31 October 2006

SIASATAN TERHADAP SALAH GUNAKUASA AHLI MAJLIS PERLU DIBUAT SECARA MENYELURUH

Kenyataan Media
(31 Oktober 2006)

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) mendesak agar siasatan secara menyeluruh penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan di kalangan anggota Majlis perbandaran dan majlis daerah dilakukan bukan sahaja yang melibatkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) tetapi mesti dilakukan siasatan secara menyeluruh terhadap majlis perbandaran dan majlis daerah di seluruh Negara.

Pendedahan Yang Dipertua MPK Abdul Bakir Md Zin semalam (Bernama, 30 Oktober 2006) bahawa terdapat dua lagi anggota MPK selain daripada Datuk Zakaria Md Deros dikesan gagal mengemukakan pelan bangunan rumah masing-masing walaupun pembinaannya telah bermula iaitu Mazlynoor Abdul Latif dan Faizal Abdullah. Kedua-duanya dikatakan gagal mengemukakan pelan bangunan rumah kepada MPK dan arahan menghentikan pembinaan rumah tersebut di kampung Raja Uda dihentikan serta-merta.

Yang Dipertua MPK Abdul Bakir Md Zin dalam kenyataan ini juga menyebut bahawa berkata beliau tidak menyedari kedua-dua Anggota Majlis itu tidak menghantar pelan pembinaan sebelum ini sehingga dimaklumkan baru-baru ekoran pendedahan bahawa ADUN Klang YB Datuk Zakaria Md Deros membina rumah ala-istana tanpa kebenaran MPK.

DPPNJ melihat bahawa pendedahan terbaru ini membuktikan sikap angkuh dan tidak menghormati undang-undang berleluasa di kalangan pemimpin UMNO/BN yang mengambil kesempatan apabila memperolehi kemenangan yang besar dalam pilihanraya Umum yang lalu.

Kejadian ini juga menunjukkan bahawa lemahnya seorang Menteri Besar UMNO/BN yang tidak berupaya menangani masalah dikalangan wakil rakyatnya menyalahgunakan kuasa dan kedudukan sehingga menyebabkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah campur tangan untuk menyelesaikan masalah ini.

DPPNJ yakin dan percaya bahawa sekiranya siasatan dilakukan oleh BPR terhadap semua majlis bandaran dan majlis daerah diseluruh Negara, pelbagai ‘rahsia’ akan terdedah untuk membuktikan rakusnya pemimpin UMNO/BN.

Siasatan juga perlu dilakukan terhadap Yang Dipertua Majlis perbandaran/daerah yang mempunyai kuasa untuk meluluskan sesuatu permohonan di bawah pentadbirannya.

Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: