11 August 2008

Kehilangan Y.B Zulkifli Nordin mejadi tanda tanya..?

KUALA LUMPUR,11 Ogos (Hrkh) - Misteri 'kehilangan' Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin dan khabar angin beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berterusan hingga pagi ini.

MStar Online melaporkan, hingga kini tiada pihak dapat memastikan sejauh mana kebenaran khabar angin yang mula tersebar sejak malam kelmarin itu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika dihubungi sebentar tadi turut buntu dengan situasi ketika ini.

"Masih tiada perkembangan yang diperolehi. Khabar angin makin berterusan hingga ke hari ini," katanya.

Hingga jam 10.30 pagi tadi beliau juga gagal untuk menghubungi Zulkifli dan ahli keluarganya bagi mengetahui kedudukan sebenar.

Usaha untuk menjejaki Zulkifli juga masih gagal kerana telefon bimbitnya tidak diaktifkan sejak dua hari lalu.

Kali terakhir beliau muncul di khalayak ramai ialah pagi kelmarin di ibu negara ketika menyertai perhimpunan membantah forum anjuran Majlis Peguam.

Sementara itu semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menyifatkan berita itu sebagai khabar angin semata-mata.

Beliau menafikan berita yang tersiar dalam beberapa laman blog mengenai penahanan Zulkifli di bawah ISA.

"Mana ada beliau ditahan? Ini semua khabar angin dan ini merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab oleh segelintir pihak yang sengaja buat spekulasi.

"Polis akan siasat laman blog yang menyiarkan berita berkenaan dan harap orang ramai tidak terpengaruh dengan khabar angin sedemikian," katanya.

Blog berkenaan memberitahu Zulkifli dari KeADILan ditahan di Kulim kira-kira jam 10 malam kelmarin dan tiada maklumat lanjut mengenai ke mana beliau dibawa polis.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul ketika dihubungi pada jam 12.30 tengah hari tadi turut menafikan khabar angin yang mengatakan Zulkifli ditahan polis.

"Dia tak ditahan (polis). Khabarnya dia (Zulkifli) kini sedang bercuti bersendirian tanpa keluarga.

"Saya tak tahu kemana dia menghilangkan diri. Tapi mungkin keluarganya tahu ke mana dia pergi," katanya.

Johari memberitahu beliau mendapat maklumat tersebut daripada keluarga Zulkifli sendiri dan berharap agar media tidak �mengganggu� mereka sekeluarga.

Tambah Johari, keluarga Zulkifli tidak akan membuat sebarang laporan polis mengenai misteri 'kehilangannya' kerana mereka tahu ke mana beliau 'bercuti'.

Pada 29 September 1998, Zulkifli, 46, pernah ditahan di bawah ISA selama 60 hari kerana terlibat dalam gerakan reformasi bersama Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim. - mks._

No comments: