07 July 2008

Bersumpah Dengan Menjunjung Al-Quran Cara Tentukan Kebenaran,-TN Guru Nik Aziz

KOTA BAHARU, 4 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata "mubahalah" atau bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah cara untuk menentukan kebenaran dan juga sesuatu yang dituntut dalam Islam.

Sambil menyokong cadangan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung perkara itu, beliau berkata melalui cara demikian, Allah SWT boleh melaknatkan mana-mana pihak yang bersalah.

"Dalam Quran sudah menyebut, setelah sudah tiada ikhtiar lagi dalam menyelesaikan kemelut yang memalukan itu, siapa yang tidak bersalah Tuhan tolong," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata demikian sebagai mengulas cadangan Mohd Asri supaya kedua-dua individu yang dikaitkan dengan kes liwat iaitu Penasihat Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan "bermubahalah" atau bersumpah.

Dalam kenyataannya semalam, Mohd Asri berkata isu liwat yang membabitkan Anwar sudah semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=343983

No comments: