19 January 2010

Kenyataan Media DPPNJ (01/10) - Pengguguran Dakwaan Terhadap Cik Cheng Lee Whee

KENYATAAN MEDIA

(19 Januari 2010 / 3 Safar 1431)

No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(01/10)

TAJUK

PENGGUGURAN DAKWAAN TERHADAP CIK CHENG LEE WHEE ADALAH MERUPAKAN KEJAYAAN KEPADA PEJUANG HAK ASASI MANUSIA

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara Malaysia yang telah menggugurkan dakwaan terhadap Orang Kena Tuduh (OKT) iaitu Cik Cheng Lee Whee yang telah didakwa di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 182 kerana telah membuat laporan polis untuk mempertahankan hak-hak penduduk Kampung Baru Plentong Tengah (KBPT) yang diroboh pada 16hb Oktober 2008.

Keputusan menggugurkan dakwaan yang dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara (Bahagian Pendakwaan) ini adalah merupakan satu kemenangan kepada pejuang hak asasi manusia kerana usaha berterusan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) termasuklah menghantar petisyen kepada Peguam Negara pada 24 November 2009 yang mana memorandum ini telah disokong oleh parti-parti politik dan badan Bukan Kerajaan (NGO) khususnya yang beroperasi di negeri Johor.

Memorandum tersebut diserahkan kepada JPN kerana pendakwaan JPN ke atas saudari Cheng Lee Whee dilihat sebagai satu penindasan berlanjutan ke atas seorang pejuang hak asasi manusia kerana laporan polis dan aduan yang dibuat oleh Saudari Cheng bukan merupakan tindakan individu, malah tindakan itu mewakili SUARAM serta seluruh NGO-NGO dan individu-individu lain di negeri Johor mahupun di seluruh negara yang memperjuangkan hak asasi khususnya yang berkaitan dengan mempertahankan hak-hak penduduk KBPT.

Pendakwaan ke atas Cheng juga merupakan penindasan terhadap SUARAM dan Badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan juga penindasan ke atas mana-mana persatuan dan parti yang mempertahankan kebenaran dan menghormati hak asasi manusia.

SUARAM berpendapat bahawa Saudari Cheng selaku Ketua Bahagian Perkhidmatan Hak Asasi Suaram Johor Bahru telah membuat aduan dan laporan polis tersebut atas arahan daripada Suaram Johor Bahru membuat aduan di Balai Polis merupakan satu tindakan yang menjalankan hak demokrasi serta menjalankan kewajiban sebagai seorang rakyat Malaysia. Tindakan beliau tidak berniat buruk dan tidak bermotifkan kemudaratan mana-mana pihak tetapi hanya untuk membela penduduk KBPT.

Laporan polis yang telah dibuat oleh Cik Cheng bertujuan untuk membebasan sejumlah 27 orang penduduk kampung yang diusir secara paksa dari KBPT pada 16hb Oktober 2008. Pihak polis memanggil Cheng untuk mengambil keterangannya pada 17hb Oktober jam 8.30 malam di Balai Polis Seri Alam, dan seterusnya polis melakukan penangkapan terhadap Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 Seksyen 28.

DPPNJ berharap agar perkhabaran baru ini akan menyuntik semangat baru kepada Cik Cheng untuk terus komited dalam memperjuangkan nasib masyarakat dan hak asasi manusia pada masa akan datang. DPPNJ juga akan terus mengadakan kerjasama bersama SUARAM dalam memperjuangkan hak asasi manusia di negeri Johor.

Sekian.

PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN

Yang benar,

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

http://minda-kembara.com/

http://www.facebook.com/khairul.faizi1

Tel : 019-7701830

No comments: