17 July 2007

Misteri Helikopter NURI

GENTING HIGHLANDS: Hujan dan kabus pada sebelah petang hari ini, sekali lagi menjejaskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang di kawasan ini sejak Jumaat lepas.

Cuaca baik dan cerah ketika operasi SAR bermula pada pukul 7 pagi ini terjejas selepas tengah hari apabila cuaca mendung dan beberapa kawasan di sini mula hujan.
Keadaan hujan dan kabus tebal yang menyebabkan pengawasan udara sukar dibuat kerana jarak penglihatan terhad, mengulangi kesukaran yang dihadapi oleh anggota SAR sejak tiga hari lepas.

Operasi di darat juga menghadapi masalah kerana selain licin akibat hujan, bentuk muka bumi kawasan itu menghalang anggota untuk bergerak pantas apabila mereka berhadapan dengan hutan tebal yang berbukit dan bercuram.

Setakat ini, tiada perkembangan positif daripada kumpulan anggota SAR yang membuat operasi di udara dan darat yang melibatkan kawasan seluas lingkungan 60 kilometer di sekitar kawasan ini.
Hari ini merupakan hari keempat operasi SAR dilakukan bagi mengesan pesawat Sikorsky S61 dan enam krewnya yang hilang.

Jumlah anggota SAR yang terlibat dalam gerakan besar-besaran kini meningkat kepada kira-kira 1,400 anggota, tambahan lebih 500 anggota berbanding semalam.

Operasi itu adalah antara operasi menyelamat terbesar di negara ini sejak beberapa tahun lepas melibatkan pelbagai pihak berkuasa dan penggunaan lebih 15 buah helikopter dan kapal terbang.
Operasi tinjauan di udara itu turut dibantu oleh Tentera Laut Amerika Syarikat yang menghantar pesawat Sea Hawk-nya selain penggunaan helikopter peribadi Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah serta helikopter unit udara polis dan bomba.

Bagi operasi di darat, ia melibatkan pasukan Komando VAT 69, Pasukan Khas Udara (Paskau), pasukan gerakan khas tentera darat, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), pasukan Senoi Praaq terdiri Orang Asli yang terkenal dengan kecekapan menjejak serta bantuan penduduk sekitar.

Difahamkan, enam pegawai dan anggota TUDM yang hilang bersama helikopter itu mampu bertahan untuk tempoh enam hingga lapan hari dengan sumber makanan di hutan.

Semasa kejadian, pesawat Nuri dipandu oleh juruterbang Kapt Nor Azlan Termuzi dan pembantu juruterbang Kapt Nor Intan Asykeen Mohd Arof membawa bersama Sjn Khusnizam Ariffin (kuartermaster udara), Sjn Mohd Azmie Md Yassin, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad.
Pesawat itu dalam penerbangan dari Pangkalan TUDM Sungai Besi ke Kuantan apabila dilaporkan hilang setelah terputus hubungan dengan menara kawalan pukul 9.35 pagi Jumaat, kira-kira 10 minit setelah berlepas. BERNAMA
---------------------------------------------------
DPPNJ: Sudah adakah mana-mana pihak yang minta Allah beri petunjuk secara khusus? Solat hajat beramai-ramai? Kuasa Allah mengatasai kuasa manusia. Mengapa beriye-iye minta bantuan tentera dari luar negara tetapi tidak minta bantuan dari Allah?



No comments: