29 August 2006

MEMORANDUM MENDESAK MEMBINA BALAI POLIS TAMAN PERLING

Pada 25 Ogos 2006 pukul 10 pagi, saya selaku Penasihat Badan Bertindak Penduduk Taman Perling telah pergi ke pejabat Menteri Besar Johor untuk menyerahkan memorandum berkaitan dengan kes ragut sehingga menyebabkan kematian seorang gadis berketurunan Cina berusia 18 tahun di Taman Perling.
Berikut adalah memorandum yang telah diserahkan ;
_____________________________
Badan Bertindak penduduk Taman Perling
Johor Bahru


Tarikh : 25 Ogos 2006

Sdr Za’aba Bin haji Ibrahim
Pengerusi Badan Bertindak
Penduduk Taman Perling
Johor Bahru

Kepada

Yang Amat Berhormat Datuk AbdUL Ghani bin Haji Othman
Menteri Besar Johor
Pejabat Menteri Besar Johor
Bukit Timbalan
Johor Bahru

Y.A.B. Datuk,

MEMORANDUM MENDESAK PEMBINAAN BALAI POLIS TAMAN PERLING, JOHOR BAHRU.

Perkara di atas adalah dirujuk.

2. Saya yang diamanahkan sebagai Pengerusi Badan Bertindak penduduk Taman Perling, Johor Bahru menyerahkan memorandum ini sebagai satu tindakan yang mengambil kira kepentingan keselamatan penduduk Taman Perling yang kini sedang berada di dalam kebimbangan setelah berlakunya kes ragut sehingga menyebabkan kematian seorang penduduk di taman ini.

3. Kejadian ragut sehingga menyebabkan kematian mendiang Chang Shu Then yang baru mencecah umur 18 tahun telah berlaku pada 11 Ogos 2006 sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi terhadap keselamatan penduduk yang kian terancam.

4. Mayat mendiang telah ditemui terbaring di tepi jalan di Persisiran Perling Satu, Taman Perling pada pukul 11.28 pagi. Semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang berjalan kaki dari rumahnya di Jalan Pelipis, Taman Perling di sini menuju ke tempat kerjanya di Perling Mall, juga di taman yang sama.
5. Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Roslan Ahmad berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa mengalami luka kecil di bahagian siku dan lutut kiri serta darah mengalir keluar dari bahagian hidung dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
6. Hakikatnya, kejadian jenayah terutamanya ragut sehingga menyebabkan kematian di Malaysia semakin meningkat dan bukanlah kes terpencil. Pada bulan Julai 2006, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow telah mendedahkan bahawa kadar jenayah kekerasan di negara ini meningkat sebanyak 11 hingga 13 peratus sejak empat bulan kebelakangan ini khususnya kes-kes yang melibatkan jenayah rompakan, ragut dan rogol. Sebelum ini pernah dilaporkan bahawa jenayah ragut telah meningkat daripada 14,640 kes pada 2002 ke 15,798 kes pada 2003. Walaupun kejadian ragut dilaporkan semakin menurun tetapi kes ragut tetap berada ditahap membimbangkan.

7. Setelah berbincang dengan penduduk yang rata-rata marah dengan kejadian itu mendesak agar satu Badan Bertindak ditubuhkan untuk mendesak agar sebuah Balai Polis dapat diwujudkan di Taman Perling dengan segera. Saya mengharap agar YAB Datuk dapat mengambil tindakan dengan segera.

8. Bersama-sama ini saya sertakan tandatangan sokongan daripada penduduk di Taman Perling terhadap pembinaan sebuah Balai Polis untuk keselamatan penduduk di Taman Perling.

Segala kerjasama sama yang diberikan didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.

Sekian, wassalam.


ZA’ABA BIN HAJI IBRAHIM
Pengerusi Badan Bertindak
Penduduk Taman Perling
Johor Bahru
Telefon : 019-7084423

No comments: