07 October 2005

KAYVEAS DEDAHKAN PBT IBARAT KONGSI GELAP, APA TINDAKAN PAK LAH?

KENYATAAN MEDIA
(7 Oktober 2005)



Ramai yang terkejut dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas yang juga Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) mengkritik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana mendakwa ia ditadbir seperti pertubuhan `kongsi gelap'.

Menurut Kayveas, PBT pada masa ini gagal untuk menjadi `kerajaan ketiga' selepas Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Kenyataannya telah mendapat pelbagai pandangan dan kritikan kerana ia dikatakan tidak mencerminkan beliau sebagai pemimpin kerajaan dan membuat kenyataan melulu tanpa mendapat maklumat yang tepat.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Penguasa Tempatan (ANULAE), Md. Akhir Manshor telah mengeluarkan dua kali kenyataan membidas kritikan yang telah dikeluarkan oleh Kayveas. Kenyataan beliau yang pertama pada 3 Oktober 2005 yang menyatakan bahawa PBT sebagai pertubuhan `kongsi gelap' tidak mencerminkan beliau sebagai seorang pemimpin kerajaan.

Md Akhir menyebut, sebagai seorang pemimpin kerajaan beliau (Kayveas) tidak seharusnya melabelkan PBT sebagai kumpulan kongsi gelap. Menurutnya, kenyataan Kayveas itu dianggap sebagai tidak berbudi bahasa dan terlalu kasar. Menurut menurut beliau, kalau Kayveas katakan bahawa dia sayang PBT, beliau tidak sepatutnya berkata begitu, itu bukan sayang namanya. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa beliau langsung tidak mencerminkan perwatakan sebagai seorang pemimpin.

Kenyataan Md Akhir yang kedua dibuat pada 5 Oktober 2005. Kenyataan ini menyebut bahawa tindakan Kayveas itu telah mencemarkan imej kakitangan awam terutama kakitangan PBT.

Beliau menegaskan supaya kenyataan Kayveas ditarik balik dan sekiranya kenyataan itu tidak ditarik balik Kayveas seolah-olah telah meletakkan imej kakitangan PBT sebagai samseng di mata masyarakat.

Beliau juga menegur kayveas supaya menggunakan saluran yang betul untuk mengkritik PBT, bukannya membuat kenyataan yang terburu-buru dengan melabelkan sebagai kongsi gelap.

Hari ini, seperti mana yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia, Datuk M. Kayveas secara terbuka mencabar semua kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta ahli majlis untuk mengisytiharkan harta mereka. Menurutnya, beliau sedar ada pegawai penguat kuasa PBT yang memiliki empat buah kereta dan rumah mewah.

Beliau menyatakan bahawa Perdana Menteri (PM) bertungkus-lumus dalam membanteras gejala rasuah tetapi perbuatan (rasuah) ini tetap berlaku dalam PBT, tiada siapa boleh menafikannya.

Beliau menegaskan bahawa imej PBT sudah tercemar di kalangan rakyat, saya hanya cuba memperbaiki imej PBT yang sudah pun tercemar dan berusaha untuk meningkatkan tahap kualiti di dalam pihak berkuasa tempatan ini.

Di dalam sidang Dewan Negara pada 13 Disember 2004, YB Siti Zailah Binti Mohd Yusoff telah bertanya apakah punca berlakunya rasuah terutamanya di kalangan kakitangan perkhidmatan awam dan sejauh manakah undang-undang yang ada pada hari ini dapat memberi kesedaran kepada pemberi dan penerima rasuah.

Saolan ini telah dijawab oleh Datuk M. Kayveas dengan mendedahkan bahawa bagaimana rasuah boleh terjadi di kalangan kakitangan awam. Contohnya, apabila pemberi rasuah ingin mempercepatkan proses dokumen dan penerima rasuah (kakitangan awam) mempunyai masalah kewangan. Beliau juga menyatakan bahawa undang-undang yang sedia ada sudah cukup untuk mengatasi rasuah kerana telah beberapa kali dibuat pindaan.

Ada beberapa perkara yang ingin saya nyatakan dan tegaskan di sini iaitu :

i. Kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas mengkritik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana mendakwa ia ditadbir seperti pertubuhan `kongsi gelap' perlu disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) terutamanya tuduhan ini dibuat oleh pemimpin kerajaan.

ii. Semua kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta ahli majlis khususnya Setiausaha Agong ANULAE, Md. Akhir Manshor perlu menyahut cabaran Datuk M. Kayveas untuk mengisytiharkan harta mereka

iii. Kenyataan Datuk M. Kayveas di dalam sidang Dewan Negara pada 13 Disember 2004 sebenarnya telah mendedahkan bahawa bagaimana rasuah boleh terjadi di kalangan kakitangan awam. Bezanya pada kali ini secara khususnya ditujukan kepada PBT.

iv. Datuk M. Kayveas sebenarnya terpaksa menarik balik jawapan kepada Senator Zailah Yusoff yang mana beliau pernah menyatakan bahawa undang-undang yang sedia ada sudah cukup untuk mengatasi rasuah kerana telah beberapa kali dibuat pindaan tetapi terbukti kenyataan itu dibuktikan sendiri oleh beliau tidak berkesan selepas beliau menyatakan bahawa PM bertungkus-lumus dalam membanteras gejala rasuah tetapi perbuatan (rasuah) ini tetap berlaku dalam PBT.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

No comments: