07 November 2006

UMNO TERUS BANGKITKAN ISU MERITOKRASI, AGENDA PERJUANGAN MELAYU UNTUK TAGIH SOKONGAN MELAYU

No Rujukan : PAS/DPP.12/2.07(55/06)
Kenyataan Media
(7 November 2006)

TAJUK :

UMNO TERUS BANGKITKAN ISU MERITOKRASI, AGENDA PERJUANGAN MELAYU UNTUK TAGIH SOKONGAN MELAYU


Setiapkali menjelang Persidang Agong UMNO, maka bermulalah kebangkitan isu melayu digegarkan dalam media, berdegar-degarlah suara pemimpin UMNO yang menjadi juara kepada masa depan melayu. Soal meritokrasi, soal hak ketuanan Melayu, soal pendidikan dan bangsa sudah menjadi mainan UMNO. Rakyat khususnya orang-orang melayu cuba untuk dipancing agar memberikan tumpuan kearah persidangan UMNO ini.

Diantara yang diberi fokus adalah isu yang dibangkitkan oleh UMNO Johor. Di dalam Konvensyen UMNO Johor yang baru sahaja selesai telah mendapat liputan dalam media massa dengan agak meluas sehingga Setiausaha Agong UMNO dalam taklimat kepada media sempena perhimpunan Agong UMNO ini telah memaklumkan bahawa isu meritokrasi yang dibangkitkan ini mungkin akan disentuh dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi sehari sebelum perhimpunan berlangsung.

Dalam Utusan Malaysia hari ini telah disenaraikan sebanyak 40 resolusi telah dicapai dalam konvensyen ini dan resolusi berkaitan dengan menolak pembelajaran dan pengajaran Matematik dalam Bahasa Inggeris dan isu meritokrasi telah mendapat respon daripada pelbagai pihak.

UMNO Johor sekali lagi telah membangkitkan isu meritokrasi seperti mana yng telah dibangkitkan pada Konvensyen UMNO Johor pada tahun lalu. Walaupun usul yang dibawa oleh UMNO Johor telah ditolak tetapi keberanian UMNO Johor untuk terus membawa isu ini memang tidak dapat dinafikan.

Ketika merasmikan Konvensyen UMNO Johor pada 9 Julai 2005 tahun lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Abdul Ghani Othman UMNO Johor telahpun membawa isu meritokrasi dan agenda melayu sebagai isu utama. Umno Johor menganggap sistem meritokrasi bukan sahaja membawa kemerosotan pelajar Melayu dalam bidang-bidang kompetitif malah merupakan satu bentuk diskriminasi dan penindasan. Sistem itu didapati telah menindas ribuan anak Melayu di luar bandar yang tidak berpeluang mendapat pendidikan berkualiti.

Dewan Pemuda PAS NEgeri Johor (DPPNJ) melihat bahawa apapun yang cuba diketengahkan adalah memperlihatkan seolah-olahnya UMNO adalah parti yang masih relevan untuk kaum Melayu sedangkan hakikatnya tidak begitu. Ini diakui sendiri oleh UMNO Johor melalui resolusi ke 15 (Pendidikan) yang menyebut bahawa ‘UMNO harus mendekati generasi baru kerana mereka semakin menganggap UMNO tidak diperlukan oleh mereka’.

DPPNJ tetap menegaskan bahawa isu kepentingan Melayu adalah isu yang dibangkitkan semata-mata untuk menghadapi Perhimpunan Agong mereka. Perkara ini diakui sendiri oleh Profesor Diraja Ungku Aziz dalam wawancaranya seperti yang pernah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 15 Ogos 2004 bertajuk "Menang Bentuk Kalah Isi – Melayu tidak kisah Bangsa". Di antara perkara yang disentuh oleh Pak Ungku adalah pembasmian kemiskinan orang melayu yang sudah ada dalam Laporan Majlis Perunding Ekonomi Negara II tetapi kerajaan selalu mahu mencari cara-cara baru. Pak Ungku juga menyentuh isu agenda sosioekonomi orang Melayu yang harus dibincangkan selalu kerana hanya dengan cara itu saja dapat dicari jalan penyelesaiannya yang berkesan dan Agenda Melayu ini tidak terbatas sehingga bulan September nanti saja (Perhimpunan Agung UMNO tahun 2004). Pak Ungku juga menyebut bahawa pemimpin Melayu seringkali mengelak daripada menyentuh isu-isu yang sebenarnya relatif iaitu kemiskinan, kekurangan fizikal dan kelemahan mental.

Begitu juga dengan Profesor Datuk Dr. Ismail Md. Salleh di dalam satu wawancara bertajuk "Ada orang-orang Melayu di persimpangan jalan. Persaingan globalisasi masa depan" yang mana beliau menyentuh bahawa melayu sekarang berada di persimpangan. Pencapaian orang Melayu yang dibangga-banggakan sejak Dasar Ekonomi Baru tamat sudah semakin terhakis. Yang menariknya, beliau menyuarakan kebimbangannya terhadap perbincangan isu ini melalui media massa yang nampak cukup rancak dalam tempoh seminggu ini. Beliau juga menyatakan bahawa "Janganlah hendaknya kita memperkatakan hal ini hanya kerana perhimpunan agung UMNO tidak lama lagi".

Jika dilihat kepada resolusi dan ucapan yang disampaikan oleh pemimpin UMNO, memanglah sangat menarik untuk dihayati tetapi realitinya kesemua itu hanyalah omong-omong kosong sahaja. Setelah selesai persidangan UMNO nanti, kesemua isu yang dibangkitkan ini akan dipandang sepi.

Sekian, wassalam


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: