01 February 2009

Dua Adun KeADILan Perak 'hilang 4 hari' petanda UMNO masih kukuh


Semasa Nabi Muhammad balik daripada tugas dakwah di Thaif, setelah menerima tentangan yang begitu hebat, sehingga mengalir darah yang begitu banyak, baginda telah membuat keputusan untuk pulang semula ke Mekah.

Lalu baginda ditanya oleh Sahabat baginda yang menjadi teman dalam perjalanan, yang bernama Zaid Bin Harithah R.A " Wahai Rasulullah! bagaimana engkau mahu berpatah balik ke Mekah sedangkan mereka telah mengusir engkau keluar! lalu soalan itu dijawab oleh baginda dengan yakin & tenang dengan sabdanya: "Wahai Zaid sesungguhnya apa yang kamu lihat (daripada pelbagai bentuk tekanan & penyiksaan) ini, sebenarnya Allah menjadikan disebalik kejadian itu, pelepasan & jalan keluar. Sesungguhnya Allah adalah pembantu agamaNya & pemberi kemenangan kepada NabiNya!"

Perjalanan dakwah Nabi ke Thaif sebenarnya tidak menambah sebarang keuntungan dari sudut politik mahupun sokongan bahkan Nabi menerima tekanan yang jauh lebih hebat berbanding di Mekah. Tiba-tiba jawapan daripada Nabi adalah menyalahi kefahaman kita sebagai manusia biasa, sekaligus mengajar kepada kita bagaimana seorang pejuang Islam itu berfikir untuk masa depan politiknya.

Ini memberi erti bahawa segala bentuk tekanan yang diterima oleh baginda tidak menjejaskan keyakinan baginda terhadap Allah mahupun keyakinan diri baginda yang sentiasa positif. Kalaulah panduan ini tiada, sudah pasti kita juga akan merasakan lemah, putus asa & cepat mengalah. Kenapa baginda tidak merasa cemas? Ini adalah kerana baginda tidak bergantung kepada kekuatan lahiriah baginda, tetapi baginda bergantung kepada Allah. Segala-galanya pasrah kepada Allah. Ini berbeza dengan kita bila berhadapan dengan situasi yang semakin menekan. Lebih-lebih lagi kita merasa cemas bila membaca tajuk di atas. Kalau tidak ada perasaan itu pun, setidak-tidaknya ada perasaan marah, geram bila ada yang cuba menafikan kemaraan Pakatan Rakyat bagi mengambil alih kerajaan. Kenapa kita merasa cemas? Ini adalah kerana kita terlalu bergantung kepada kekuatan kita sahaja dan tidak kepada Allah. Pergantungan yang seperti ini, adalah pergantungan yang sangat lemah....

Namun demikian, agak sukar sebenarnya untuk kita menumbangkan UMNO. UMNO sebenarnya masih kukuh! Kita boleh buat perbandingan antara kita & UMNO dari sudut kuasa yang mereka miliki & kuasa yang kita miliki . Ternyata mereka masih kukuh berbanding kita. Dari sudut apa jua ia masih kukuh. Ini perlu diakui oleh setiap kita yang menjadi pendokong Pakatan Rakyat.

Kalau lah kita ditakdirkan mempunyai kekuatan yang sama seperti UMNO atau lebih kuat daripada mereka, namun dalam perjuangan Islam kita masih dianggap lemah bila bergantung kepada kekuatan kuasa & kerajaan semata-mata. Kalau kita merujuk kepada Kitab Fiqh Sirah , Dr Mohd Said Ramdhan Al-Buty(menjadi silibus Lajnah Tarbiyah Pas Pusat) bahawa apabila pendokong gerakan Islam hanya menumpukan kekuatan mereka kepada kekuatan fizikal semata-mata, maka secara spontan mereka akan menjadi lemah. Contohnya bila kita mengusai 5 buah negeri, hanya bergantung kepada 5 buah negeri ini sahaja untuk menguasai Putrajaya, tanpa sandaran yang kuat kepada Allah, ertinya kita bersandar dengan kekuatan yang sangat rapuh! Ini perkara yang perlu kita faham.....

Seolah-olah kita hampir lupa dengan bantuan Allah yang pernah kita minta dalam Pilihanraya Umum Mac 2008 yang lalu. Sebab pada ketika itu kita susah, segala kekuatan tiada, hampir lumpuh setelah kita merundum dengan begitu teruk pada piliharaya 2004. Suasana politik juga mahu agar kesedaran politik perlu wujud bagi memberi amaran kepada UMNO & BN. Maka tiada kuasa yang diharapkan oleh kita pada masa itu kecuali Allah & para malaikatNya! Doa tidak putus-putus dibaca oleh kita, walaupun sehingga pukul 5.30 petang bilik gerakan seluruh Kelantan memaklumkan Kelantan bakal jatuh ke tangan BN pada hari pengundian 8 Mac yang lalu. Namun tanpa disangka akhirnya Allah memberikan kemenangan kepada kita. (Situasi ini lebih kurang sama dengan Peperangan Badar)

Namun bila suasana politik telah memihak kepada kita, seakan-akan kita lupa kepada kuasa yang memberikan kita kredit di dalam politik domestik, iaitu Allah! Maksudnya seolah-olah kita begitu teruja dengan segala kekuatan yang kita miliki, lalu kita bergantung kepada kekuatan itu, lalu lupa kepada Allah. Tak perlu solat hajat, tak perlu solat tahajjut, tak perlu doa, apa yang penting rakyat telah memberikan sokongan kepada kita. Maka atas alasan itu, kita terasa "confident" yang melampau sehinga sombong & bongkak!(Situasi ini pula lebih kurang sama dengan Peperangan Hunain)

Situasi yang kita lalui sekarang sebenarnya telah dilalui oleh baginda bersama sahabat-sahabatnya. Ini bermaksud pengajian Fiqh Sirah ini bukan sekadar catatan sejarah, bahkan ianya adalah satu manual lengkap yang telah ditinggalkan oleh baginda yang catatannya bakal berulang kembali.

Umum telah mengetahui bahawa baginda tidak mewariskan dinar mahupun dirham , akan tetapi baginda mewariskan kepada kita ilmu, sesiapa mengambil daripadanya, ertinya ia telah mengambil satu bahagian yang sangat besar!

Situasi yang dimaksudkan seperti yang disebut di atas ialah Peperangan Badar & Peperangan Hunain . Dr Mohd Said Ramdhan Al-Buty menjelaskan dalam kitabnya Fiqh Sirah, bahawa Peperangan Hunain adalah pelengkap kepada Peperangan Badar. Kedua-duanya saling lengkap-melengkapi bagi i'ktibar pejuang akhir zaman.

Peperangan Badar menyaksikan bahawa golongan yang sedikit, tidak terjejas sedikit pun bila berdepan dengan musuh mereka yang ramai, jika mereka bersabar & bertaqwa. Manakala Peperangan Hunain pula menyaksikan bahawa golongan yang ramai tidak memberikan kesan & momentum yang kuat jika mereka tidak bertaqwa & bersabar!

Ini bermakna :

1) Orang Islam dalam Peperangan Badar mempunyai bilangan tentera yang paling sedikit jika mahu dibandingkan dengan dengan peperangan-peperangan yang lain. Namun sedikitnya mereka itu, tidak terjejas dengan sebab benarnya islam mereka, masaknya iman mereka & mereka terlampau wala' kepada Allah dan RasulNya.

Firman Allah : "Sesungguhnya kami telah memberikan kemenangan kepada kamu dalam Peperangan Badar, di dalam keadaan kamu yang lemah".

2) Orang Islam dalam Peperangan Hunian pula, jauh lebih ramai berbanding dengan peperangan-peperangan yang lain sebelumnya yang sertai oleh umat Islam! Namun ramainya mereka tidak memberikan kesan kerana makna iman & islam tidak begitu kukuh dalam hati mereka. Mereka lebih bergantung kepada kekuatan ramai berbanding pergantungan secara total kepada Allah.

Firman Allah dalam ayat 25 dan 26 surah al-Taubah yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai orang mukmin) di medan peperangan yang banyak. Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu di waktu kamu merasa bangga kerana ramainya jumlahmu. Maka jumlah yang ramai itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun. Dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada rasulNya dan kepada orang-orang yang beriman. Dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir. Dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir. "

Adakah ini beerti kita tidak perlu berusaha? Jika kita rujuk semula kepada peperangan yang dilakukan oleh baginda dalam kedua-dua peperangan di atas, ia menafikan secara total, perjuangan tanpa usaha.

"APA YANG DILARANG IALAH, MENGALIHKAN TUMPUAN KEPADA KEKUATAN FIZIKAL MELEBIHI MENUMPUKAN KEKUATAN KEPADA ALLAH"

Sebab itu, kalau hanya sekadar kita telah menang di 5 buah negeri diikuti dengan Permatang Pauh & Kuala Terengganu, selepas itu kita pun mendabik dada dengan berkata "SEDIAKAN KERANDA UNTUK UMNO"

Itu maknanya kita bergantung kepada kekuatan itu sahaja, lalu kita bakal dikalahkan oleh UMNO....

Namun jika ucapan kita itu ada berlapik dengan pergantungan kepada Allah, sewajarnya ucapan begitu tidak akan keluar daripada mulut kita. Bahkan bila kita menang kita diminta untuk bertasbih & beristigfar! Ini adalah kerana , kita bimbang gagal menjadi agen perubah & penyelamat yang lebih baik daripada UMNO & BN.

Begitu unik ajaran Islam, dalam kita memerangi mereka, di sana ada adab & tatsusila yang perlu dijaga. Sudah tentunya ingin menjaga perkara ini mesti ada sifat sabar & ketaqwaan. Jika tidak ini memberi erti :

"Dua Adun KeADILan Perak 'hilang 4 hari' petanda UMNO masih kukuh"

No comments: