17 May 2006

PENUKARAN ISTILAH ASING DI PUTRAJAYA DITUKAR KE BAHASA MELAYU DISOKONG

Kenyataan Media
(17 Mei 2006)

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) mengucapkan syabas kepada Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan, YB Yew Teong Look kerana telah menubuhkan Jawatankuasa Istilah dan Penamaan Perbadanan Putrajaya sebagai usaha untuk menukar beberapa istilah asing seperti Precint, Boulevard, Promenade dan Parcel yang hari ini digunakan di Putrajaya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan bertanggungjawab menyelaras penggunaan istilah-istilah yang tepat di Putrajaya dan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

DPPNJ melihat bahawa sepatutnya sejak dari awal lagi penggunaan istilah asing ini tidak sepatutnya digunakan kerana ia bertentangan dengan hasrat untuk memartabatkan Bahasa Melayu.

Sebelum ini pernah disiarkan kenyataan Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan (Utusan Malaysia, 5 Mei 2004) yang menegur Perbadanan Putrajaya mengenai penggunaan istilah-istilah bahasa asing di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu tetapi ia tidak diendahkan.

Beliau juga memberikan komitmen bahawa DBP bersedia bekerjasama dengan Perbadanan Putrajaya untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Manakala pada 6 Mei 2004, Utusan Malaysia telah menyiarkan kenyataan bekas Ketua Pengarah DBP Datuk A. Aziz Deraman bahawa DBP kesal kerana banyak teguran mengenai penggunaan istilah asing tidak diberi perhatian serius terutamanya oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jika diperhatikan daripada kenyataan dan teguran ‘orang kuat’ DBP ini yang telah disebut sejak dua tahun lalu, barulah sekarang ini teguran itu dapat perhatian daripada pihak kerajaan untuk melakukan perubahan. Kenapa tidak dilakukan sejak dari awal lagi ataupun selepas DBP membuat teguran? Apakah ada kemungkinan kerana takut untuk berhadapan dengan Tun Dr Mahathir walaupun telah bersara pada 31 Oktober 2003?

Hari ini mantan Perdana Menteri Malaysia telah dilihat sebagai ‘musuh’ yang menggangu urusan kerajaan. Tidak mustahil bahawa tindakan untuk menukarkan istilah asing kepada Bahasa Melayu ada kaitannya dengan tindakan Tun Dr Mahathir akhir-akhir ini. Jangan lupa, BAHASA BAKU yang diperkenalkan oleh Datuk Sri Anwar Ibrahim (DSAI) sejak tahun 1988 telah dimansuhkan oleh kabinet Malaysia walaupun ianya telah memberi kesan yang positif kepada penggunaan bahasa Melayu dalam masyarakat tetapi kerana rasa dengki kerajaan UMNO/BN kepada DSAI, Bahasa Baku telah dikorbankan.

Apakah Dr Mahathir ‘tidak terasa’ dengan keputusan ini? Sama-samalah kita tunggu komen Dr Mahathir terhadap isu ini.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: