08 January 2006

JENTERA PEMUDA DIMINTA BERSEDIA MENGHADAPI BANJIR

KENYATAAN MEDIA
8 JANUARI 2006

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) mengarahkan semua Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS kawasan-kawasan (DPPKK) supaya memperkemaskan jentera bagi menghadapi bencana banjir yang telah mula melanda di beberapa Daerah di negeri Johor.

Sehingga kini kejadian banjir telah mula berlaku di Daerah Segamat, Kota Tinggi dan Kluang.

Di Segamat, 25 keluarga terdiri daripada 133 orang setakat ini dipindahkan dari rumah masing-masing ke lima pusat penempatan sementara ekoran banjir melanda daerah Segamat.

Pemindahan ini melibatkan penduduk Kampung Seding 2, Kampung Pogoh, Kampung Gelang Cincin, Jalan Pemuda berdekatan bandar Segamat, Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Paya Dalam dan Kampung Kenawar.

Di Kluang, setakat ini banjir dilaporkan di kawasan Layang-Layang berhampiran Kluang dengan melibatkan lima keluarga.

Di Kota Tinggi, lima keluarga seramai 22 orang di Kampung Sungai Berangan dipindahkan ke balai raya kampung tersebut pada pukul 3 petang.

Beberapa Sungai juga dilaporkan telah melepasi paras bahaya. Di antaranya air Sungai Segamat mencatatkan paras 9.86 meter pada pukul 6 petang Ahad melebihi paras bahaya 9.14 meter.

Air di Sungai Muar di Buloh Kasap mencatatkan paras 8.6 meter iaitu pada tahap amaran, Sungai Muar di kawasan Tijah pada paras amaran 6.67 meter, Sungai Segamat Kuala pada paras amaran 6.30 meter manakala Sungai Muar di kawasan Kampung Awat pada paras bahaya 18.47 meter.

DPPKK telah diperingatkan juga agar beberapa perkara asas hendaklah disediakan terlebih dahulu seperti bantuan makanan dan pakaian.

Jentera Bantuan Banjir DPPNJ akan diketuai oleh Pengarah Jabatan AMAL Johor, Nur Halim Bin Haji Sakib.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830

http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: