19 June 2008

Laporan Polis Terhadap Perdana Menteri Malaysia

Laporan Polis ini telah dibuat di Balai Polis Daerah Kluang pada 18 Jun 2008, pukul 10.10 pagi.
=============================
LAPORAN POLIS
PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR

Tarikh : 18 Jun 2008 / 13 Jamadil Akhir 1429
---------------------------------------------


Aduan dibuat terhadap :-

Dato’ Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia


Pendahuluan

Pada 6 Jun 2008 yang lalu, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan kenaikan harga minyak petrol sebanyak RM 0.78 seliter iaitu daripada RM 1.92 kepada RM 2.70. Manakala harga diesel dinaikkan RM 1 seliter iaitu daripada RM 1.58 kepada RM 2.58. Kenaikan petrol dan diesel masing-masing 40.6 peratus dan 63.3 peratus adalah merupakan yang tertinggi dalam sejarah negara kita.

Kali terakhir kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel ialah pada 28 Februari 2006 iaitu sebanyak 30 sen seliter. Walaupun kerajaan mengumumkan pelbagai langkah termasuk penstrukturan subsidi, pemberian rebet, pemotongan elaun keraian menteri dan lain-lain, ia gagal mengawal kesan negatif yang akhirnya memudaratkan kehidupan rakyat.

Aduan

1. Tindakan gopoh dan tergesa-gesa Perdana Menteri dan kerajaan menaikkan harga minyak walhal baru mendapat mandat semula pemerintahan menerusi pilihanraya umum kali ke 12 tidak sampai 3 bulan. Ianya bertentangan dengan manifesto yang ditawarkan kepada rakyat. Rakyat merasa tertipu, diinaya dan sangat marah dengan tindakan tidak bertanggungjawab Perdana Menteri dan Kerajaan.

2. Perdana Menteri dan Kerajaan berbohong apabila memberi jaminan harga minyak tidak akan dinaikkan dalam masa terdekat, bahkan kerajaan memaklumkan bahawa kajian semula harga minyakakan diumumkan pada Ogos yang akan datang.

3. Kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh Perdana Menteri terlalu tinggi dan tidak boleh diterima sama sekali. Ianya akan menyebabkan harga barang dan perkhidmatan awam melambung naik. Tambang bas ekspres dan bas sekolah, kos pengangkutan, harga barang dan segala-galanya naik tanpa dapat dikawal.

4, Tindakan Perdana Menteri dan Kerajaan menimbulkan mudarat kepada keselamatan negara. Pelbagai pihak seperti parti politik, badan bukan kerajaan dan kesatuan sekerja mengadakan tunjuk perasaan dan siri perhimpunan aman di pelbagai lokasi. Rakyat menjadi takut, peniaga menjadi bimbang dan pengguna jalanraya tersekat perjalanan mereka, kesan kemarahan rakyat melalui bantahan yang ditunjukkan.

5. Tindakan Perdana Menteri dan Kerajaan mendorong para peniaga disemua sektor menaikkan harga barang sesuka hati. Agensi kerajaan yang terbabit bahagian penguatkuasaan tidak mampu membuat pemantauan. Rakyat tertekan dengan kenaikan harga barang yang cukup membebankan.

6. Tindakan Perdana Menteri dan Kerajaan akan menyebabkan ekonomi lumpuh dan kadar inflasi meningkat lebih 4 peratus. Perbelanjaan rakyat meningkat sedangkan pendapatan tidak berubah. Peruntukan kepada rakyat seperti pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas terjejas teruk. Sesetengah golongan peniaga kehilangan pendapatan ataupun gulung tikar.

7. Tindakan Perdana Menteri dan Kerajaan menyebabkan institusi keluarga bermasalah. Rakyat perlu bekerja lebih masa atau mencari pendapatan sampingan. Masa kualiti bersama keluarga berkurangan. Gejala sosial dikalangan anak-anak pasti meningkat. Kesejahteraan hidup masyarakat akan terjejas.

8. Tindakan Perdana Menteri dan Kerajaan akan mengundang peningkatan kadar jenayah. Keselamatan hidup rakyat akan tidak terjamin. Tugas polis dan institusi keselamatan semakin sukar. Tanggungjawab membenteras jenayah semakin meningkat.

9. Tindakan Perdana Menteri dan Kerajaan akan menyebabkan pembuangan pekerja apabila ekonomi parah. Pengangguran meningkat manakala peluang pekerjaan berkurangan.

Saya mendesak agar laporan polis ini disiasat walaupun ianya melibatkan Perdana Menteri Malaysia dan tindakan segera perlu dilakukan.

Sekian laporan saya.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

No comments: