24 November 2005

KELEMAHAN KERAJAAN NEGERI JOHOR MENJADIKAN JOHOR BAHRU SEBAGAI PUSAT JUALAN VCD HARAM DAN VCD LUCAH

KENYATAAN MEDIA
(24 November 2005)

Harian Metro (Edisi Johor) pada 23 November 2005 mendedahkan bagaimana seorang bapa terkejut apabila mendapati tiga anaknya yang berusia antara tiga sehingga sembilan tahun leka menonton cakera padat video (VCD) lucah yang dijual secara terbuka di pasar malam berhampiran kediamannya di Taman Perling.

Bapa kanak-kanak itu, ketika sedang mengemas bilik tidur, mulanya menyangka tiga anaknya sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya. Bagaimanapun dia terkejut apabila mengetahui mereka sebenarnya asyik menonton VCD lucah. Beliau yang enggan dikenali berkata, dia percaya anaknya tersilap beli VCD berharga RM4 itu yang disangka dokumentari perlumbaan kereta.

Beberapa perkara perlu diberikan perhatian secara serius melalui pendedahan yang telah disiarkan oleh berita ini.

i. Kandungan VCD berkenaan berbeza daripada yang disangka berdasarkan kulit depan VCD itu memaparkan gambar beberapa kereta.

ii. Ramai kanak-kanak termasuk rakan sekolah pelajar-pelajar ini tertipu kerana turut membeli VCD berkenaan yang dijual secara terbuka di Pasar Malam Taman Perling.

iii. Walaupun membeli dan menyaksikan secara tidak sengaja, tabiat menonton VCD lucah berkenaan boleh mempengaruhi kanak-kanak.

iv. Kebanyakan pasar malam tempatan dijadikan lubuk penjualan VCD haram dan lucah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) melahirkan rasa kebimbangan dengan perkara ini khususnya penjualan dan penontonan VCD lucah yang melibatkan anak-anak yang masih kecil.

Penjualan VCD haram/lucah sekarang ini seperti sudah tidak dapat dibendung lagi khususnya di kawasan Bandaraya Johor Bahru. Bayangkan, masalah penjualan VCD haram yang berleluasa ini telah mendapat reaksi daripada Datuk Abdul Ghani sendiri yang membidas pegawai-pegawai kerajaan di bawahnya seperti yang disiarkan pada 18 November 2005 di dalam Berita Harian (Edisi Johor). Menteri Besar itu telah membidas tindakan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan mempersoal tindakan MBJB membiar peniaga cakera padat video cetak rompak di Jalan Wong Ah Fook berleluasa. Beliau berkata, kerajaan negeri kesal dengan kegagalan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengenakan tindakan tegas terhadap 14 peniaga terutama peniaga cakera padat video (VCD) cetak rompak di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru.

Datuk Abdul Ghani Othman, berkata pihaknya mendapati MBJB tidak mengenakan tindakan sepatutnya ke atas peniaga tanpa lesen itu. Hanya sembilan daripada peniaga terbabit dikenakan kompaun manakala lima lagi tidak pernah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Beliau meragui kenapa MBJB hanya mengenakan tindakan ke atas peniaga terbabit tetapi tidak mengambil tindakan yang lebih berkesan seperti menutup premis tidak berlesen.

Beberapa jam Abdul Ghani membangkitkan isu peniaga itu pada mesyuarat Exco, barulah sekumpulan 40 pegawai dan anggota pelbagai agensi kerajaan seperti MBJB dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang baru ‘diketuk kepala’ menjalankan operasi bersepadu di sekitar kawasan berkenaan, kira-kira jam 2 petang pada hari yang sama.

Lebih memeranjatkan lagi pada 19 November 2005, Harian Metro pula mendedahkan bahawa walaupun lima belas premis cakera padat video (VCD), cakera video digital (DVD) dan cakera padat (CD) di Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Stesen, di pusat bandar raya sudah gulung tikar, namun masih ada kira-kira lebih 100 premis seumpama itu beroperasi di pusat beli-belah di sekitar bandar raya ini yang belum diambil tindakan.

Ini kerana, kegiatan menjual VCD dan DVD di pusat beli-belah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dan dikatakan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang masih berminat membeli produk berkenaan pada harga rendah. Selain Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Stesen, sebuah pusat beli-belah di Jalan Dato’ Sulaiman, di sini, lebih dikenali sebagai syurga cetak rompak dengan menawarkan pelbagai VCD, DVD dan CD cetak rompak dan lucah.

Selain itu, hampir semua pasar raya besar (kira-kira 16 buah) di daerah ini mempunyai kedai yang menjual bahan cetak rompak, tidak termasuk sebuah menara yang turut menempatkan hotel di pusat bandar raya. Jumlah itu tidak termasuk gerai di pasar malam, di kaki lima dan bangunan rumah kedai di kawasan perumahan yang penjualnya menawarkan CD cetak rompak kepada pelajar.

DPPN Johor mendesak agar Menteri Besar Johor jangan hanya meletakkan kesalahan tersebut kepada MBJB atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sahaja tetapi mestilah meletakkan kesalahan tersebut kepada kelemahan pentadbiran beliau. DPPN Johor melihat bahawa perkembangan premis dan aktiviti haram ini bukanlah perkara baru tetapi telah lama wujud terutama di bandaraya Johor Bahru tetapi apabila keadaan semakin parah barulah tindakan hendak dilaksanakan. Abdul Ghani selaku Menteri Besar Johor mestilah mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk membasmi penjualan VCD Lucah dan cetak rompak ini sepanjang masa, bukan hanya pada waktu-waktu tertentu kerana DPPN Johor yakin bahawa sikap mengambil tindakan seolah-olah “melepaskan batuk di tangga” tidak akan menyelesaikan masalah ini.

Sekian


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/


2 comments:

Abu Faiq said...

Kehidupan kita telah kita relakan untuk diurus dengan politik atau sistem pengaturan kehidupan yang tidak bersumberkan wahyu (al-Qyran 7 as-Sunnah), sebaliknya berlandaskan hukum thaghut (kufur), bernama demokrasi yang PAS pun juga turut serta meyakininya, menjunjungnya dan ikut berjuang di dalamnya. Tidak ada yang terhasil bagi umat Muslim yang bergantung harap kepada sistem rekaan kaum kufar ini (demokrasi) selain musibah berupa kecelakaan-kecelakaan dan kehinaan-kehinaan yang datang timpa-bertimpa. Rasulullah saw tidak pernah mengajarkan kepada umatnya suatu sistem politik yang dtegakkan di atas landasan kedaulatan, iaitu kekuasaan membuat hukum, ada di tangan manusia sebagiamna yang demokrasi usung. Di dalam Islam, KEDAULATAN membuat hukum ada pada as-Syarii' (Allah) semata-mata. Hanya KEKUASAAN melaksanakannya diserahkan kepada manusia. Apa yang terjadi di JB sebagaimana yang dinyatakan di dalam blog ini tidak lain hanya sekelumit daripada belbagai simptom kerosakan (spt. rasuah, pelacuran, kecanduan dadah, rompakan, pembunuhan, phonografi, rogol, & pelbagai bentuk jenayah lain) yang dihidangkan oleh demokrasi-kapitalis-sekular. Kelamahan kerajaan negeri sebagaimana dinyatakan di dalam blog ini disebabkan tidak lain kerana kerajaan perpegang kukuh kepada sistem yg rosak lagi busuk itu. Kerosakan dan kebusukan pasti terus tertimpa ke atas umat Islam selagi masih bergantung harap kepada sistem ini.Jadi, masih terus berharap lagikah kepada demokrasi-kapitalis-sekular, atau kembali kepada fitrah, iaitu hidup di dalam sistem & ideologi Islam secara kaffah?

hairy said...

pd pendapat saye ni bkanla kelemahan krajaan ngri johor..pihak MBJB memang xda akal,sampai sanggup menyewakan lot untuk peniaga menjual dvd harap di bazar jb..walhal bazar jb adalh satu platform untuk peniaga2 menjual produk2 yg blh mnjana ekonomi johor...hari2 kutip duit sewa,xkan tak tahu yang mana haram n halal..dato bandar pun tau akn hal ni,,tapi apa tindakkan mereka..ramai lagi peniaga di luar sna nak brniaga..lepas ni boleh la jadikan jb bazar ni tempat pelacuran pulak,pastu mlm2 kutip sewa..MBJB xada akal nk fikir!!!!!!!