31 May 2006

Ada pihak minat bawa Disneyland ke Malaysia

Utusan Malaysia, 31 Mei 2006
KUALA LUMPUR 30 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengesahkan yang beliau telah ditemui satu kumpulan yang berminat untuk membawa taman tema Disneyland ke Malaysia.

Perdana Menteri berkata, beliau telah bercakap dengan kumpulan tersebut ketika berada di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Tanpa menyebut identiti kumpulan berkenaan, menurutnya, dalam pertemuan itu, mereka menyatakan antara lokasi cadangan untuk taman tema itu ialah di selatan negeri Johor.

``Saya sebenarnya tidak berjumpa dengan wakil Disneyland tetapi pihak yang menemui saya ialah mereka yang amat berminat berbincang dengan pihak Disney untuk membawa taman tema itu ke negara kita,'' katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perhimpunan Hari Pekerja 2006 Sektor Awam di Institut Tadbiran Awam (Intan) di Bukit Kiara dekat sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar tempatan yang mengatakan Malaysia sedang mengadakan perbincangan terperinci dengan pengendali Tokyo Disneyland bagi pembinaan taman tema berkenaan di Johor.

Jika pembinaan di bandar baru Nusajaya yang seluas 9,645 hektar yang terletak di Pembangunan Koridor Selatan tersebut direalisasikan, Malaysia bakal menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mempunyai taman tema itu.

Akhbar tersebut turut melaporkan, kerajaan negeri telah meluluskan kawasan seluas 960 hektar dengan cadangan pelaburan sebanyak RM2 bilion dan dijangka mampu menyediakan 20,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Johor.

Selain itu, pegawai-pegawai kerajaan Malaysia dan wakil konglomerat berkenaan, UEM World kini sedang mengadakan perbincangan dengan Oriental Land untuk membina taman tema tersebut di Nusajaya.
________________
Rakyat Johor perlu berterima kasih kepada Pak Lah kerana berjaya membawa satu perubahan yang diidam-idamkan oleh kerajaan Islam Hadhari Malaysia.

No comments: