31 October 2006

AKHIRNYA SAUDARA EZAM PERGI JUA

Posted by Picasa AKHIRNYA SAUDARA EZAM PERGI JUA

Pada 29 Oktober 2006, lebih kurang pukul 11.45 pagi, seorang teman memaklumkan kepada saya bahawa Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Malaysia Sdr Mohamed Ezam Bin Mohd Nor akan mengadakan satu sidang akhbar untuk mengumumkan perletakkan jawatan beliau sebagai Ketua AMK Malaysia dan akan mengumumkan kabinet baru. Perletakkan jawatan beliau bukanlah satu perkara yang mengejutkan kerana sebelum ini telah pun diumumkan dalam Kongres AMK dan disiarkan di dada akhbar tetapi ia tetap menjadi perkara yang agak sukar untuk diterima.

Kali terakhir saya berkesempatan untuk bersua muka dan berbicara dengan beliau ketika himpunan aman menentang kezaliman ISA di dataran Masjid Negara pada 15 Oktober 2006 yang lalu. Sebelum bersurai, saya sempat ‘memujuk’ sdr Ezam agar tidak melepaskan jawatannya ketika ini dan seboleh-bolehnya biarlah sehingga selesai pilihanraya Umum yang ke 12 nanti.

Sdr Ezam memberitahu saya alasan beliau melepaskan jawatan ini dan meyakinkan saya bahawa pengganti beliau dan barisan AMK yang sedia ada mampu untuk meneruskan agenda yang telah diperjuangkan sejak sekian lama. Ketika itu saya dapat merasakan bahawa saat dan ketika untuk sdr Ezam ‘pergi’ semakin hampir.

Mungkin saya tidak mengenali sdr Ezam secara mendalam, saya lebih melihat beliau dari jauh dan mendengar cerita-cerita daripada teman-teman AMK namun saya tetap menganggap beliau adalah salah seorang pejuang yang gigih dalam menggerakkan agenda perjuangan khususnya sejak berlakunya reformasi di Malaysia.

Kali pertama saya dapat bertemu dan berbicara dengan sdr Ezam adalah ketika program Konvensyen Pemuda BA Johor kali pertama yang telah diadakan pada 2 April 2006. Memang sudah lama saya ‘kepingin’ untuk berbual dengan beliau tetapi belum pernah sebelum ini saya dapat bertemu dengan beliau. Maklumlah, saya pemimpin kerdil dan berada di dalam parti yang berbeza. Mujurlah teman rapat saya telah ‘memperkenalkan’ saya dengan sdr Ezam.

Saya tidak boleh lupa apabila beliau ada bertanya kepada saya, mengapa sebelum ini beliau tidak pernah menemui saya. Pertanyaan tersebut bukanlah satu kejutan kerana sememangnya sebelum ini saya lebih berminat untuk berkerja di sebalik tabir dan menguruskan parti di peringkat pentadbiran. Kalau ada program luaran pun, saya lebih serasi untuk mengendalikan program-program PASTI. Saya bukanlah ‘figure’ yang menonjol dalam lapangan politik. Maka tidak peliklah kalau saya tidak dikenali.

Selepas itu saya sempat bertemu dengan beliau dan saya boleh simpulkan bahawa beliau mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang bertemu dengan beliau.

Pemerhatian saya dari jauh, daripada pelbagai sumber, saya mengkagumi semangat juang beliau di dalam perjuangan ini khususnya apabila ia melibatkan soal rasuah. Semasa menyampaikan ucapan penutup di dalam konvensyen Pemuda BA Johor, beliau menyatakan bahawa rasuah yang berlegar di dalam negara kita semakin membarah. Kerana itu, beliau menubuhkan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK) untuk memberikan tumpuan terhadap memulihkan dan membersihkan Negara daripadanya.

Kegigihan beliau memperjuangkan agenda reformasi menyaksikan beliau telah ditahan dibawah ISA dan OSA, beberapa kali dilokap dan pelbagai cabaran serta ujian seperti juga yang dilalui oleh pejuang yang lain.

Pelbagai cerita indah dan duka telah beliau lalui dalam perjuangan ini khususnya dalam mengemudi gerakan reformasi dan AMK, semuanya kini telah pun menjadi catatan sejarah dan yang pastinya beliau meninggalkan jawatan sebagai ketua AMK Malaysia dengan secara terhormat walaupun sebelum ini beliau pernah dikaitkan untuk menyertai semula UMNO.

Mudah-mudahan apa yang telah dilakukan selama ini akan mendapat ganjaran daripadaNya. Saya yakin bahawa beliau akan terus komited dalam agenda perjuangan ini walapun bukan lagi sebagai ketua AMK Malaysia.

Kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat ‘bertugas’ Sdr Shamsul Iskandar Md Akin yang telah diberi mandat baru sebagai pemangku Ketua AMK Malaysia. Semoga beliau dapat terus memacu perjuangan dan bergerak bersama Dewan Pemuda PAS di semua peringkat untuk menegakkan keadilan.

Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
31 Oktober 2006, 9.35 pagi.
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: