24 September 2006

BERSAMA MENGHAYATI RAMADHAN, BERTEKAD MEMBINA KEKUATAN

Posted by Picasa KENYATAAN MEDIA
(19 September 2006)

BERSAMA MENGHAYATI RAMADHAN, BERTEKAD MEMBINA KEKUATAN

Jawatakuasa Pemuda Barisan Alternatif Negeri Johor (Pemuda BA Johor) mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menjalankan ibadah puasa dalam bulan Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi.

Sesungguhnya, kita perlu melahirkan rasa penuh syukur kerana kita dipanjangkan umur sehingga bertemu kembali bulan Ramadhan tahun ini, kerana inilah bulan yang agung, mulia, istimewa dan berkat, mengandungi banyak fadhilat yang tidak boleh di lepas peluang oleh orang yang ingin menjadi termulia dan terbaik di sisi Allah S.W.T. serta ingin mencapai KeredhaanNya di akhirat nanti.

Ibadah puasa merupakan satu-satunya ibadah yang memberi kesan yang amat besar, samada di dunia mahupun di akhirat. Di dunia dijanjikan dengan dengan keampunan dosa yang telah terdahulu bagi orang-orang yang berpuasa dengan ikhlas hati kepada Allah S.W.T. serta yakin dan mengharap balasan baik dari Allah S.W.T.

Sabda Rasulullah S.A.W. :

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kerana keimanan kepada Allah S.W.T. dan perintahnya serta mengharap pahala darinya nescaya diampunkan Allah dosa-dosanya yang telah lalu".
(Riwayat Al-Bukhari Muslim)

Orang yang berpuasa dengan jiwa yang bersih dan redha dengan perintah Allah S.W.T. serta tidak merasa segan dan tidak merasa berat, maka orang itu berhak mendapat keampunan Allah Taala, dan jadilah dia sebagai orang yang berhak pula memasuki syurga.

Berpuasa dengan sebenar-benar puasa boleh melahirkan takwa kepada Allah S.W.T dan boleh mencapai makfirah (keampunan) yang sangat-sangat kita harapkan.

Oleh yang demikian, janganlah kita cuba menutup pintu-pintu syurga yang telah dibuka dan janganlah kita berusaha membuka pintu-pintu neraka yang telah ditutup dan janganlah pula kita melepaskan syaitan-syaitan yang telah digari dengan melakukan maksiat, dosa dan sebarang kejahatan pada bulan yang mulia ini.

Melihat kepada Ramadhan sebagai bulan ibadah dan bulan keampunan, kita perlu mengambil peluang ini untuk mempertingkatkan amalan kita. Mengharungi Ramadhan bukan bermakna ‘lesen’ untuk kita berehat daripada membuat apa-apa program dan bukannya peluang untuk kita berpeluk tubuh sahaja. Masih Banyak amanah yang perlu ditunaikan. Tugas memberikan kesedaran kepada rakyat tidak sepatutnya dihentikan.

Kemelut politik yang melanda negara ketika ini perlu dilihat sebagai ‘signal’ kepada kita untuk mempertingkatkan gerakerja di semua peringkat. Rakyat semakin sangsi dengan kemampuan Pak Lah sebagai Perdana Menteri, kepimpinannya diragui. Ekonomi negara semakin tidak stabil, jenayah semakin meningkat,

Kita juga jangan lupa bahawa masih lagi terdapat rakyat yang dizalimi. Masih terdapat lagi rakyat yang menjalani ibadah puasa di dalam tahanan tanpa bicara ISA. Masih terdapat lagi rakyat yang menangisi suami dan ayah mereka yang berada di dalam tahanan ISA.

Oleh kerana itu, Pemuda BA Johor telah merancang beberapa aktiviti bersama rakyat seperti sumbangan juadah berbuka puasa, pengedaran risalah, program ziarah dan dialog sepanjang Ramadhan ini. Aktiviti bersama keluarga tahanan ISA juga akan diadakan bagi membantu meringankan bebanan mereka hadapi selama ini.

Justeru, kami menyeru kepada semua aktivis Pemuda BA Johor dapat meluangkan masa untuk bersama dengan aktiviti yang telah kami rancangkan ini. Semoga Ramadhan ini akan memberikan kita kekuatan untuk terus berjuang menegakkan kebenaran dan keadilan.

Sekian, wassalam.

No comments: