03 February 2009

Terkini! Status 2 ADUN Perak masih sah, tiada pilihan raya kecil



KENYATAAN SPR

Ketika mengulas lanjut keputusan SPR, Pengerusi SPR mengakui wujud keraguan dalam surat letak jawatan yang dikemukakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak semalam.

"SPR dalam mesyuarat khas itu telah meneliti secara mendalam dari semua aspek dan mendapati wujud keraguan dalam surat-surat letak jawatan itu.

"SPR dengan ini memaklumkan wujud keraguan terhadap surat-surat peletakan jawatan oleh penyandang kerusi berkenaan yang telah dikemukakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri," kata beliau pada sidang media.

Kelmarin, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar dalam kenyataan mengumumkan bahawa ADUN Behrang, Jamaluddin dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka sebagai wakil rakyat di rumah beliau pada 5.45 petang semalam.

Pagi semalam beliau memaklumkan kekosongan kedua-dua kerusi itu kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri.

Bagaimanapun kedua-dua ADUN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, yang tidak dapat dikesan sejak 26 Januari lepas, pada malam kelmarin menafikan kenyataan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak bahawa mereka telah meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Mereka mendakwa surat yang dimaksudkan Sivakumar adalah surat yang ditandatangani mereka pada 8 Mac tahun lepas selepas pilihan raya umum lalu.

No comments: