14 August 2008

MB SELANGOR MENAFIKAN ISU UiTM OLEH MEDIA


Kerajaan Negeri Selangor kesal dengan pihak media yang sengaja mengulas laporan di luar konteks asal berhubung cadangan pembukaan pelajar asing dan bukan bumiputera mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) lebih menjurus kepada isu perkauman.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat tidak pernah bermaksud mempertikaikan hak-hak keistimewaan pelajar bumiputera dan sedar bahawa UiTM ditubuhkan bagi membantu mengangkat martabat pelajar Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, kerajaan negeri terus menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan termasuk Artikel 153 Mengenai Hak-hak Istimewa Orang Melayu.

Menurut beliau, pihak Kerajaan Negeri berharap isu itu tidak dipanjangkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dan mengingatkan pelajar supaya tidak terpengaruh dengan dakyah yang dimainkan oleh sesetengah pihak.

Berhubung pembukaan kuota 10 peratus kepada pelajar asing dan bukan bumiputera katanya, kenyataan itu dibuat ketika menjawab soalan daripada pihak media dan bukan menjadi dasar kerajaan Pakatan Rakyat untuk meletakkan kuota tersebut.
Katanya, ulasan itu dibuat daripada konteks mempertingkatkan mutu serta kualiti pendidikan tinggi dalam era globalisasi sekali gus membuka peluang pekerjaan lebih luas kepada pelajar Melayu dan bumiputera.

Menurut beliau, dalam melaksanakan aspirasi bangsa Melayu, UiTM sepatutnya tidak hanya memberi tumpuan terhadap isu yang melibatkan kuota saja.

Tambah beliau, ia perlu memberi lebih fokus dalam menaikkan mutu dan kemudahan universiti supaya ia boleh dianggap sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang disegani.

Justeru tegasnya, kerajaan negeri berharap pelajar dan ahli akademik UiTM perlu berusaha mengembeleng tenaga menolong pihak Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di Selangor serta dapat menjayakan polisi 'Merakyatkan Ekonomi Selangor'

No comments: