07 January 2006

KERAJAAN JOHOR GAGAL WARTAKAN EMPANGAN PUNCA MASALAH AIR DI JOHOR

KENYATAAN MEDIA
(3 Januari 2006)


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) terkejut apabila membaca laporan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor (DUN Johor) yang telah bersidang pada 1 Disember 2005 yang lalu berkaitan dengan kawasan Empangan Semberong dan Empangan Bekok masih belum diwartakan. Penjelasan ini amat memalukan dan sebenarnya telah membuka satu lagi episod penipuan yang cuba dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor.

Sebelum ini DPPNJ pada 20 Mei 2005 telah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Johor berkaitan dengan krisis Air yang sedang dihadapi oleh penduduk di Kluang, Air Hitam, Yong Peng dan Batu Pahat.

Pada 24 September 2005 pula Jawatankuasa Pemuda Barisan Alternatif (BA) Johor telah membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Johor kerana tidak membuat apa-apa tindakan terhadap penceroboh tanah empangan seperti mana yang tersiar di dalam Berita Harian pada 4 Mei 2005 yang mana beliau mengakui bahawa 718 hektar tanah di Empangan Semberong telah diceroboh.

Kemuncaknya pada 29 September 2005 DPPNJ bersama Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Air Johor (JBSAJ) telah menyerahkan memorandum kepada Ghani Othman berkaitan krisis air di Johor tetapi beliau telah menolak untuk berbincang berkaitan dengan pencerobohan tanah di Empangan Semberong.

Di dalam memorandum yang telah diserahkan kepada Menteri Besar Johor telah menyatakan bahawa ;

i. Terdapat penerbangan pokok hutan tanpa kawalan di sekitar Empangan Semberong sehingga dapat dilihat dengan jelas bukit-bukit yang gondol disekitarnya
ii. Kawasan tanah yang telah diceroboh di sekitar empangan telah di tanam dengan tanaman kelapa sawit dan sayur-sayuran seperti penanaman lada

Dalam sidang DUN pada 1 Disember 2005, YB Dr Mohd Ramli Bin Md Kari (PAS-Senggarang) telah mengajukan persoalan berkaitan dengan kawasan Tadahan Empangan Semberong dan Bekok sama ada telah diwartakan atau tidak. Jawapan yang diberikan adalah kawasan Empangan Bekok dan Empangan Bekok belum diwartakan kerana kerja-kerja pengukuran belum lagi dijalankan.

Sedangkan Majlis Mesyuarat Kerajaan bagaimana RM bil. 2002/98 bertarikh 23 September 1998 telah bersetuju supaya kedua-dua kawasan tersebut diwartakan di bawah Seksyen 24 Enekmen Bekalan Air 1993 sebagai Kawasan Tadahan Air. Bermakna, keputusan untuk mewartakan kawasan-kawasan empangan telah diputuskan lebih daripada 7 tahun.

Beberapa alasan telah diberikan bagi menyokong kelewatan proses mewartakan kawasan empangan ini:

i. Kawasan Empangan Bekok (19.07 KM Persegi) dan Empangan Bekok (20.62 KM persegi) adalah kawasan yang luas,
ii. Pejabat Tanah Batu Pahat telah menyediakan Permohonan Ukur (P.U.) bagi kedua-dua empangan tetapi telah ditolak oleh Jabatan Ukur kerana pelan tidak lengkap,
iii. Pejabat Tanah Batu Pahat ada memohon pelan yang lengkap daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tetapi gagal.

Apa yang ingin ditegaskan di dalam kenyataan rasmi ini adalah :

i. Menteri Besar Johor telah berbohong kerana mendakwa kawasan Empangan Semberong telah diceroboh sedangkan kawasan tersebut masih belum diwartakan (hasil kelemahan kerajaan negeri).
ii. Kelewatan mewartakan kawasan Empangan Semberong dan Empangan Bekok membuktikan kelemahan BN memerintah Johor dan membuktikan kerajaan tidak prihatin dengan kepentingan rakyat sehingga membiarkan empangan mengalami krisis dan pencemaran air.

Justeru, terjawablah persoalan kenapa Datuk Abd Ghani Bin Othman selaku Menteri Besar Johor telah beberapa kali mengelak daripada bertemu dengan DPPNJ kerana bimbang maklumat tidak mewartakan kawasan empangan ini terdedah yang akhirnya menyerlahkan kelemahan kerajaan pimpinan beliau.

Sekian, wassalam.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: