25 June 2006

TANGKAPAN KHALWAT DI JOHOR

Khalwat ketika solat Jumaat
(Harian Metro 25 Jun 2006)
Oleh SAIPUL ADLI MOHAMAD

JOHOR BAHRU: Dua pasangan dicekup kerana disyaki berkhalwat di dua rumah sewa berasingan di taman perumahan sekitar Kota Tinggi ketika waktu solat Jumaat, kelmarin.

Mereka ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) daerah Kota Tinggi diketuai Khairudin Mat Ali yang bergegas ke dua rumah berkenaan sebaik selesai menunaikan solat Jumaat selepas mendapat maklumat orang ramai.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JAJ, Yosree Ikhsan, berkata dalam serbuan pertama, seorang wanita berusia awal 20-an dan seorang lelaki berusia 30-an, yang sudah berkahwin ditahan.

“Wanita berkenaan adalah penyewa rumah terbabit dan ketika serbuan, hanya mereka berdua di situ. Lelaki itu dipercayai datang ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat.

“Wanita itu berkemban dengan tuala selepas mandi, manakala pasangannya berpakaian lengkap dan masing-masing memiliki kesan ‘gigitan cinta’ pada leher,” katanya.

Dalam serbuan kedua kira-kira jam 3.30 petang, pihaknya menahan seorang pekerja kilang berusia 20-an kerana berkhalwat dengan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun.

“Ketika serbuan, pelajar perempuan itu dalam keadaan separuh bogel apabila hanya memakai seluar jeans tanpa baju, manakala lelaki itu pula cuba menyorok di bilik air dalam keadaan berpakaian lengkap.

“Pemeriksaan mendapati, ada kesan gigitan cinta pada leher pasangan itu dan mereka didapati cuba mengambil kesempatan ketika waktu solat Jumaat,” katanya.

Yosree berkata, kedua-dua pasangan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi sebelum dibebaskan apabila dijamin ahli keluarga masing-masing.

Beliau berkata, mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, mereka diarah hadir ke Pejabat Agama Kota Tinggi, esok untuk diambil keterangan diri sebelum kes itu dirujuk ke Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, kes berkenaan antara contoh segelintir umat Islam mengambil kesempatan ketika waktu solat Jumaat untuk melakukan maksiat.
_____________________________
Faizi : Perbuatan meninggalkan solat Jumaat semacam bukan lagi satu 'dosa' daripada pandangan sebahagian daripada umat Islam sekarang ini.Saya yakin bukan sekadar solat Jumaat sahaja tetapi solat 5 waktu pun sudah mula dilupakan oleh penganutnya.
Dalam Islam solat Jumaat adalah wajib, maka barang siapa yang meninggalkannya dengan sengaja tanpa ada sebarang keuzuran dan di bolehkan syarak adalah termasuk meninggalkan kewajipan yang bererti ia telah berbuat dosa dan tergolong orang munafik.
Sabda Rasulullah S.A.W: "Barang siapa yang meninggalkan solat jumaat tanpa ada halangan atau bahaya, maka ia menjadi orang munafik dalam sebuah catatan yang tidak akan dihapuskan dan tidak akan ditukar."
(HR: Abu Daud dan Nasai)
Rasulullah S.A.W bersabda: "Sungguh berhentilah orang- orang dari perbuatan mereka meninggalkan jemaah jumaat atau sungguh Allah akan mematri hati mereka kemudian mereka menjadi (munafik yang lalai)
(HR: Muslim)
Berita yang disiarkan di Harian Metro ini bukan sahaja meninggalkan solat Jumaat tetapi melakukan perbuatan maksiat sewaktu umat Islam sedang berada di masjid.
Saya pasti bahawa peristiwa ini bukan saja berlaku di Kota Tinggi tetapi berlaku di mana-mana sahaja. Umat Islam hari ini sudah jauh daripada ajaran agamanya, diperkukuhkan lagi dengan pelbagai program maksiat yang bercambah dalam negara ini.

No comments: