13 September 2006

TUDUHAN MELESAPKAN WANG PERUNTUKAN KHAS SJKC JOHOR PERLU DISIASAT SEGERA

Kenyataan Media
(13 September 2006)

TAJUK :

TUDUHAN MELESAPKAN WANG PERUNTUKAN KHAS SJKC JOHOR PERLU DISIASAT SEGERA



Kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ong Tee Kiat bahawa pegawai-pegawai kerajaan melesapkan wang peruntukan khas untuk beberapa sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Johor perlu diberi perhatian dan disiasat dengan segera.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) cukup bimbang dengan kenyataan yang telah dibuat oleh Datuk Ong Tee Kiat ini kerana ia akan memberikan kesan yang buruk terhadap institusi kerajaan.

Sebelum ini, telah banyak berlaku isu yang membabitkan pendidikan kaum Cina seperti isu penutupan SJKC Damansara, masalah pengajaran Sains dan Matematik di SJKC dan masalah kekurangan guru terlatih.

Apabila kenyataan ini telah dibuat oleh seorang yang berstatus timbalan menteri, seharusnya ia mestilah dipandang lebih serius. DPPNJ melihat bahwa tindakan Datuk Hishamuddin menyelar kenyataan Datuk Ong Tee Kiat ini tidak akan menyelesaikan masalah serta menyerlahkan lagi ketidak keterbukaan beliau. Sebagai Menteri, masalah seperti ini perlulah diselesaikan dengan penuh bijaksana.

Namun Datuk Hishammuddin pula mendabik dada kononnya beliau telah berjaya menyelesaikan isu besar berkaitan pendidikan Cina seperti formula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bagi SJKC, buku teks PPSMI SJKC dan peruntukan khas RM10 juta untuk sekolah-sekolah tidak selamat serta menempelak Datuk Ong Tee Kiat yang tidak dapat menyelesaikannya.

DPPNJ menyokong kenyataan Dewan Pemuda PAS Pusat agar Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat dakwaan yang telah dibuat oleh Datuk Ong Tee Kiat ini.

Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830 /013-7257085
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: