12 August 2006

APAKAH RASA BIMBANG, KESAL DAN SEDIH PAK LAH MAMPU SELESAIKAN JENAYAH RAGUT?

Kenyataan Media
No Rujukan : PAS/DPP.12/2.07(48/06)
12 Ogos 2006

TAJUK :

APAKAH RASA BIMBANG, KESAL DAN SEDIH PAK LAH MAMPU SELESAIKAN JENAYAH RAGUT?

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa kebimbangan dengan berlaku banyaknya kes jenayah ragut yang tidak terkawal sehingga menyebabkan kematian dan merupakan ancaman yang perlu diberi perhatian serius.

Kejadian yang menimpa mendiang Chang Shu Then, 18, ditemui pada pukul 11.28 pagi kelmarin oleh orang awam yang terbaring di tepi jalan di Persisiran Perling Satu, Taman Perling, Johor Bahru semestinya menambahkan lagi ketakutan di dalam masyarakat.. Mangsa bekerja sambilan sebagai jurujual di sebuah kedai muzik.

Baru-baru ini, seorang jurujual wanita yang menjadi mangsa ragut di Kompleks Berjaya Megamall, meninggal dunia di Pusat Perubatan Kuantan (KMC) pagi ini, selepas tidak sedarkan diri selama 16 jam ketika dirawat di pusat berkenaan.

Mangsa, Ng Chiew Lim, 25, dikatakan ditolak selepas diragut semasa menuruni anak tangga kompleks membeli-belah itu. Ketika kejadian yang berlaku pada pukul 7 malam itu, mangsa sambil turun ke bawah menggunakan tangga sedang berbual-bual dengan teman lelakinya melalui telefon bimbit. Chiew Lim yang dipercayai tidak dapat mengimbangi badan selepas begnya diragut, terjatuh lalu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Hakikatnya, kejadian jenayah di Malaysia semakin meningkat. Pada bulan lalu, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow telah mendedahkan bahawa kadar jenayah kekerasan di negara ini meningkat sebanyak 11 hingga 13 peratus sejak empat bulan kebelakangan ini khususnya kes-kes yang melibatkan jenayah rompakan, ragut dan rogol.

Sebelum ini pernah dilaporkan bahawa jenayah ragut telah menigkat daripada 14,640 kes pada 2002 ke 15,798 kes pada 2003.

Walaupun dalam perutusan Ketua Polis Negara sempena Peringatan Hari Polis ke 199 pada 25 Mac 2006 yang lalu menyatakan bahawa jenayah ragut telah mengalami penurunan tertinggi pada tahun 2005 iaitu -16.63% tetapi iai tidak menggambarkan apa yang sedang berlaku dalam negara ketika.

Apakah dengan berlakunya kejadian ragut/bunuh ini pihak berwajib tidak membuat kajian punca yang menyebabkan kes ragut semakin menjadi-jadi?. Jenayah sering dikaitkan dengan dua faktor asas iaitu kesempitan hidup dan peluang untuk melakukannya. Dua faktor saling berkait ini ditambah dengan sifat ingin cepat senang mudah menjerumuskan seseorang itu untuk menggadaikan diri dengan perlakuan jenayah.

Apakah dengan melahirkan rasa bimbang, kesal dan sedih yang diluahkan oleh Pak Lah selaku Perdana Menteri Malaysia sudah cukup untuk membasmi kejadian ini daripada terus terjadi?.

Persoalan yang ditimbulkan oleh Pak Lah semalam bahawa sikap rakyat yang lebih mementingkan diri sendiri sehingga menyebabkan peragut menjadi semakin berani untuk melakukan jenayah itu di tempat terbuka tidak mampu menyelesaikan masalah ragut.

Peningkatan kadar jenayah ini perlu dilihat juga daripada sudut agama. Kita boleh gunakan segala kepakaran yang ada untuk mengkaji masalah ini dengan lebih terperinci tetapi kita juga harus melihat setiap kejadian yang berlaku ini tentu ada kaitannya dengan sikap kita terhadapNya.


Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830 /013-7257085
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: