25 March 2008

Tahniah UMNO Bahagian Muar!


Umno Muar tuntut Abdullah undur - Harakahdaily
Abdul Halim Mohd Rashid Tue Mar 25, 08 5:42:58 am MYT

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) - Sokongan terus terang kepada Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar Datuk Seri Abdullah Badawi sebagai Presiden Umno sudah bermula.

Di Muar, sebuah akhbar tempatan melaporkan 80 ketua cawangan mendesak pemimpin mereka mengadakan mesyuarat agung khas bahagian itu untuk menuntut Abdullah berundur.

Kumpulan itu, termasuk jawatankuasa, Pemuda dan Wanita bahagian berkenaan berkumpul di rumah Datuk Kadar Shah Tun Sulaiman untuk mendapatkan pandangannya sebelum membuat keputusan mereka.

Mereka kecewa apabila Ketua Bahagian Muar, Datuk Mohd Ismail Mohd kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Adun Maharani kini ialah Dr Mohamad Taslim dari PAS yang mendapat 8,154 undi dalam pilihan raya baru-baru ini berbanding 7,996 yang diperolehi Mohd Ismail.

Mereka yakin sudah sampai masanya Umno dipulihkan.

Jurucakap mereka, Zakariah Mahadi menyatakan, kepimpinan Umno mestilah bertanggungjawab atas keputusan pilihan raya baru-baru ini dan meletak jawatan.

Zakariah, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Balang menyatakan, ramai ahli Umno di bahagian itu yang sedih dengan kekalahan Barisan Nasional (BN).

"Kami juga mengambil keputusan untuk memberikan sokongan kepada usaha Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah untuk memulihkan maruah Umno," akhbar tersebut memetik beliau berkata selepas perhimpunan itu.

Menurut beliau, ahli-ahli di bahagian itu sedih kerana para pemimpin Umno gagal melihat angin perubahan yang melanda negara.

Sementara itu, Kadar yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Tengku Razaleigh berkata, Abdullah sepatutnya mendengar desakan akar umbi yang mahu beliau berundur.

Rakyat, katanya, sudah tidak tahan lagi dengan rasuah, kronisme, nepotisme dan penyalahgunaan kuasa.

No comments: