak awal lagi konsisten dalam membantah perlaksanaan pendidikan matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Justeru, DPPNJ akan menyokong mana-mana pihak yang komited untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam pendidikan termasuklah matapelajaran Matematik dan Sains.

Sekian, wassalam


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: