08 July 2008

Ahmadinejad Kata Semua Negara Wajar Dibenar Guna Nuklear

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad berkata semua negara patut dibenarkan menggunakan tenaga nuklear dan tidak wajar dikenakan sebarang sekatan.

Beliau berkata jika semua negara kini boleh menggunakan tenaga nuklear, mereka mungkin tidak perlu menghadapi peningkatan ketara harga minyak mentah.

Tenaga nuklear katanya murah dan menarik.

Dalam temu bual dengan Ketua Pengarang Bernama Yong Soo Heong dan Editor RTM S. Ganesan di sini hari ini, Ahmedinejad yang berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8), berkata teknologi nuklear boleh digunakan dalam sektor perindustrian dan pertanian bagi membantu meningkatkan pembangunan ekonomi.

Beliau bagaimanapun berkata terdapat beberapa kuasa Barat yang menentang usaha Iran untuk mengeluarkan tenaga nuklear.

"Mereka mengharapkan yang akan tiba harinya apabila minyak mentah dan gas kita akan habis.

Apabila itu berlaku, mereka berharap dapat menjual komoditi ini kepada kita pada harga yang amat tinggi," kata beliau sambil menambah jika itu berlaku, ia akan menjejaskan kedaulatan dan kebebasan negara pengeluar minyak sedia ada.

Ahmadinejad berkata adalah penting untuk negara menguruskan sebaik-baiknya sumber tenaga mereka dengan memberi contoh Indonesia pada satu masa dahulu merupakan pengeksport bersih minyak tetapi kini telah menjadi pengimport bersih minyak.

Beliau mempersoal mengapa negara seperti Amerika Syarikat dan Britain yang mempunyai minyak mentah dan sumber gas dibenarkan untuk memajukan keupayaan nuklear mereka sementara Iran pula tertakluk kepada pelbagai penelitian.

Ditanya mengenai situasi semasa di Timur Tengah, beliau berkata keamanan akan wujud jika semua tentera asing yang menduduki keluar dari rantau itu.

Mengenai perkembangan terbaru di rantau di mana Iran telah diminta ke meja perundingan berkaitan program pengkayaan uraniumnya sementara terdapatnya juga ancaman serangan ketenteraan terhadap Iran, beliau berkata ini bertujuan memaksa Iran ke meja perundingan dengan pra-syarat.

Beliau berkata Iran tidak akan tunduk terhadap permintaan itu dan sudah biasa menghadapi serangan piskologi daripada kuasa Barat.

Ahmadinejad mempersoalkan mengapa perlunya Iran menjalani pemeriksaan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa sedangkan beberapa negara di rantau ini tidak perlu melalui proses itu.

Beliau berkata kebanyakan negara di dunia ditentang oleh order dunia seperti itu di mana beberapa kuasa besar meletakkan syarat dan mahukan pihak lain mematuhinya.

Namun katanya, keadaan dunia sudah berubah dan beberapa negara perlu menyedarinya.

Ahmadinejad berkata Timur Tengah wajar dibiarkan memutuskan masa depan mereka sendiri dan tidak perlu ada tentera penakluk untuk menetapkan syarat.

Mengenai D-8, Ahmadinejad berkata Iran komited terhadap kumpulan itu yang diyakininya mempunyai potensi dan pengaruh jika mereka terus bersatu.

Beliau berkata terdapat banyak isu antarabansga yang akan dibincangkan memandangkan ia menjejaskan ekonomi dan budaya negara anggota D-8.

Beliau menyifatkan D-8 sebagai pergerakan yang baru dan sangat baik dan Indonesia telah menjalankan tugas yang baik dalam menguruskan perkumpulan itu sejak dua tahun lepas.

Beliau percaya Malaysia juga akan menguruskan perkumpulan itu dengan baik seperti yang dapat dilihat dari agenda yang disediakan untuk Sidang Kemuncak D-8 Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai pembaharuan yang dibawa pada rakyatnya selepas menjadi presiden pada 2005, beliau berkata rakyat Iran telah diberi banyak peluang untuk berjaya dalam berbagai bidang termasuk sains dan teknologi.

Sebagai contoh, beliau berkata Iran tidak lama lagi akan menghantar satelit buatan Iran ke orbit yang akan dilancarkan oleh pelancar roket yang juga dibangunkan sendiri.

No comments: