19 July 2007

Ulasan Mutu Bola Sepak Negara


Oleh: Abdul Hamid Jamah, Ketua Penerangan DPPNJ

Persembahan pasukan bola sepak Malaysia berakhir malam tadi apabila tewas di tangan Iran 2-0. Kekalahan ini melengkapkan pakej kekalahan pasukan Malaysia di dalam saingan merebut Piala Asia 2007 dan seterusnya meranapkan impian Malaysia yang turut menjadi tuan rumah bersama. Prestasi buruk yang dipamerkan pasukan Malaysia ini jelas mengecewakan banyak pihak.

Allahyarham Mokhtar Dahari yang masih dikenang sehingga ke hari ini walaupun hayatnya sudah bersemadi hampir 15 tahun lalu. Biarpun ramai generasi muda masa kini tidak mengenali dengan dekat bintang negara itu, tapi hampir semua pasti pernah mendengar namanya - pemain dengan bakat semulajadi yang mengangkat imej Malaysia setaraf dengan jaguh bola sepak dunia. Paling ketara Pestabola Merdeka yang menjadi gelanggang dia mempamer taring dan kehebatannya.

Walaupun kelibat pemain istimewa seperti Mokhtar yang tiada galang gantinya sehingga kini sudah lama meninggalkan kita, bayangan kehebatannya tidak pernah padam apatah lagi apabila mengingati susah payah anak kelahiran Setapak, Kuala Lumpur itu mencipta nama walaupun dia memang sudah memiliki kurniaan yang tiada pada orang lain.

Situasi yang berlaku ini bukan sahaja menjadi satu kekecewaan kepada rakyat Malaysia tetapi menjadi kebimbangan sekiranya terdapat unsur rasuah ataupun pilih kasih. Dahulu, arena bola sepak negara pernah dicemari dengan gejala rasuah dan jual beli pemain yang akhirnya merosakkan imej pasukan dan individu tertentu. Maka amat dibimbangkan jika pada hari ini, dalam keadaan penglibatan pengaruh politik pihak tertentu akan menyebabkan berlakunya rasuah dan pilih kasih.

DPPNJ menyeru kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya membuat rombakan besar-besaran dan membina satu plan tindakan yang efektif dan berkesan. Ambil segala bentuk kelemahan yang ada dan selesaikan masalah sedia ada di samping membina keyakinan baru di bawah pentadbiran baru. Serahkan jawatan penting di dalam FAM kepada orang yang benar-benar berkelayakan dan mampu membawa pasukan Malaysia setaraf dengan pasukan lain di dalam dunia. Berikan kepada individu yang profesional berkatan bola sepak dan bukannya melantik orang yang tahu bercakap dan tahu memberi alasan.

Campur tangan politik juga seharusnya dielakkan bagi memastikan mutu pentadbiran bola sepak negara bersih tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Orang-orang yang hadir ke bola sepak dengan tujuan untuk kepentingan diri sendiri mestilah disingkirkan dan di buang daripada senarai pendokong FAM. Orang seperti ini bukanlah mampu menaikkan marabat pasukan bolasepak Malaysia tetapi menjahanamkan sehingga jatuh tersembam menyembah bumi.

DPPNJ mengucapkan tahniah dan syabas kepada Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mengambil tindakan drastik meletakkan segala jawatan yang beliau sandang bagi menunjukkan tanda protes dan kecewanya terhadap mutu bola sepak negara. Tindakan tengku itu bukan sahaja kecewa dengan mutu permainan pasukan bola sepak negara tetapi kekecewaan itu jelas menunjukkan bahawa ia melibatkan pihak pengurusan FAM juga.

No comments: