26 June 2006

MENGAMBIL PELUANG DARIPADA KEKECEWAAN TUN DR MAHATHIR TERHADAP ABDULLAH BADAWI

Tarikh 24 Jun 2006 dilihat sebagai tarikh yang sangat penting dalam politik negara apabila Majlis Ucapan Khas Dan Dialog Tun Dr Mahathir (TDM) yang diadakan di Dewan Kelab Century Paradise serta dianjurkan oleh beberapa NGO dengan kerjasama laman web Malaysia Today.net dilihat sebagai pencetus kepada satu gelombang dalam arena politik tanah air bagi mendedahkan 'kecurangan' yang dilakukan oleh Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan barisan kabinetnya.

Lebih menarik lagi, program ini telah disertai oleh pelbagai pemimpin politik daripada PAS, KeADILan, DAP, Umno serta badan bukan kerajaan (NGO), bekas pegawai kanan kerajaan, bekas menteri kabinet serta masyarakat umum yang hadir untuk mendengar penjelasan isu-isu yang telah didedahkan oleh Tun.

Khabarnya, dewan tersebut penuh sesak dan ramai yang terpaksa ditahan di luar dewan kerana ketiadaan tempat.

Banyak perkara yang telah didedahkan oleh TDM dalam pertemuan ini. Di antaranya yang kira kira sangat ditunggu –tunggu oleh rakyat dan pemerhati politik adalah berkataian dengan isu pembatalan Jambatan Bengkok, Isu Proton termasuk MV Agusta dan permit Import (AP).

Dikatakan ramai pemerhati berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan ada yang mencadangkan agar TDM mengadakan 'roadshow' ke seluruh negara bagi menjelaskan kepincangan yang telah dilakukan oleh Abdullah, terutama dalam hal kedaulatan negara yang hampir tergadai kepada pihak asing.

Majlis Dialog ini membuktikan bahawa pertembungan antara Mahathir dan Abdullah sudah tidak dapat dibendung lagi. Kelantangan kritikan Mahathir yang semakin meninggi, dan bukan lagi terhad kepada isu-isu tertentu, malah melewati hal-hal asas kepemimpinan Abdullah yang disifatkan begitu lemah dan mudah tunduk kepada tekanan luar

Ulasan berkaitan dengan Majlis ini mendapat liputan yang amat meluas di dalam laman web, diantaranya :

Mahathir makin lantang kritik, tegur Abdullah (Malaysia-Today.com Malaysia-Today.com Ahad 25 Jun 2006), Mahathir akan cari sehingga ke lubang cacing (Malaysia-Today.com Ahad 25 Jun 2006), Mahathir tuduh Khairy lebih berkuasa daripada Perdana Menteri (Harakahdaily : 24 Jun 2006), Mahathir makin lantang kritik, tegur Abdullah
(Harakahdaily : 25 Jun 2006), Dr Mahathir jawab soalan apakah nak buat ‘comeback’ (Agendadaily : 25 Jun 2006) dan Mahathir yang kelemasan (Tranungkite : 25 Jun 2006)

Ada juga pandangan-pandangan yang mengkritik PAS dan pembangkang kerana seolah-olahnya sudah lupa dengan segala ‘dosa-dosa’ TDM sehingga dilihat ‘mendewa-dewakan’ mantan PM yang terkenal dengan tindakan zalimnya.

Sebelum ini saya ada membuat sedikit ulasan di dalam Journal Pemuda PAS Sekijang (
http://www.jurnalpemuda.blogspot.com/) berkaitan dengan isu pertembungan ini:-

Soalan : Apa pandangan saudara tentang isu pertelagahan Tun Dr. Mahathir dengan Pak Lah yang dilihat semakin meruncing ketika ini

Jawapan : Isu pertelagahan di antara Tun Dr Mahathir dengan Pak Lah perlu dilihat sebagai pertembungan dalaman UMNO. Seperti mana yang telah disebut oleh Dr Mahathir bahawa Pak Lah bukanlah pilihan pertamanya sebagai Perdana Menteri (PM) bermakna Dr M telah membuka ‘rahsia’ percaturannya.

Namun saya mengharapkan agar kepimpinan dan ahli PAS tidak terikut-ikut dengan pertembungan ini kerana kita bimbang akhirnya ia hanya sandiwara yang dipertontonkan oleh UMNO untuk melekakan PAS.

Saya menyeru khususnya kepada pemuda PAS di Johor agar terus memperkukuhkan organisasi dan menggerakkan rakyat terhadap isu yang menisdas mereka seperti kenaikan harga minyak dan tarif elektrik, bukannya isu dalaman UMNO.

Jawapan ini adalah pandangan saya terhadap pertembungan Mahatihr – Pak Lah.

Jangan Mudah Kita Lupa

Secara jujurnya, kita tidak boleh dengan sekelip mata melupakan tindakan yang pernah dilakukan oleh TDM sepanjang tempoh 22 tahun pemerintahannya.

Mampukah kita untuk melupakan bagaimana TDM menghina dan mempersendakan Nabi Muhammad s.a.w.? Adakah kita masih telah lupa TDM adalah merupakan orang yang bertanggungjawab menahan pelbagai jenis bentuk tahanan ISA termasuk anak Menteri Nesar Kelantan?. Adakah kita telah lupa bagaimana TDM menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan anaknya dalam isu Konsortium Perkapalan Berhad?. Apakah kita terlupa bahawa TDM adalah pemimpin yang telah memecat Datuk Sri Anwar Ibrahim?

Saya yakin kita masih lagi tidak dapat melupakan kezaliman TDM yang mengarahkan pengharaman kesemua ceramah PAS/BA sehingga berlakunya penangkapan ratusan pemimpin dan penyokong PAS di seluruh negara.

Pada 31 Oktober 2003 pada hari terakhir TDM bertugas sebagai Perdana Menteri Malaysia, Pemuda BA telah membuat laporan polis terhadap salah laku dan dosa-dos TDM sepanjang 22 tahun sebagai Perdana Menteri.

Kenapa Perlu Mendewakan Tun Dr Mahathir

Seorang penulis yang memperkenalkan dirinya Raden Jowo mengkritik pemimpin pembangkang kerana cuba untuk bersama dengan TDM sedangkan sebelum ini TDM lah yang selalu menghina pembangkang. Pandangan beliau ini disusuli lagi dengan beberapa pandangan daripada halaman Surat Pembaca Harakahdaily yang tidak bersetuju dengan pimpinan PAS yang bersekongkol dengan TDM.

Inilah persoalan yang sedang bermain di dalam pemikiran rakyat khususnya penyokong BA yang semakin ragu dengan kepimpinan yang sedia ada. PAS diingatkan supaya tidak mencampuri urusan UMNO.

Krisis Yang Menguntungkan PAS

Saya percaya bahawa pemimpin PAS bukanlah pemimpin yang rendah pembacaan politiknya dan mudah goyah apabila menghadapi sesuatu isu.

Namun begitu, saya mengharapkan agar pemimpin PAS khususnya di peringkat tertinggi supaya bijak merencana dan merancang isu ini. Saya melihat kenyataan yang dibuat oleh YB Salahuddin Ayub di dalam ceramah di Kluang bahawa PAS bukannya mengagong-agongkan TDM tetapi PAS menggunakan ‘peluru’ daripada pemimpin UMNO untuk menyerang UMNO.

Krisis yang berlaku di antara Mahathir – Pak Lah secara tidak langsung membantu PAS untuk mendapat pelbagai maklumat yang tidak mungkin mudah untuk diperolehi sekiranya krisis ini tidak terjadi.

Kesimpulannya, PAS harus bijak dalam menghadapi isu ini dan perlu mengelakkan perbalahan dikalangan penyokong PAS khususnya. Saya pasti isu yang sedang menggugat Pak Lah dan UMNO ini akan memberikan kelebihan kepada parti pembangkang seperti PAS.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
26 Jun 2006, 3.01 pagi

No comments: