23 September 2008

SIAPAKAH PETUALANG, PENGKHIANAT DAN PEMBOHONG DALAM UMNO?

UMNO hari ini mempunyai dua kelompok ahli yang disifatkan sebagai gunting dalam lipatan - kelompok pensabotaj dan kelompok petualang.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghuraikan kewujudan kelompok pertama pada minggu pertama Mac 2008. Katanya, kelompok inilah punca utama BN kalah teruk dalam PRU12.

Lantaran itu, Abdullah menyatakan bahawa beliau sendiri akan membentangkan laporan kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO supaya kelompok pensabotaj ini dikenakan tindakan. Kini sudah empat bulan berlalu. Namun begitu, sampai hari ini pun belum didedahkan siapakah pensabotaj sebenarnya di dalam UMNO.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhamad Muhd. Taib, menghuraikan kewujudan kelompok petualang dalam satu kenyataannya semalam.

Katanya: “Bila ada kalangan ahli MT yang membocorkan maklumat mereka boleh dianggap dan dikategorikan sebagai petualang kerana melakukan perbuatan yang menjijikkan dan memalukan. Sepatutnya perangai petualang ini tidak harus ada di kalangan pemimpin dalam parti.”

Kategori Negatif

Kedua-dua tuduhan di atas adalah amat serius. Kedua-duanya juga menyebabkan ahli-ahli UMNO semakin dipecah-pecahkan kepada kategori yang negatif. Kesannya juga pasti negatif. Bukan kepada yang pihak dituduh, tetapi kepada insan-insan yang memberikan label-label berkenaan.

Demi UMNO, demi agama, demi bangsa dan demi tanahair, marilah kita tanya kepada Abdullah, sudahkah diselidik dan disiasat punca-punca yang menyebabkan BN kalah teruk dalam PRU12? Kalau sudah, berapa ramaikan pengkhianat atau pensabotaj yang sudah dikenalpasti? Kalau belum, kenapa buat tuduhan yang memlulu? Dan, kalau belum, mengapakah Abdullah sering berkata BN dan UMNO masih kukuh dan masih kuat? Bukankah ini satu pembohongan?

Begitu juga kepada Muhamad Taib. Sudahkah disiasat siapakah yang dilabelkannya sebagai petualang? Kalau belum mengapakah buat tuduhan yang semberono? Kenapa tidak dinafikan sama ada maklumat yang dibocorkan kepada media itu benar atau palsu? Kenapa alih pandangan umum kepada soal petualang?

Tidakkah benar di era kepimpinan Abdullah memang sering berlaku diversion daripada masalah pokok kepada soal sampingan. Soal pokoknya, tidak benarkah BN kalah kerana kepimpinan Abdullah yang tempang. Sebab itulah terdapat orang UMNO sendiri marah dan protes.

Jadi, kenapa tidak diakui hakikat ini. Sebaliknya, kenapa tuduh warga UMNO yang tidak undi BN sebagai pensabotaj? Kenapa sehingga hari ini tidak ada berita yang Abdullah sendiri telah membentangkan senarai pensabotaj itu kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO? Bagaimana pula dengan ahli-ahli komponen BN yang juga tidak mengundi calon BN? Kenapa Abdullah tidak tuduh mereka juga sebagai pengkhianat?

Syak Wasangka

Soal pembocoran maklumat dalam mesyuarat MT 18 September 2008, pun begitu juga. Benar atau tidak Abdullah telah menitiskan air mata dalam mesyuarat itu. Benar atau tidak ramai ahli MT yang mahukan Abdullah berundur sebelum 9 Oktober 2008? Kenapa tidak nafikan atau sahkan laporan-laporan seperti ini? Sebaliknya kenapa wujudkan syak wasangka sesama ahli MT?

Untuk maklumat Muhamad Taib, cuba kaji sendiri berapa banyakkah blog yang telah mengulas mesyuarat MT baru-baru ini. Kajilah sendiri kalau sudah sekian banyak blog yang membuat laporan mengenai info yang sama, adakah ini satu kepalsuan atau pembohongan?

Saya tidak mahu mengheret polemik ini kepada soal lain. Contohnya kepada soal muqabalah dengan PAS baru-baru ini. Benarkah apa yang dinyatakan oleh Abdullah bahawa dalam muqabalah itu UMNO telah diwakili oleh pihak-pihak tertinggi yang boleh buat keputusan? Tidak benarkah UMNO hanya diwakili oleh Abdullah seorang diri dalam muqabalah berkenaan? Saya harap Muhamad Taib dapat jelaskan perkara ini sebelum ada pihak menuduh pemimpin tertinggi UMNO ini sebagai pembohong!

Berapa banyak lagikah pembohongan yang sudah dihalalkan oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO selama ini? Contohnya, benarkah kenyataan Tan Sri Annuar Musa semalam kononnya UMNO Kelantan sebulat suara akan mencalonkan Abdullah ke jawatan Presiden UMNO? Bagaimana dengan UMNO Bahagian Gua Musang? Juga akan calonkan Abdullah?

Kenyataan Puad

Akhir kata, saya harap Abdullah dan Muhamad Taib, fahamilah kenyataan di bawah ini:

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Ketua- ketua UMNO bahagian meminta Majlis Tertinggi (MT) parti itu supaya tidak mengabaikan keresahan di peringkat akar umbi berhubung isu peralihan kuasa pucuk pimpinan UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sekiranya keresahan dan pandangan ahli diketepikan, gelombang di peringkat akar umbi dikhuatiri akan membahayakan parti.

Katanya, akar umbi tidak lagi boleh berdiam untuk menyatakan pendirian bahawa merekalah yang sepatutnya berhak memutuskan soal pimpinan dalam parti.

Beliau percaya pada mesyuarat bahagian kali ini, akar umbi akan bertindak berani menyatakan pendirian mereka mengenai calon yang mereka fikir wajar dijadikan pemimpin.

"Jika ini berlaku, kita tidak dapat menahan arus ini. Apa pun janji yang kita buat, ia tidak akan dapat mengubah pendirian mereka," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Lagi:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

Kenyataan di atas adalah hakikat yang jelas dan tegas. Pastinya ia dikeluarkan demi UMNO, demi agama, demi bangsa dan demi tanahair. Apakah Abdullah akan melabelkan Puad sebagai pengkhianat? Apakah Muhamad Taib akan melabelkan Puad sebagai petualang?

Ruhanie Ahmad

No comments: