09 January 2007

PAS UTAMAKAN PERSEPAKATAN

Posted by Picasa Kenyataan Media
(9 Januari 2007)

TAJUK :

DUN BATU TALAM : PAS LEBIH UTAMAKAN PERSEPAKATAN BERSAMA


Saya merujuk kepada kenyataan Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Bin Awang dan Setiausaha Agong PAS Dato' Kamaruddin Jaffar yang disiarkan di dalam harakahdaily bertajuk Batu Talam: PAS utama keputusan bersama – Presiden (9 Januari 2007)

Di dalam kenyataan Tuan Guru Presiden yang disiarkan ini telah menyebut bahawa mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang diadakan pada 8 Januari 2007 belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding atau tidak dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam.

Ini termasuklah juga sama ada meletakkan calonnya ataupun memberi 'laluan' kepada parti-parti komponen Barisan Alternatif (BA) untuk bertanding bagi kerusi DUN tersebut.

Presiden PAS juga berkata bahawa PAS akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan parti komponen Barisan Alternatif (BA), parti pembangkang yang lain serta badan-badan kerajaan (NGO) sebelum membuat apa-apa keputusan dan akan menghormati apa jua keputusan yang akan dibuat di dalam perbincangan tersebut.

Dalam masa yang sama Tuan Guru Presiden mahu amalan demokrasi termasuk pilihan raya subur dan terus segar di negara ini malah mahu pilihan raya kecil DUN Batu Talam itu menjadi titik tolak kepada pilihan raya yang adil dan bebas.

Begitu juga dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar di dalam ruangan yang sama yang menyatakan bahawa amalan mengadakan perbincangan sebelum memutus meletakkan calon adalah tradisi dalam pakatan BA yang diterima baik oleh semua pihak.

Kenyataan Presiden dan Setiusaha Agong PAS ini telah membuktikan bahawa PAS lebih mengutamakan perpaduan dan persepakatan bersama parti komponen BA, parti pembangkang yang lain serta NGO dalam menentukan hala tuju politik di Malaysia.

Walaupun secara umumnya DUN Batu Talam adalah merupakan kerusi tradisi PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pahang telahpun membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon dan akan memberikan sokongan kepada PAS namun PAS tidak menjadikan perkara ini sebagai pegangan untuk terus meletakkan calon. Sebaliknya, pandangan daripada pihak lain lebih diutamakan.

Apapun keputusan yang bakal dicapai dalam menentukan sama ada PAS/BA bertanding ataupun tidak di dalam pilihanraya kecil DUN Batu Talam ini, saya percaya bahawa ia akan dihormati oleh semua pihak. Keputusan yang akan diumumkan oleh PAS di Markaz PAS Sega, Raub malam esok sudah pasti adalah yang terbaik untuk masa depan demokrasi di Malaysia yang kini sudah punah dirosakkan oleh UMNO/BN.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: