04 October 2005

PERDANA MENTERI TERSEPIT APABILA AHLI PARLIMEN BN SEMAKIN LANTANG MENGKRITIK KERAJAAN DI PARLIMEN

KENYATAAN MEDIA

(4 Oktober 2005)

Sidang Dewan Rakyat semalam telah digemparkan dengan keberanian dua Ahli Parlimen BN apabila mereka dengan penuh tanggungjawab telah menyokong usul Ketua Pembangkang, YB Lim Kit Siang mengenai isu permit import (AP) pada sidang Dewan Rakyat. YB Lim Kit Siang ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2006, mengemukakan usul mendesak Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Datuk Seri Rafidah Aziz dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Sidek Hassan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Mereka adalah Ahli Parlimen Kinabatangan, YB Datuk Bung Mokhtar Raden dan YB Datuk Mohamed Aziz (Sri Gading) - kedua-duanya daripada Barisan Nasional (BN)

Lim ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2006, mempersoalkan tindakan Sidek menghantar surat bertarikh 30 September 2005 kepada setiap Ahli Dewan Rakyat bagi menjelaskan isu pengeluaran senarai Ahli Parlimen yang menerima AP. Usul Lim Kit Siang itu disokong Bung Mokhtar dan Mohamed Aziz yang menyifatkan tindakan Sidek sebagai menghina Dewan Rakyat.

Mohamed menegaskan, Rafidah sepatutnya menulis dan menandatangani surat berkenaan dan bukannya Sidek kerana menteri itu bertanggungjawab kepada Parlimen.Bagaimanapun, usul itu ditolak Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Yusof Yacob kerana berpendapat Sidek tidak berniat menghina Parlimen dan Ahli Parlimen boleh membangkitkannya ketika Rafidah menjawab isu itu atau pada perbahasan berhubung kementerian berkenaan.

Saya yakin bahawa rakyat Malaysia sedang menunggu-nunggu apakah tindakan yang bakal dikenakan terhadap kedua-dua AP tersebut. Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Whip BN, Datuk Seri Najib Razak sendiri dikatakan akan membawa kes dua Ahli Parlimen itu pada mesyuarat jemaah Menteri kerana perbuatan mereka bertentangan dengan dasar parti. Namun saya juga merasa hairan bagaimana Najib boleh menyatakan di dalam sidang media bahawa kedua-dua AP tersebut telah melahirkan rasa kesal serta meminta maaf selepas menyedari perbuatan itu menyalahi dasar parti, seolah-olahnya tindakan mereka itu sudah dimaafkan.

Ini terbukti dengan jawapan yang diberikan kepada media sama ada kedua-dua Ahli Parlimen itu akan menghadapi tindakan seperti yang dikenakan terhadap Sothinathan, Najib menyatakan bahawa tidak semua kes sama dan menyatakan bahawa Kabinet yang akan membuat keputusan.

Saya yakin tindakan yang dilakukan oleh kedua-dua AP tersebut akan dikaitkan dengan pergantungan Datuk Sothinathan selama 3 bulan sebagai AP yang mengkritik kerajaan. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika itu telah membuat keputusan mengejut menggantung jawatan, berkuat kuasa serta-merta. Menurutnya, tindakan itu diambil ekoran kelantangan Sothinathan mengkritik kerajaan berhubung isu Universiti Perubatan Crimea State (CSMU) di persidangan Parlimen semalam.

Beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Pak Lah ketika mengumumkan pergantungan jawatan Datuk S. Sothinathan sebagai Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli selama tiga bulan sebelum ini dilihat sebagai tindakan tegas yang tidak berkompromi. Di antara kenyataan beliau semasa sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pelabur 2005 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 Jun 2005 :

``Ya, kita telah membuat keputusan atas apa yang telah beliau lakukan di Parlimen.
``Sebagai seorang ahli kerajaan, beliau tidak sepatutnya mengambil tindakan itu.”
``Ini telah jelas melanggar disiplin sebagai seorang ahli kerajaan.''


Tindakan kedua AP ini sebenarnya menguji kewibawaan Pak lah yang sebelum ini dilihat begitu tegas terhadap S. Sothinathan. Sekiranya tindakan yang sama dikenakan terhadap mereka maka Pak Lah telah meneruskan episod malang bagi demokrasi di Malaysia yang menyekat kebebasan rakyat. Sekiranya tindakan tegas tidak diambil maka kreadibiliti beliau akan dipersoalkan rakyat khususnya daripada kaum India yang menganggap bahawa S. Sothinathan adalah wira mereka kerana memperjuangankan nasib kaumnya.

Sekian.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: